Tuesday 14 June 2011

Kelantan Sedia Bangkit

Finalis Piala FA, Kelantan nampaknya sudah segera melupakan kekalahan mengejut masa tambahan kepada Terengganu tempoh hari, dan berjanji membalas sokongan padu penyokong setia dengan menampilkan aksi bertenaga menentang Perak dalam saingan Liga Super malam ini.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tidak menafikan kekalahan tempoh hari sememangnya satu tamparan hebat, apatah lagi bermacam tuduhan dilemparkan antaranya menjual permainan dan sebagainya.

Namun menurut Azman pemain kini dalam keadaan bersedia untuk berdepan Perak, selepas menjalani proses pemulihan mental dan perlu bertenang serta tidak meletakkan diri dalam situasi tertekan.

“kita kena build up balik moral pemain utk malam esok (malam ni), macam mana sekalipun kena menang utk jadi juara liga, takleh lepas peluang ini..” – Azman Ibrahim

Kata-kata Azman, bagi sesetengah pihak mungkin berupa satu tekanan kepada pemain, namun dilihat dari perspektif berbeza, ia sebenarnya satu cabaran bagi mereka untuk bangkit membuktikan kekalahan kepada Terengganu 3 hari lalu tidak lagi mengganggu gugat prestasi mereka.

Malah, menang kejuaraan liga pasti lebih besar maknanya apatah lagi ia saingan membabitkan 14 pasukan dan 26 perlawanan, berbanding Piala FA yang dimenangi hanya dengan beraksi 5 pasukan dalam 7 perlawanan.

Sementara itu, tonggak pertahanan Kelantan, S.Subramaniam berjanji dia dan rakan sepasukan akan beraksi sebaik mungkin dengan menolak ke tepi segala kekecewaan lalu, seterusnya meraih 3 mata penting sebagai hadiah kepada penyokong TRW dalam usaha merangkul trofi liga.

Katanya pemain tidak akan mengulangi sebarang kesilapan sama ketika menentang Terengganu, dan ia menjadi pengajaran berguna buat diri dan rakan sepasukannya agar tidak beraksi sambil lewa dan fokus untuk 90 minit permainan.

Subra yang menghubungi penulis selepas membaca laporan berkenaan krisis di kem Kelantan, juga membidas Suara Sukan kerana memaparkan laporan itu yang mana padanya mengeruhkan lagi keadaan dan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk M.Karathu.

Katanya, adalah normal jika ada pemain mengeluh tidak dapat beraksi dan itu tidak sepatutnya disensasikan apatah lagi Kelantan ketika ini di fasa getir, perlu mengharungi  2 lagi perlawanan penting sebelum Liga Super melabuhkan tirai.

Subra berkata Karathu sudah melakukan yang terbaik, dan barisan pemain Kelantan menghormati beliau selaku Ketua Jurulatih, seterusnya yakin Karathu mampu muncul jurulatih pertama membimbing Kelantan muncul juara liga.

Untuk rekod, ini adalah musim kedua Subra di Kelantan dan tonggak kental pertahanan ini, yang menjadikan pertahanan Itali, Fabio Canavaro sebagai idolanya sudah mula menjadi pemain kesayangan di kem TRW.


**Sumber:  Suara Sukan**

No comments:

Post a Comment