Friday 7 October 2011

Perkara penting hari ni....

Petang ni...Bajet 2012...

Live kat semua TV....

Petang ni...Perlawanan Persahabatan Antarabangsa...Socceroos Vs Harimau Malaya...

Live Astro Arena 5:00p.m


Malam ni...Perlawanan Persahabatan Antarabangsa...Kelantan Vs Songkhla FC...


Takde Live...


Wednesday 10 August 2011

Tiga Kelab Intai Sathia

BEKAS jurulatih Kelantan, B Sathianathan yang baru menamatkan tempoh hukuman penggantungan enam bulan dikenakan oleh Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 23 Julai lalu, kini dilaporkan diintai beberapa kelab bola sepak termasuk daripada luar negara. 

Sathia yang dihubungi Sinar Harian, mengesahkan perkara itu dan berkata beliau sedang mempertimbangkan tawaran berkenaan. 

“Memang saya ada menerima beberapa tawaran termasuk untuk membimbing kelab luar negara iaitu masing-masing satu di Myanmar dan India. 

“Saya masih lagi memikirkannya dan tidak mahu terburu-buru membuat keputusan,” katanya. 


Dapatkan berita selanjutnya di akhbar Sinar Harian hari ini

Monday 1 August 2011

Salam Ramadhan 1432H


Salam Ramadhan kepada semua.... Diharap Ramadhan tahun ini lebih memberi rahmat kepada kita semua.

Wednesday 6 July 2011

Misi Kejuaraan Bermula


SELEPAS hampir tiga minggu berehat, saingan Liga Super kembali menerjah peminat bola sepak tanah air esok yang menyaksikan tiga pasukan teratas terus bersaing memburu gelaran.
Paling hampir untuk mencipta sejarah adalah Kelantan yang hanya memerlukan satu mata ketika mereka dijadualkan berkunjung ke Kota Kina- balu menentang Sabah untuk perlawanan terakhir bagi memastikan piala Liga Super dibawa pulang ke Kota Bharu.
Kelantan dilihat berada pada kedudukan terbaik selepas mereka menerima semula khidmat lima tonggak utama, Norshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, Khairul Fahmi Che Mat, Fari- sham Ismail dan Shakir Shaari yang baru pulang menunaikan tugas bersama pasukan kebangsaan.
Kelibat Norshahrul yang beraksi pada perlawanan antara Malaysia dan Taiwan malam kelmarin melegakan peminat- peminat The Red Warriors selepas bintang mereka itu dilaporkan mengalami kecederaan sebelum ini.
Perlawanan malam esok bukan sahaja menyaksikan persaingan merebut piala Liga Super tetapi juga gelaran penjaring terbanyak antara Norshahrul dan Abdul Hadi Yahya dari Terengganu apabila mereka hanya dipisahkan dengan satu gol sahaja.
Berdasarkan rekod pertemuan, Sabah adalah antara tiga pasukan yang gagal ditumpaskan Kelantan ketika aksi di ‘stadium keramat’ mereka, Stadium Sultan Muhammed IV apabila perlawanan hanya berkesudahan seri tanpa jaringan pada 16 April lalu.
Beraksi di Stadium Likas, The Red Warriors perlu berhati- hati kerana pasukan tuan rumah turut memiliki rekod yang cukup baik termasuk pernah menewaskan Perak dan Kedah, manakala Kelantan memerlukan kemenangan untuk mengesahkan mereka sebagai juara baru Liga Super dan menambah koleksi kemenangan di gelanggang lawan.
Kelibat penjaring terbanyak Sabah, Razlan Oto dan penyerang veteran, Zainizam Mar- jam perlu diberi perhatian oleh anak-anak buah Datuk M. Karathu kerana kedua-duanya mempunyai keupayaan untuk meledakkan gol.
Ketua Pasukan Kelantan, Badri Radzi ketika dihubungi bagaimanapun percaya dia dan rakan-rakan lain sudah bersedia untuk membawa pulang tiga mata penuh bagi dinobatkan sebagai juara baharu pertandingan bola sepak paling berprestij tanah air itu.
Menurutnya, kejayaan membawa pulang Piala Liga Super sudah tentu mengubat kekecewaan peminat selepas The Red Warriors terpaksa merelakan Terengganu mendakap Piala FA selepas kecundang 2-1 pada perlawanan akhir 11 Jun lalu. “Kita pergi untuk menang walaupun satu mata sudah cukup untuk kita mengesahkan kejuaraan.
Apabila bermain untuk seri, kita dalam bahaya, Selangor dan Terengganu hanya tunggu masa dan kita tidak mahu berputih mata sekali lagi.
“Perlawanan ini sangat penting. Saya gembira apabila lima rakan yang menyertai skuad kebangsaan akan bersama kami semua. Ia sudah tentu perlawanan yang sengit tetapi kita mahu memenanginya,” ujarnya.
Tambahnya, ketiadaan Nurul Azwan Roya yang mengutip tiga kad kuning sedikit merencatkan perancangan, namun beberapa pemain lain seperti Mohd. Izuan Solahuddin mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
**Sumber:  Kelate.net**

Friday 17 June 2011

Red Warriors Lwn Pelita Jaya

Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa pada 2 Julai 2011 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebelum pertemuan dengan Sabah bagi perlawanan penentu kejuaraan Liga Super 2011. Perkara ini disahkan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa melalui laman sosialnya, Facebook. Dikhabarkan juga pasukan Red Warriors akan dibintangi oleh 4 orang pemain import jemputan. Adakah ini satu sesi ujian untuk memilih pemain import untuk musim hadapan? Hanya Tan Sri yang tahu. Berikut petikan daripada Facebook Tan Sri Annuar Musa:

"Confirmed...THE RED WARRIORS akan bertemu PELITAJAYA INDONESIA(TEAM SAFEE SALI) di stadium sultan muhamad IV Pada hari SABTU 2hb JULY jam 8.45pm...trw di jangka turut di bintangi 4 pemain import jemputan DARI CROATIA,BOSNIA,NIGERIA DAN MUNKIN ENGLAND.."

Wednesday 15 June 2011

Perlawanan Terakhir Penentu Juara Liga Super 2011

Kelantan terpaksa menunggu perlawanan ke-26 untuk menentukan kejuaraan Liga Super musim 2011.

Kelantan menghampiri kejuaraan Liga Super selepas gol tunggal Norshahrul Idlan Talaha mengatasi Perak 1 – 0 memberikan 3 mata berharga buat pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV.

Kelantan hanya memerlukan keputusan seri sahaja apabila bertemu pasukan Sabah yang agak sukar di ramal kekuatan mereka. Jika Kelantan berjaya mengikat Sabah di Kota Kinabalu impian bergelar juara Liga Super buat pertama kali pasti akan tercapai dan menjadi pengubat kegagalan merangkul Piala FA sabtu lepas.

Sementara itu, Selangor dan Terengganu terus memberi saingan kepada Kelantan merebut kejuaraan. Ketiga-tiga pasukan dilihat masih berpeluang untuk menjuarai liga musim ini.

Tuesday 14 June 2011

Kelantan Sedia Bangkit

Finalis Piala FA, Kelantan nampaknya sudah segera melupakan kekalahan mengejut masa tambahan kepada Terengganu tempoh hari, dan berjanji membalas sokongan padu penyokong setia dengan menampilkan aksi bertenaga menentang Perak dalam saingan Liga Super malam ini.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tidak menafikan kekalahan tempoh hari sememangnya satu tamparan hebat, apatah lagi bermacam tuduhan dilemparkan antaranya menjual permainan dan sebagainya.

Namun menurut Azman pemain kini dalam keadaan bersedia untuk berdepan Perak, selepas menjalani proses pemulihan mental dan perlu bertenang serta tidak meletakkan diri dalam situasi tertekan.

“kita kena build up balik moral pemain utk malam esok (malam ni), macam mana sekalipun kena menang utk jadi juara liga, takleh lepas peluang ini..” – Azman Ibrahim

Kata-kata Azman, bagi sesetengah pihak mungkin berupa satu tekanan kepada pemain, namun dilihat dari perspektif berbeza, ia sebenarnya satu cabaran bagi mereka untuk bangkit membuktikan kekalahan kepada Terengganu 3 hari lalu tidak lagi mengganggu gugat prestasi mereka.

Malah, menang kejuaraan liga pasti lebih besar maknanya apatah lagi ia saingan membabitkan 14 pasukan dan 26 perlawanan, berbanding Piala FA yang dimenangi hanya dengan beraksi 5 pasukan dalam 7 perlawanan.

Sementara itu, tonggak pertahanan Kelantan, S.Subramaniam berjanji dia dan rakan sepasukan akan beraksi sebaik mungkin dengan menolak ke tepi segala kekecewaan lalu, seterusnya meraih 3 mata penting sebagai hadiah kepada penyokong TRW dalam usaha merangkul trofi liga.

Katanya pemain tidak akan mengulangi sebarang kesilapan sama ketika menentang Terengganu, dan ia menjadi pengajaran berguna buat diri dan rakan sepasukannya agar tidak beraksi sambil lewa dan fokus untuk 90 minit permainan.

Subra yang menghubungi penulis selepas membaca laporan berkenaan krisis di kem Kelantan, juga membidas Suara Sukan kerana memaparkan laporan itu yang mana padanya mengeruhkan lagi keadaan dan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk M.Karathu.

Katanya, adalah normal jika ada pemain mengeluh tidak dapat beraksi dan itu tidak sepatutnya disensasikan apatah lagi Kelantan ketika ini di fasa getir, perlu mengharungi  2 lagi perlawanan penting sebelum Liga Super melabuhkan tirai.

Subra berkata Karathu sudah melakukan yang terbaik, dan barisan pemain Kelantan menghormati beliau selaku Ketua Jurulatih, seterusnya yakin Karathu mampu muncul jurulatih pertama membimbing Kelantan muncul juara liga.

Untuk rekod, ini adalah musim kedua Subra di Kelantan dan tonggak kental pertahanan ini, yang menjadikan pertahanan Itali, Fabio Canavaro sebagai idolanya sudah mula menjadi pemain kesayangan di kem TRW.


**Sumber:  Suara Sukan**

Wednesday 1 June 2011

Perkiraan Untuk Musim Depan

Belum pun tamat musim 2011, pasukan Kelantan sudah berkira-kira untuk memancing beberapa pemain tempatan dan import untuk musim hadapan.

Menurut lama blog RedsFC News tiga pemain menjadi buruan iaitu Badrol Bakhtiar, pemain tengah Selangor Hardi Jaafar dan penyerang Harimau Muda A Izzaq Faris. Dikhabarkan juga seorang pemain dari Terengganu akan dibeli oleh The Red Warriors (TRW).

Dalam blog Laman PFKE.com pula, dikhabarkan K Soley akan meninggalkan pasukan Kelantan untuk kembali ke Perlis atau Kedah. Sementara itu menurut blog ini, Safiq Rahim, Aidil Zafuan dan Badrol Bakhtiar dikaitkan perpindahan ke Kelantan musim hadapan.

Sejauh mana kebenaran itu, sama-samalah kita nantikan. Yang pastinya, tamatnya musim liga penghujung tahun ini perpindahan pemain akan menjadi semakin rancak. Perpindahan Badrol ke Kelantan mungkin akan menjadi pasti memandangkan pemain ini sudah lama dipancing oleh TRW.

Jika benar musim hadapan kemasukan pemian import dibenarkan, siapakah yang akan menjadi tonggak import bagi Kelantan. Diharap KAFA di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa dapat memilih pemain yang benar-benar berkualiti untuk memastikan pasukan Kelantan lebih mantap dalam persaingan liga musim hadapan.

Friday 27 May 2011

Kelantan Akan Kembali : Karathu

TIADA apa yang seronok terpancar pada wajah penyokong The Red War­riors, semalam yang dipalit duka menyaksikan pasukan kesaya­ngan mereka, Kelantan rebah di gelanggang sendiri 1-2 kepada T-Team dalam saingan Liga Super, malam kelmarin.


“Kami amat sedih kerana kekalahan ini adalah pertama kali dialami di tempat sendiri sepanjang Liga Super berlangsung, musim ini namun lebih mengecewakan apabila gagal memperolehi sebarang mata,” kata ketua jurulatih, Datuk M Karathu, semalam.

“Pemain sebenarnya masih mampu bersaing walaupun ketinggalan 0-1 pada babak pertama kerana Kelantan kembali menyamakan kedudukan dan pemain terus bersemangat.” 


Apa pun Karathu berkata, anak didiknya tidak akan mudah menyerah kalah dalam baki empat perlawanan Liga Super musim ini selain mahu memperbaiki kesilapan dan fokus kepada cabaran seterusnya. 


Sementara itu, ketua jurulatih T-Team, Mohd Yunus Alif berkata, anak didiknya tidak menghadapi masalah berdepan tuan rumah, sebaliknya Kelantan terpaksa bermain dalam tekanan kerana perlu bersaing dengan Terengganu bagi menerajui Liga Super, musim ini. 

"Saya dan pemain berpuas hati kerana berjaya menewaskan pasukan yang hebat dan kami juga membuktikan T-Team bukan pasukan yang boleh dipandang mudah," katanya. 

**Sumber: Berita Harian**

Adakah Liga Malaysia Perlu Awang Import?

Oleh Lokman Zainal Abidin

TIGA tahun lalu, sebahagian besar persatuan bola sepak (FA) negeri dan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengundi tidak menggunakan khidmat pemain import dengan alasan hanya dengan cara itu, Malaysia akan berupaya melahirkan pemain bola sepak berkaliber - satu masalah yang sudah sekian lama membelenggu arena bola sepak negara.

Di mulut, itulah alasannya, tetapi di hati FA negeri serta ahli gabungan yang memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat pemain import itu sebenarnya berdepan masalah dana kewangan dan mereka sangat-sangat bimbang andai keghairahan untuk menarik ‘awang import’ bakal mengundang padah besar jika gaji serta imbuhan lain tidak mampu dilunaskan.

Tidak pernah ada perkataan ‘setiap pasukan wajib mengambil pemain import’ sebaliknya ia hanyalah satu kebenaran yang diberikan FAM, tetapi atas dasar tidak mahu kalah serta menjaga standard, semua FA negeri dan ahli gabungan lain berebut-rebut mahu menggunakan khidmat pemain import walaupun pada masa sama, mereka sendiri sedar dengan kemampuan kewangan masing-masing.

Akibatnya, beberapa FA negeri dan ahli gabungan mengambil sikap ‘tangkap muat’ dengan membeli pemain import yang tidak berkualiti sedangkan wang yang terpaksa dikeluarkan untuk mendapatkan golongan itu bukanlah sedikit.

Oleh kerana itu, timbullah masalah gaji dan elaun pemain serta pegawai yang tidak mampu dibayar persatuan sekali gus membuatkan pemain mula hilang selera untuk bermain dan faktor itu membuatkan penonton mula bosan untuk menyaksikan perlawanan di stadium.

Bagi menyelamatkan keadaan, beberapa FA negeri yang mula terasa bebanan kewangan, memasang strategi baru untuk menolak kehadiran pemain import dan alasan yang digunakan cukup menarik iaitu pemain import menghalang pemain tempatan untuk menonjol.

Sudahnya, ‘kalau aku tak mampu, biarlah semua orang pun tak dapat’ dan selaku badan induk kebangsaan, FAM tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengarahkan semua FA negeri serta ahli gabungannya menamatkan khidmat pemain import dengan harapan ada pemain tempatan yang bakal menyerlah serta mampu menarik kehadiran penyokong di gelanggang pada setiap kali aksi.

Begitupun, tiga tahun berlalu sudah, penyokong yang selama ini hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan sudah tidak lagi berbuat demikian dan kantung FA negeri serta ahli gabungan menjadi semakin susut hingga mengakibatkan ada pemain serta pegawai pasukan yang terlewat menerima gaji masing-masing gara-gara bebanan kewangan yang ditanggung majikan.

Mana dia pemain tempatan yang dikhabarkan lebih mudah menyerlah berikutan tidak dibayangi pemain import sedangkan semangat peminat sudah semakin luntur untuk ke stadium kerana tidak ada lagi faktor yang boleh dijadikan tarikan.

Sedar atau tidak, Malaysia adalah satu-satunya liga bola sepak profesional di dunia ini yang tidak menggunakan pemain import dan sama ada suka atau tidak, rasanya semua pihak perlu menerima hakikat kehadiran pemain import sebenarnya mampu meningkatkan mutu liga dengan syarat pemain yang dibeli hendaklah benar-benar berkualiti dan bukan sekadar melengkapkan kuota semata-mata.

Bukan sekali dua ada FA negeri yang tersilap membeli pemain import ketika hanya berdasarkan rakaman video yang diserahkan ejen pemain terbabit, tetapi pada hakikatnya, pemain yang didakwa ‘sangat hebat’ itu sebenarnya tidak lebih daripada ‘kuda sakit’ yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan berbanding mengatur aksi serta merencana pergerakan di tengah padang.

Itu pengajaran yang perlu dijadikan pedoman pada masa depan dan semua pihak kini ternanti-nanti apakah keputusan yang bakal dibuat Exco FAM selepas Malaysia Super League (MSL) yang dipengerusikan Timbalan Presiden badan induk kebangsaan itu, Tan Sri Annuar Musa bersetuju membenarkan pemain import kembali mewarnai arena bola sepak tanah air mulai musim depan.

Keputusan yang dibuat MSL ketika membenarkan pengambilan semula tiga pemain import dengan seorang daripadanya perlu dari negara Asia Tenggara itu benar-benar satu langkah bijak kerana selaku badan yang bertanggungjawab membawa masuk penaja, MSL sendiri terpaksa menerima hakikat pemain import mampu menjana sesuatu buat FA negeri serta ahli gabungan.

Jalan terbaiknya ialah bagi FA negeri atau ahli gabungan yang mampu, ambillah pemain import dan bagi yang kurang berkemampuan, mereka perlu bersedia untuk mewujudkan satu pasukan warga tempatan yang berupaya memberi saingan.

Janganlah kerana tidak mampu untuk membeli pemain import, mereka menjadikan itu sebagai satu isu untuk menghalang pembangunan bola sepak di negara ini dan semua pihak yang terbabit dengan arena bola sepak negara perlu berkongsi impian yang sama iaitu mahu melihat bola sepak Malaysia kembali digeruni seperti sedikit masa lalu.

Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk S Sivasundaram menyambut baik kenyataan Annuar dan beliau turut mengakui kehadiran pemain import pasti akan memeriahkan lagi senario bola sepak Malaysia pada masa akan datang.

“Pemain import memang patut ada dalam liga kita. Tetapi perlu diingat, pemain import yang mahu dibeli perlulah benar-benar berkualiti dan peminat tidak akan rasa tertipu setiap kali mereka hadir ke stadium. Cuba lihat pemain seperti Marlon Alex James (Kedah), Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy (Selangor). Mereka adalah pemain yang benar-benar berkualiti.

“Saya masih ingat lagi pada musim 2005 iaitu ketika Bambang dan Elie masih bersama Selangor. Masa itu, wang kutipan tiket kami meningkat dua kali ganda berbanding musim sebelumnya. Itu semua dibantu kehadiran pemain import dan apa yang berlaku itu menunjukkan betapa mereka mampu menjana kewangan yang baik buat FA negeri.

“Kalau kita nak bergantung kepada penajaan, mungkin ia tidak cukup untuk menampung semua perbelanjaan dan justeru, saya tidak fikir ada berani menafikan wang kutipan tiket sedikit sebanyak membantu kos yang perlu ditanggung FA negeri. Hanya dengan kehadiran pemain import yang baik, peminat akan tertarik untuk datang ke stadium,” katanya.

Beliau juga berkata, pemain tempatan tidak harus malu untuk berguru dengan pemain import dan jangan sesekali berasa rendah diri sebaliknya gunakan kepakaran yang ada pada pemain import berkenaan untuk dijadikan landasan menuju ke arah tahap yang lebih baik.

“Kita ada ramai pemain muda yang bagus, tetapi bakat mereka tidak dapat berkembang dengan baik. Bagi saya, jika menerima tunjuk ajar serta didorong semangat ingin maju, pemain muda kita mampu menyerlah dengan syarat mereka tidak boleh malu. Jangan sesekali membiarkan diri kita dibelenggu perasaan malu serta cepat patah semangat kerana ia tidak akan membantu.

“Kalau tidak ada pemain import, bagaimana kita mahu mengukur tahap pencapaian kita? Setidak-tidaknya, kehadiran pemain import akan dapat mengurangkan rasa gemuruh pemain kita setiap kali berdepan dengan lawan yang bukan daripada kalangan kita sendiri.

“Kita juga sudah melihat saingan kita di pentas antarabangsa seperti di kejohanan AFC apabila kita terpaksa menyerah kalah begitu saja apabila kita tidak dibantu dengan kekuatan serta kepakaran pemain import sedangkan semua pasukan yang berada di kejohanan sama diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain import yang berkualiti,” katanya.

Memang itulah tujuan sebenar mana-mana liga di dunia ini yang menggunakan khidmat pemain import. Dengan adanya rakan serta lawan yang mempunyai kepakaran yang berbeza, pemain tempatan akan lebih mudah maju dan tidak hanya ‘berkokok’ di halaman sendiri saja, tetapi ia juga bersyarat iaitu pemain kita tidak boleh menjadikan pemain import sebagai halangan untuk berjaya sebaliknya jadikan kelompok awang import itu sebagai pendorong untuk menjadi lebih baik.


**Sumber: Harian Metro**

Thursday 26 May 2011

Cetusan Rasa Dari Peminat TRW

Penonton sentiasa Hardcore...
Coach pasukan kito supo Pok kor....

Asyik duk angguk Palo apo yang Asst coach kato...
Nok harap ko taktikal..tok tahu gapo...
Player hok buleh main molek-molek ado...duk sipe wak sako...
Nok main tok leh mugo coach dan kuncu-kuncu nyo tok berapo suko...
Pah time team keno..Tan Sri dan penyokong hok menderita...
Nok wak guano mugo Pitih abih JUTO-JUTO...
Semata-mata nok tgk TRW berjaya sokmo...
Duit abih tok caro mano....katonyo penyokong dan Tan sri Annuar Musa...
Mujur la ado penyokong kito...
Stadium penuh sokmo...buleh wak backup kantung gaji player..
Main manopun pok kito tok caro...giiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii SOKMO!!!
Ni 11 aribulan final pulok puok kito....
Tapi kalu duk main coach wak caro tulo....
tok napok jalanlah sek kito nok jadi juara.... 
AIR MATo LA TETU KESUDAHANYA....



PAROK NISE PADO GULO!!!


**Sumber: Kelatefc.blogspot**

Terengganu Pendahulu Liga Baru

Keghairahan Kelantan memburu tiga mata penuh memakan diri selepas dikecewakan T-Team 1-2 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Bermain di hadapan puluhan ribu penyokong setia, Kelantan terlebih dahulu diasak T-Team melalui tandukan keluar Indra Putra Mahayudin pada minit ke-2.

Minit ke-5 perlawanan, Mohd Badrul Hisani melepaskan satu cubaan deras dari jarak 20 meter tetapi Khairul Fahmi lebih pantas melayangkan badan menepis keluar bola tersebut.

Menyedari menerima serangan bertali arus, pemain Kelantan memperkemaskan corak permainan untuk menangkis corak permainan laju pasukan pelawat.


Bermula dengan percubaan tersasar Nurul Azwan Roya hasil gerakan solo dari kawasan bawah pada minit ke-11, Kelantan terus mengasak dengan cubaan meliar S. Chanturu, dua minit selepas itu.

Pada minit ke-14, sepakan kencang Nurul Azwan Roya dari dalam kotak penalti terbias kaki pertahanan T-Team sebelum keluar.

Memasuki minit ke-23, S. Chanturu berjaya melakukan satu hantaran lintang menarik kepada Mohd Badri Radzi namun ketua pasukan Kelantan ini memilih untuk menanduk keluar walaupun penjaga gol T-Team, Zairie Idris sudah tertewas.

Lima minit kemudian, Zairul Fitree menyepak tinggi dari jarak 30 meter.

T-Team tidak ketinggalan melakukan serangan balas melalui sepakan leret Zairo Annuar terus kepada Khairul Fahmi pada minit ke-32.

Pada minit ke-42, Norshahrul Idlan berjaya menggelecek 2 pemain pertahanan T-Team tetapi sepakan lambung berjaya ditangkap kemas penjaga gol pelawat.

Tanpa disangka, T-Team berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-45 selepas Mohd Badrul Hisani menyambung masuk hantaran Norfarhan Mohamad walaupun cuba dibantah pemain Kelantan kerana mendakwa bola hantararan Norfarhan sudah keluar.

Memasuki babak kedua, Kelantan terlebih dahulu mengatur gerakan kearah pintu gol T-Team.melalui sepakan percuma Mohd Badri Radzi terkena benteng pada minit ke-47.

T-Team tidak menunggu lama untuk mengancam kubu pasukan Kelantan melalui "half volley" membias kaki S. Subramaniam pada minit ke-49.

Minit ke-54, T-Team hampir mengandakan kedudukan melalui Zairo Annuar Zailani namun penjaga gol Kelantan menjadi penghalang selepas menepis cubaan satu lawan satu pemain ini.

Tidak lama kemudian, tandukan Norfarhan hasil sepakan sudut terus kepada Khairul Fahmi Che Mat.

Norshahrul Idlan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-74 tetapi gerakan yang dilakukan penyerang ini disudahi dengan sepakan lemah kepada Zairie Idris.

Lima minit selepas itu, Badri Radzi yang mendapat hantaran dari Norshahrul Idlan menyepak keluar walaupun tidak dicabar pertahanan pasukan lawan.

Serangan demi serangan kearah pintu gol T-Team akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-85 melalui Nurul Azwan Roya yang bijak menyungkit masuk menewaskan Zairie Idris hasil hantaran Norshahrul Idlan Talaha.

Bersemangat dengan jaringan penyamaan, Kelantan mengatur beberapa gerakan merbahaya kearah pintu gol T-Team namun benteng pertahanan yang diketuai Azizi Mat Rose kental bertahan.

Ketika perlawanan hampir tamat, Indra Putra Mahayudin menghukum keghairahan pemain Kelantan melakukan serangan dengan gol kedua melalui satu sepakan menarik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Ternyata gol tersebut membunuh semangat pemain Kelantan untuk pulang dengan satu mata seterusnya mencatatkan kekalahan pertama di gelanggang sendiri.

Dengan kekalahan Kelantan, jiran tetangga, Terengganu merampas kedudukan pertama Liga Super selepas mudah membelasah Pahang 5-0.

**Sumber: RedsFC News**

Monday 23 May 2011

Pengakuan Norfarhan

Jika sebelum ini sekadar khabar angin, spekulasi dan sekadar cakap-cakap di kalangan peminat bolasepak Kelantan, kini tuan punya nama Norfarhan Muhammad sendiri memberi HINT bahawa dia mahu kembali bersama skuad TRW musim depan.

Dihubungi Suara Sukan awal pagi tadi, Norfarhan berkata apapun itu tidak bermakna beliau ketika ini berdepan masalah dengan pasukan diwakilinya kini, T-Team.

“TENGOKLAH KALAU DAPAT OFFER dari Kelantan, SAYA AKAN PERTIMBANGKAN, saya kat T-Team ni ok, takde masalah apa, bukan bermakna kalau saya nak keluar ni sebab pasukan ada masalah, biasalah T-Team ni pasukan baru, baru nak naik. cuma saya akui saya RINDU MASA MAIN NGN KELANTAN, suasana dia lain, saya dapat rasa SUASANA bola tu, PENYOKONG DIA FANATIK, tak sama di tempat lain, memang rindu sangat lar..”

“Saya dulu BUKAN SENGAJA NAK PINDAH dari Kelantan, tapi nak buat macam mana, isteri saya dapat kerja di Terengganu, rezeki dia di sini, ini PENGORBANAN saya sebagai suami, main bola takde kepuasan susah, saya GEMBIRA selama saya berada di Kelantan dulu..”, jelasnya.

Mendengar kata-kata Norfarhan, nyata dia mahu kembali bersama pasukan yang mengangkat namanya selaku antara pemain terkenal di Liga Malaysia, dan ditanya adakah dia menyesal tinggalkan TRW, sekaligus menghancurkan kepercayaan Tan Sri Annuar Musa, dan puluhan ribu penyokong Kelantan sebelum ini, ini jawapannya.

“Nak kata MENYESAL TU TAKDELAH kan. Rezeki ada di mana-mana, apa yang saya buat, saya merantau cari rezeki, bila buat keputusan kena yakinlah orang kata, cuma saya rindu, sayang Kelantan, satu feel yang takde di T-Team..”.

Sepanjang dua tahun bersama Kelantan, Norfarhan membantu Kelantan muncul Naib Juara Piala FA dan Piala Malaysia (2009), seterusnya Juara Piala Malaysia 2010, sebelum berhijrah ke T-Team bersama dua lagi pemain, Indra Putra Mahyuddin dan Azizi Mat Rose.

**Sumber :  Suara Sukan Anda**

Tan Sri Annuar Musa Dalam "Dengan Izin"

Part 1


Part 2


Part 3

Kelantan & Terengganu Sama Mata.

Terengganu menyamai kutipan mata dalam perebutan takhta Liga Super. Berbaki 5 perlawanan, Terengganu berjaya mengikat mata dengan 44 yang hanya memberi kelebihan jaringan kepada pasukan Kelantan. Kekalahan Selangor di Kuantan malam tadi memberi laluan kepada pasukan Terengganu untuk mencabar Kelantan di puncak Liga.

Kelantan hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 ketika bertemu Harimau Muda A di Shah Alam malam tadi. Barisan muda kebangsaan merupakan pasukan pengacau kepada pasukan yang berada di kelompok tiga pasukan teratas liga.

Kelantan dikejutkan oleh jaringan Izzaq Faris pada minit ke-15 namun disamakan oleh Chanturu melalui tandukan cantik hasil dari sepakan penjuru oleh Badri Radzi.

Pada separuh masa kedua, Izzaq Faris sekali lagi menjadi duri dalam daging bagi pasukan Kelantan, apabila mengambil kesempatan daripada kekalutan di hadapan gol Kelantan dengan jaringan pendahuluan kali kedua.

Jaringan Norshahrul Idlan dengan permainan berbaki 5 minit, melegakan penyokong-penyokong Kelantan yang hadir malam tadi.


Keputusan seri ini menyemarakkan lagi persaingan sengit merebut takhta liga pada tahun ini. Perebutan antara Kelantan dan Selangor sebelum ini telah diwarnai dengan kehebatan Terengganu. Pada tahun ini kehebatan pasukan Pantai Timur menggegarkan Liga Super 2011. Malah perlawanan akhir Piala FA akan menemukan kedua-dua pasukan ini pada 11 Jun nanti dan sebelum itu akan bertemu pada 6 Jun untuk perlawanan Liga Super.

Yang pasti Kelantan akan menghadapi 3 perlawanan sukar daripada 5 baki perlawanan. Betemu T-Team pada 25 Mei ini, Pahang pada 28 Mei (kedua-dua perlawanan di Kota Bharu) dan bertemu Terengganu pada 6 Jun di Kuala Terengganu, sebelum bertemu sekali lagi di perlawnan akhir Piala FA.

Friday 20 May 2011

Elavarasan: Pengadilan yang "QUESTIONABLE"

Melihat pasukannya tewas lagi, kekalahan ketujuh musim ini, kali ini 1-3 kepada Kelantan, masih boleh diterima pengendali Felda United, E.Elavarasan, namun yang membuatkannya tidak lagi mampu beralah adalah keputusan-keputusan ‘bodoh’ pengadil yang padanya boleh dipertikai dan dipersoal.

“You sebagai Press, you kena komen how was the referee, sebagai Press…better you kena komen, I tak boleh komen..”

“pengadilan QUESTIONABLE, u kena tulis questionable, kita tak nak cakap dia bagus atau tak bagus, questionable decision dalam game, itu yang menjadikan satu game yang interesting, bagus, jadi macam ... … apa pendapat you? Overall (game) ok lah,  sepatutnya kita dapat penalty, GOL tu, macam mana dia boleh suruh ambil semula? Once gol is an advantage gol, walaupun dia (Kelantan) punya striker, defend masuk dalam, DALAM PERATURAN PERMAINAN ianya gol, sebab tidak menganggu permainan, kecuali player kita (Felda) masuk dalam ianya foul, beza taw..yg 1 gol tu akan mengubah permainan, betul tak? Kenapa nak suruh ambil semula? Memang boleh dipersoalkan. Next one, ok kita down 2 gol, kita comeback 1-2, tapi kemudian 1 lagi penalty, sini pun ada handball, saya akui Kelantan pun ada situasi macam tu (penalty tak diberi, pengadilan kurang memuaskan), openly, dua-dua team main bagus, Kelantan ada banyak peluang, kita pun ada peluang kita , bezanya, kita miss dia miss, kita miss lagi, dia skor..team ni main bagus, cuma bezanya mereka tak pandai convert chances, itu yang merugikan, kadang2 keputusan pengadil menjadi tanda tanya, bukan 1 game, selalu, banyak game..”, tegas Elavarasan.

Mereka yang menyaksikan perlawanan, sama ada di Stadium Bolasepak Cheras, atau di kaca TV (Siaran Langsung Astro Arena) pastinya bersetuju dengan rintihan Elavarasan, bahawa betapa mutu pengadilan Liga Malaysia semakin hari semakin teruk, dengan terlalu banyak keputusan-keputusan kurang bijak dibuat, menampakkan seolah-olah pengadil Malaysia, tidak ada ilmu bolasepak.

Antara yang jelas dapat dilihat penulis sendiri yang berada di stadium, linesman (Mohd Ilham Mohd Tahir), atau penjaga garisan teragak-agak sama ada kedudukan pemain Felda offsaid atau tidak, tetapi dengan confident mengangkat bendera offsaid, apabila ada pemain menjerit offsaid ke arahnya (IKUT KATA PLAYER RUPANYA).

Insiden lain, 3 rayuan penalti (2 Kelantan, 1 Felda) yang memang sepatutnya penalti langsung tidak diendahkan, kononnya advantage atau clear tackle (TAKUT BUAT KEPUTUSAN, SEBAB AWAL-AWAL MINIT KEDUA DAH BAGI PENALTI, NANTI ORANG CAKAP REF GILA PENALTI). 

Ada satu ketika, pemain Felda dirempuh dari belakang, dan terbaring kesakitan, pengadil, Abu Bakar Mohd Noor, boleh suruh teruskan perlawanan, advantage kepada Kelantan, sebelum pemain Kelantan mengeluarkan bola atas semangat kesukanan (PEMAIN LEBIH TAHU SEMANGAT KESUKANAN & BILA NAK TAKE ADVANTAGE BERBANDING REFEREE).

Dan yang paling perlu ditekankan di Jabatan Pengadil, pastinya tentang apa itu offsaid, nampaknya linesman sekarang sudah tidak tahu apakah yang menyebabkan offsaid, janji player lari ke depan sahaja, terus angkat offsaid. Bola sudah melepasi dua pemain pertahanan Felda, dan dua pemain Kelantan (Norshahrul/Ramzul) datang daripada belakang boleh dikatakan offsaid? (NI TAK TAHU NAK CAKAP APA DAH).

Pastinya ramai yang merindui arwah Nazri Abdullah, Kapten Abdul Halim, serta Cikgu Subkhiddin Salleh (kini jarang mengadili perlawanan, lama tak nampak) yang layak ditabal antara pengadil terbaik pernah dilahirkan Malaysia.
*Sumber :   Suara Sukan Anda*

Kelantan Merampas Takhta Liga Super

Kekalahan Selangor kepada T-Team memberi ruang kepada The Red Warriors untuk merampas kembali takhta Liga Super dengan berkelebihan 1 mata iaitu 43 mata mengatasi Selangor dengan 42 mata.

Kemenangan 3-1 ke atas Felda United malam tadi amat bermakna bagi skuad M Karathu dan baki 6 perlawanan perlu dimanafaatkan oleh pasukannya. Apa yang pasti perlawanan akan datang, Kelantan tidak boleh tercicir sebarang mata dan memastikan 3 mata penuh untuk setiap perlawanan.

"Kami menganggap setiap perlawanan adalah perlawawanan akhir" kata Datuk M Karathu.

Pada perlawanan malam tadi, dalam keadaan padang basah, memberikan sedikit kesukaran kepada pasukan Wira Merah ini apabila banyak hantaran-hantaran pendek tidak tepat. Felda United hampir menghukum Kelantan pada minit ke-8 apabila sepakan penalti diberikan oleh pengadil yang melihat bola dipegang oleh Farisham di dalam kotak penalti. Bagaimanapun ia gagal disempurnakan oleh Azrul Ahmad.

Kegagalan Felda itu pantas diambil peluang oleh pemain-pemain Kelantan apabila merencanakan beberapa siri serangan dalam keadaan padang yang kurang baik, dan hasilnya pada minit ke-34 kapten pasukan Badri Radzi menanduk masuk bola hantaran Daudsu Jamaludin. Gol itu menceriakan hampir 1 000 penyokong setia Kelantan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Memasuki babak kedua, Kelantan membuat serangan awal dan dihadiahkan jaringan sendiri oleh Rashid Mahmud apabila tertampan bola ke gawang sendiri hasil lintangan Nurul Azwan Roya. 

Felda cuba mengatur gerakan apabila menyedari Kelantan sudah mengendurkan sedikit permainan. Mohd Nizaruddin berjaya menghasilkan gol tetapi jaringannya dibatalkan kerana didapati ofsaid. Keputusan tersebut begitu mengecewakan kem Felda United.

Serangan yang dilakukan oleh Felda akhirnya membuahkan hasil apabila Hasmarul berjaya menanduk masuk bola ke gawang Kelantan pada minit ke-84. 

Sedar dengan kebangkitan pasukan lawan, jentera serangan Kelantan membuat serangan balas dan sepakan penalti diberikan oleh pengadil apabila Nurul Azwan Roya dijatuhkan oleh Hasmarul pada minit-minit akhir perlawanan. Sepakan disempurnakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Momentum kemenangan ini diharap dapat diteruskan apabila bertemu Harimau Muda A pada 22 Mei nanti di Shah Alam.

Berikut gol-gol yang dijaringkan malam tadi:

Gol pertama Kelantan.

Gol kedua Kelantan.

Gol tunggal Felda United.

Gol ketiga Kelantan.

Thursday 19 May 2011

Ramzul Mahu Tebus Kegagalan Ketika Menentang Selangor

Penyerang muda Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan mahu menebus kegagalan memanfaatkan beberapa peluang gol ketika menentang Selangor pada separuh akhir kedua Piala FA di sini, kelmarin.

Ramzul terkilan kerana gagal mengulangi persembahan terbaiknya ketika membantu Kelantan membenam Selangor 5-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA Jumaat lalu.

“Saya memohon maaf kepada penyokong Kelantan kerana gagal memanfaatkan beberapa peluang gol pada perlawanan tersebut.

“Jika peminat berasa kecewa, saya lebih kecewa kerana mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, kegagalan saya itu memberi kesan kepada pasukan secara keseluruhan.

“Saya masih baru dan banyak lagi yang perlu dipelajari, saya kena terus fokus dan memperbaiki segala kelemahan,” ujarnya.

Menurutnya, untuk perlawanan dengan Felda United hari ini, dia telah bersedia sepenuhnya jika diturunkan.

“Saya akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan itu dan cuba hasilkan gol ataupun membuka ruang kepada rakan-rakan sepasukan,” katanya.

Kata Ramzul, perlawanan hari ini merupakan peluang terbaik untuk dia mendapatkan semula kepercayaan selepas mempamerkan aksi kurang menyakinkan.

-Sumber: Utusan Online-

Karatu Mahu Pemain Fokus Liga Super

"LUPAKAN seketika saingan Piala FA, sebaliknya berikan tumpuan penuh dalam Liga Super jika mahu terus mencabar kejuaraan musim ini."
Itu pesanan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan dengan Felda United di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur malam ini.
Menurutnya, meskipun masih ada baki tujuh lagi perlawanan untuk diharungi, beliau tetap melaungkan keyakinan pasukannya mampu menjadi juara sekiranya berjaya mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan yang bakal dilalui selepas ini.
"Walaupun dibezakan dengan dua mata dengan pendahulu liga, Selangor, saya tetap tidak akan mengalah dan kita akan terus memberikan tentangan sengit.
"Untuk itu kita perlu fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui dan kita tidak boleh terus keciciran mata dalam perlawanan selepas ini kerana Terengganu sentisa menunggu peluang untuk memintas kita," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Felda United malam ini, Karathu tidak mahu terlalu yakin meskipun mereka pernah membenam Felda 6-0 pada perlawanan pusingan pertama lalu.
Beliau sudah mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah perlawanan ini.
"Saya yakin Felda United akan turun bermati-matian dalam perlawanan malam esok (malam ini), lagipun semua pemain mereka sudah mendapat rehat yang cukup sebelum menentang kami.
"Jadi saya ingatkan kepada semua pemain saya agar berhati-hati dan tugas penting mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini perlu direalisasikan sebaik mungkin," katanya.
Tambahnya, ini merupakan perlawanan pertama buat pasukannya selepas mengharungi perlawanan berprofil tinggi ketika bertemu Selangor, Selasa lalu.
"Oleh itu saya harap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan ini dan jangan terlalu dibuai dengan kejayaan menyingkirkan Selangor dalam saingan Piala FA sebaliknya fokus dalam saingan Liga Super" ujarnya.
-Sumber: Kosmo Online-

Stadium Nasional Jadi Medan Akhir Piala FA 2011

Perlawanan akhir Piala FA yang mempertemukan dua gergasi bola sepak Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun 2011.

Perkara ini telah disahkan oleh Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa semalam. Perkara ini menolak khabar angin yang mengatakan perlawanan akhir akan berlangsung di stadium berkecuali di Pantai Timur.

Pada awalnya, Stadium Shah Alam bakal menjadi venue pertandingan, tetapi memikirkan kebanjiran penonton yang bakal hadir oleh kedua-dua pasukan perlu diambil kira kerana kapasiti Stadium Nasional lebih besar berbanding Stadium Shah Alam.

Sememangnya penyokong-penyokong kedua-dua pasukan akan memenuhi setiap ruang yang telah ditetapkan. Di harap kedua-dua penyokong dapat menonton perlawanan yang hebat dalam suasana yang harmoni. Kelantan dan Terengganu bersaudara.


Stadium Red Warriors Akan Dibina

Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini. Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh.
Kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium. Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri. Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti.
Cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.
Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah.
Sekian.

YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 14 Jamadil Akhir 1432H / 18 Mei 2011M

Wednesday 18 May 2011

Pemain Import Kelantan?

Sejak semalam, Tan Sri Annuar Musa telah memuat naik gambar seorang pemain Nigeria. Ia menjadi tanda tanya kepada semua peminat. Adakah ini pemain yang akan dibeli oelh KAFA pada musim hadapan? Saya sendiri ada meng'google" pemain ini. Namanya ialah Jeremiah Ani dari negara Nigeria. Dia merupakan bekas pemain skuad bawah-17 tahun Nigeria. Pemian berusia 25 tahun ini kini beraksi dengan kelab Disvisyen A Cyprus, APOP Kinyras Peyias.

Jika benar ini lah pemain import Kelantan musim hadapan, sama-samalah kita nilai pemian ini melalui video Youtube ini...


Venue Perlawanan Akhir Piala FA 2011 Ditenetukan Minggu Ini.

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Venue perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Terengganu yang akan berlangsung pada 11 Jun depan hanya akan diketahui selewat-lewatnya minggu ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau berkata pemilihan venue untuk perlawanan akhir itu akan diputuskan dalam mesyuarat majlis jawatankuasa FAM dalam waktu terdekat.

"Ia masih dalam perbincangan. Kita pasti akan tentukan perlawanan akhir Piala FA pada Jumaat ataupun selewatnya dalam minggu ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada hari Selasa.

Ditanya sama ada pemilihan venue akan melibatkan di Kelantan ataupun Terengganu, beliau berkata perkara tersebut tidak akan berlaku memandangkan kapasiti kedua-dua stadium tersebut tidak mampu menampung jumlah penonton pada perlawanan akhir.

Perlawanan itu dijangka berlangsung di Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 tempat duduk ketika Stadium Nasional di Bukit Jalil masih dalam proses penyelenggaraan.

Sekiranya FAM berhasrat untuk menggunakan Stadium Nasional sebagai venue akhir perlawanan tersebut, badan itu perlu mencari RM500,000 untuk menanggung kos penangguhan pembaikan trek di stadium itu.

Ini kerana stadium itu baru menjalani proses baik pulih trek dalam bulan ini dan telah beberapa kali tertangguh.

Kali terakhir penangguhan kerja pembaikan adalah untuk memberi laluan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia pada Piala AFF Suzuki penghujung tahun lalu.

Selain menggunakan stadium tersebut untuk perlawanan akhir Piala FA, FAM juga berhasrat untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di antara skuad kebangsaan menentang tiga kelab Liga Perdana Inggeris - Chelsea, Liverpool dan Arsenal pada Jun dan Julai ini.

-- BERNAMA

Gol Cantik Oleh Shakir Shaari

Monday 16 May 2011

Selangkah Ke Final

Tatkala pengendali Selangor, K Devan perlu memikirkan ramuan khas untuk pasukannya mencari seberapa banyak gol pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA malam ini, berbeza pula reaksi Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang sedikit pun tidak tertekan malah lebih bersemangat menceritakan persiapan pasukan kendaliannya.

Berbekal kelebihan empat gol, jelas Karathu tanpa bersembunyi mengakui beliau cukup optimis bahawa mampu membawa The Red Warriors mara ke perlawanan akhir buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

“Turun tanpa dua pemain pertahanan, Zairul Fitree (Ishak) dan Mohd Farisham (Ismail) tidak menjejaskan perancangan saya. Saya akui Selangor bakal memberikan tentang sengit sekali pun menyedari peluang mereka cukup sempit untuk mencipta kemenangan di Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Justeru saya menganggap kita masih belum layak ke perlawanan akhir selagi tempoh 90 minit belum berakhir. Satu perkara yang saya ingatkan kepada pemain bahawa ini peluang terbaik bagi mereka untuk menunjukkan persembahan cemerlang mereka dihadapan penyokong setia sendiri.

“Dua misi berbeza bahawa kita harus mempertahankan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dan seperkara lagi betapa pentingnya untuk kita terus melebarkan rekod kemenangan kita ke atas Selangor. Soal siapa lawan kita di perlawanan akhir, nanti kita fikir kemudian,” katanya.

Menurut Karathu, latihan terakhir pasukan Kelantan petang ini (semalam) lebih tertumpu kepada perubahan formasinya dalam mencari kesebelasan pemain terbaik setelah dua tonggak utama di benteng pertahanan terpaksa disisihkan gara-gara mengumpul dua kad kuning.

“Tidak ada masalah tanpa dua tonggak yang digantung itu. Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) dan Mohamad Ab Aziz (Ismail) mungkin akan disenaraikan dalam kesebelasan utama. Saya tengah mencongak strategi ampuh untuk mengekang barisan pemain Selangor.

“Kita tidak akan bermain secara bertahan. Itu bukan cara kita bermain apabila menentang pasukan kuat seperti Selangor. Sebaliknya kita akan bermain seperti biasa dan saya mahu pemain mendapatkan gol awal bagi membunuh semangat juang pemain lawan. Saya tidak mahu pemain mensia-siakan peluang seperti yang berlaku pada babak kedua di Shah Alam tempohari.

“Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) juga akan diberikan peranan sebagai penggempur utama. Dia memang belum menemui rentak sebenar kerana hanya baru diturunkan dalam perlawanan lalu namun saya percaya sumbangan dia cukup penting bagi kejayaan pasukan,” katanya.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Shah Alam pada Jumaat lalu, Kelantan berpesta gol setelah membelasah Selangor dengan kemenangan 5-1. Dalam perlawanan itu, Muhammad Ramzul Zahini Adenan berjaya menjaringkan dua gol sementara satu gol lagi masing-masing menerusi sumbangan Muhd Badhri Radzi, Mohd Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha.