Thursday, 26 April 2012
Tuesday, 17 April 2012
Ghaddar Kembali Ke Liga Super
SEPERTI yang diramal, penyerang import
dari Lebanon, Muhammad Ghaddar kini kembali menyarung jersi skuad Liga
Super Kelantan selepas berjaya meledak lima gol dalam dua perlawanan
terakhir.
Hatrik ketika aksi di Kota
Bharu dan dua lagi gol direkodkan di Kota Malang, Indonesia ketika aksi
menentang Arema FC dalam kempen Piala AFC berjaya memikat hati pihak
pengurusan.
Selepas hampir dua bulan
direhatkan ekoran bergelut dengan prestasi yang tidak begitu
memberangsangkan, Ghaddar membuktikan beliau adalah taruhan terbaik
untuk Kelantan menghadapi baki saingan Liga Super yang akan memasuki
pusingan kedua.
Pengerusi
Jawatankuasa Pasukan Negeri, Rosmadi Ismail berkata, keputusan membawa
masuk kembali Ghaddar menggantikan Onyekachi Nwoha berkuat kuasa
serta-merta.
Menurutnya, selepas
meneliti prestasi semasa pemain berkenaan, pihak pengurusan dan
jurulatih, Bojan Hodak setuju untuk menyenaraikan Ghaddar sebagai pemain
import untuk aksi Liga Malaysia.
“Keputusan
tersebut dibuat selepas pihak pengurusan meneliti laporan yang
disediakan oleh pihak jurulatih dan kita berpendapat Ghaddar lebih baik
namun, khidmat Nwoha tetap diperlukan.
“Tidak
timbul campur tangan daripada pihak pengurusan dalam keputusan ini
kerana sejak dulu lagi kita menyerahkan urusan pasukan kepada pihak
jurulatih untuk membuat penilaian,” katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya,
keputusan untuk mengekalkan Nwoha juga tertakluk kepada perbincangan
antara pihak pengurusan dan pemain tersebut. Sekiranya Nwoha bersetuju
untuk kekal, beliau akan beraksi pada Piala AFC.
Katanya,
setakat ini Kelantan mengekalkan empat pemain importnya termasuk dua
lagi, pemain pertahanan Obinna Nwaneri untuk Liga Malaysia dan Denny
Antwi yang disenaraikan untuk beraksi pada Piala AFC.
“Merujuk prestasi Ghaddar dalam perlawanan lepas, kita berharap dan yakin beliau mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan.
“Semua
tahu kita mempunyai jadual yang ketat, jadi kita memerlukan pemain yang
mempunyai prestasi dan kualiti yang tinggi. Kita harap Ghaddar bersedia
untuk itu,” ujarnya.
Dalam
perkembangan lain, Rosmadi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) memberitahu, penggantungan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar
Musa tidak menjejaskan proses pengurusan pasukan.
Jelasnya, pihak pengurusan menjalankan tugas seperti biasa dengan mengikut segala peraturan yang ditetapkan.
Sumber: Kelate.net
Subscribe to:
Posts (Atom)