Thursday 30 January 2014

Kami gagal manfaat peluang

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby menyifatkan kekalahan 1-2 kepada PKNS FC dalam saingan Liga Super kelmarin berpunca daripada kesilapan semua pemain.
Darby berkata, tiada pemain tertentu yang perlu dipersalahkan sebaliknya kekalahan berkenaan disebabkan kesilapan satu pasukan selain tidak memanfaatkan peluang tercipta di depan gol lawan.
“Tiada pemain tertentu yang harus dipersalahkan.
Kekalahan ini berpunca daripada kelemahan pasukan dan kita cipta banyak peluang, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan.
“Pemain saya ada yang bermain dengan baik, tapi masih melakukan kesilapan kecil.
Kesilapan ini yang menghukum pasukan dan kami terpaksa menerima keputusan perlawanan itu,” katanya selepas perlawanan itu kelmarin.
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan kini turun ke tangga keempat Liga Super, namun masih berkongsi enam mata dengan tiga pasukan teratas iaitu Selangor, Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, Darby turut menyifatkan ketiadaan pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan menjejaskan rentak permainan mereka.
Menurutnya, beliau mengharapkan pemain dari Mesir itu cepat pulih untuk diturunkan dalam perlawanan saingan Piala FA menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, 4 Februari ini.
“Ketiadaan Shawky memang menjejaskan rentak permainan kami.
Dia pemain tengah berkualiti dan anda semua sudah lihat bagaimana dia beraksi.
“Kita akan ke Brunei esok (hari ini) sebagai persediaan saingan Piala FA.
Saya harap Shawky segera sembuh,” katanya.
www.hmetro.com.my

Kekalahan buka pekung

KOTA BHARU – Kekalahan kepada PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin membuka pekung kelemahan jentera Kelantan, terutama di bahagian tengah.
Malah pengendalinya, Steve Darby secara terbuka mengakui, ketiadaan pemain import Mohamed Shawky Aly dan tonggak tempatan Amar Rohidan akibat kecederaan merencatkan jentera tengah untuk melancarkan serangan.
Darby berkata, kehilangan perancangan itu memaksanya melakukan beberapa perubahan untuk pertemuan tersebut yang menyaksikan Kelantan tumpas di hadapan penyokong sendiri.
“Amat berbeza corak permainan kami tanpa Mohamed Shawky. Saya bukan sahaja kehilangan dia tetapi juga Amar Rohidan.
“Ini memaksa saya meletakkan Ahmad Fakri Saarani selaku pemain tengah dan dia tetap beraksi cemerlang biar pun bermain di luar posisi asalnya,” kata Darby.
Dalam perlawanan itu, The Red Warriors terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil tandukan Ahmad Fakri pada minit ke-30, sebelum PKNS membalas dengan dua gol menerusi kaptennya, Mohd. Fauzan Dzulkifli dan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor.
Darby berkata, dua gol dalam tempoh seminit yang dijaringkan oleh PKNS menafikan hasrat The Red Warriors untuk meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri.
Katanya, meskipun terlebih dahulu membuka jaringan, namun kesilapan yang dilakukan Kelantan berjaya diambil kesempatan oleh PKNS untuk meraih tiga mata menerusi dua gol pantas pada babak pertama.
Beliau bagaimanapun tidak mahu meletakkan kekalahan tersebut di atas bahu pemainnya selepas mereka memperagakan aksi bertenaga dengan mendominasi pada babak kedua perlawanan.
“Corak permainan PKNS begitu tersusun dan berdisiplin. Anda beritahu apa yang perlu saya buat.
“Saya ada dua penyerang (Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe) yang mempunyai banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol.
“Dua gol dalam tempoh satu minit itu betul-betul tidak masuk akal. Gol pertama PKNS berpunca daripada ‘set piece’, sesuatu yang saya tidak suka tetapi telah berlaku dalam perlawanan itu,” jelasnya.
Darby mahu barisan pemainnya menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran menjelang aksi seterusnya.
“Kami tewas kepada PKNS disebabkan kesalahan pemain sendiri. Saya mahu mereka belajar daripada kesilapan ini, mengapa dua gol itu terhasil sedangkan lawan hanya ada tiga peluang tetapi kita ada 21 percubaan ke pintu gol mereka.
“Sukar bagi kami menembusi pintu gol lawan apatah lagi ada sepuluh pemain mereka berkampung di situ,” ujarnya.
Tambahnya, pemain pertahanan dan penjaga gol pelawat harus diberikan pujian kerana mempamerkan aksi cemerlang untuk menafikan peluang Kelantan menambah gol.
www.utusan.com.my

Bukan salah Pahlawan Merah

KETUA jurulatih Kelantan, Steve Darby enggan menyalahkan barisan pemainnya ekoran kekalahan mengejut 1-2 kepada PKNS pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Menurut Darby, skuad The Red Warriors telah menampilkan rentak terpuji sepanjang perlawanan, namun akhirnya kecewa dengan kesilapan dalam tempoh seminit sehingga mengundang padah buat mereka.
“Corak permainan PKNS begitu tersusun dan berdisiplin. Anda (pihak media) beritahu apa yang perlu saya buat.
“Saya ada dua penyerang (Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe) yang mempunyai banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol dalam perlawanan ini.
“Dua gol (PKNS) dalam tempoh satu minit itu betul-betul tidak masuk akal. Gol pertama mereka berpunca daripada set piece, sesuatu yang saya tidak suka tetapi telah berlaku dalam perlawanan ini,” katanya kelmarin.
Kelantan terlebih dulu membuka membuka tirai jaringan hasil tandukan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30.
PKNS menyamakan kedudukan menerusi kapten, Mohd. Fauzan Dzulkifli pada minit ke-40 sebelum Mohd. Aminuddin Mohd. Noor menambah gol kedua pasukan pelawat seminit kemudian.
Darby memberitahu, beliau mahu barisan pemainya menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran menjelang aksi seterusnya.
“Kami tewas kepada PKNS disebabkan kesalahan pemain sendiri. Saya mahu semua pemain belajar daripada kesilapan ini.
“Mengapa dua gol itu terhasil sedangkan lawan hanya memperoleh tiga peluang tetapi kita ada 21 percubaan ke pintu gol mereka.
“Sukar bagi kami menembusi pintu gol lawan, apatah lagi ada 10 pemain mereka ‘berkampung’ di situ,” ujarnya.
Darby menambah, ketiadaan Mohamed Shawky yang diketepikan akibat kecederaan otot paha menjejaskan perancangan Kelantan sehingga memaksa beliau melakukan rombakan.
“Amat berbeza corak permainan kami tanpa Mohamed Shawky. Malam ini (kelmarin) saya bukan saja kehilangannya tetapi juga Nazri Ahmad dan Amar Rohidan.
“Ini memaksa saya meletakkan Fakri selaku pemain tengah dan dia tetap beraksi cemerlang biarpun bermain di luar posisi asalnya,” katanya.
www.kosmo.com.my

Wednesday 29 January 2014

Rekod bersih Kelantan lebur

REKOD tanpa kalah Kelantan musim ini lebur ditangan Selangor PKNS selepas tumpas mengejut 1-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors bermula hambar pada 20 minit pertama apabila setiap gerakan yang dilancarkan mudah dibaca pemain pasukan lawan.
Usaha tuan rumah untuk memburu jaringan awal akhirnya berhasil menerusi tandukan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30 yang melepasi jangkauan penjaga gol pelawat Mohd. Ramezey Che Ros.
Seminit kemudian, tonggak import Kelantan Mohammed Ghaddar mempersiakan peluang untuk menambah jaringan selepas rembatannya melepasi palang gol biarpun ketika itu Ramezey sudah terkeluar daripada posisinya.
Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat kembali bangkit dengan meledakkan gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Mohd. Fauzan Dzulkifli untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-39.
Dua minit berselang, pelawat mengukuhkan cengkaman menerusi gol kedua mereka hasil jaringan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor untuk menutup aksi babak pertama berpihak kepada PKNS.
Sebaik sahaja babak kedua bersambung, pelawat dilihat semakin garang menerusi rembatan kencang perancang tengah mereka Mohd. Nazmi Faiz Mansor yang berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-46.
Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-52 dan 56, namun rembatan deras Francis Forkey Doe gagal menepati sasaran.
Minit ke-58, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria terlepas peluang meledak jaringan penyamaan apabila sepakannya melewati palang walaupun pintu gol sudahpun ternganga.
Tuan rumah terus kempunan untuk mendapatkan jaringan apabila peluang demi peluang yang dimiliki gagal diterjemahkan dengan baik oleh jentera serangan The Red Warriors diketuai oleh Forkey Doe.
Kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
www.kosmo.com.my

Red Warriors digigit Red Ants di laman sendiri

KOTA BHARU – The Red Warriors dimalukan di hadapan kira-kira 25,000 penyokong sendiri selepas tewas 1-2 kepada PKNS dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, semalam.
Beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong setia, babak pertama perlawanan jelas dikuasai Kelantan yang garang melancarkan banyak gerakan berbahaya namun dipatahkan dengan mudah benteng pertahanan pelawat.
Serangan demi serangan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30 apabila Kapten Pasukan, Badhri Radzi melakukan hantaran pendek sebelum ditanduk masuk Ahmad Fakri Saraani.
Seminit kemudian, tonggak import Kelantan, Mohammed Ghaddar mempersiakan peluang untuk menambah jaringan selepas rembatannya sekadar melintasi gawang gol PKNS biarpun penjaga gol Mohd. Ramezey Che Ros sudahpun tertewas ketika itu.
Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat kembali bangkit dengan meledakkan gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Mohd. Fauzan Dzulkifli untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-39.
Kerapuhan benteng pertahanan The Red Warriors semakin ketara apabila pasukan pelawat berjaya menambah jaringan dua minit kemudian menerusi lorongan mudah Mohd. Aminuddin Mohd. Noor yang hanya perlu berdepan Khairul Fahmi Che Mat sekali gus menutup aksi babak pertama berpihak kepada PKNS.
Sebaik sahaja babak kedua bersambung, pelawat dilihat semakin garang menerusi rembatan kencang perancang tengah mereka Mohd. Nazmi Faiz Mansor namun berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi pada minit ke-46.
Kelantan pula kembali menggandakan asakan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-52 dan 56, namun rembatan deras Francis Forkey Doe gagal menepati sasaran.
Minit ke-58, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pula terlepas peluang meledak jaringan penyamaan apabila sepakannya melewati palang walaupun pintu gol sudah pun ternganga.
www.utusan.com.my

Liga Super 2014 KELANTAN 1-2 Selangor PKNS

Tuesday 28 January 2014

Rentak makin teratur, kata Darby

JURULATIH Kelantan, Steve Darby menyifatkan anak didiknya sudah mula menemui titik keserasian walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, Kuching semalam.
Meskipun ramai yang menganggap kemenangan The Red Warriors (TRW) itu sebagai ‘menang nasib’ kali kedua, namun Darby menafikannya malah menegaskan kejayaan itu adalah hasil usaha keras pemainnya.
Darby berkata, kemenangan kedua berturut-turut yang meletakkan TRW di kedudukan teratas Liga Super setakat ini membuktikan pemainnya sudah mula mendapat rentak tetapi mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu dibaiki.
Jurulatih berusia 58 tahun dari England itu juga berpendapat, pujian harus diberikan kepada pemainnya yang mempamerkan kesungguhan sehingga tamat perlawanan, sehingga berjaya mendapat mendapatkan satu jaringan tunggal sekaligus memastikan tiga mata dikutip di gelanggang lawan.
“Saya amat gembira dan berpuas hati dengan persembahan pemain kerana mereka mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan jaringan dan membawa pulang tiga mata.
“Pemain mula menunjukkan keserasian antara satu sama lain walaupun pada mulanya kita agak susah mencipta peluang. Bagaimanapun usaha keras pemain sehingga hujung perlawanan membuahkan hasil,” kata Darby.
Jaringan kemenangan yang dihasilkan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe di saat akhir perlawanan selepas menerima umpanan seorang lagi penyerang Mohamed Ghaddar membuktikan kedua-dua pemain berkenaan semakin serasi.
Darby menambah tanpa mendabik dada, TRW perlu meneruskan rentak kemenangan itu apabila bakal melayan kunjungan PKNS dalam perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Selasa ini.
“Pemain mengikut apa yang dirancangkan dan mereka memiliki kebolehan tersendiri untuk mengatasi pemain lawan. Ini keputusan baik dan perlu diteruskan dalam perlawanan seterusnya,” sudahi beliau.
www.sports247.my

Kelantan enggan dabik dada

BIARPUN berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Sarawak pada aksi kedua saingan Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam kelmarin, The Red Warriors enggan mendabik dada di sebalik kejayaan tersebut.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, perjalanan liga baharu sahaja bermula dan kejayaan meraih tiga mata penuh ke atas Ngap Sayot pada perlawanan kedua itu tidak harus melekakan barisan pemainnya.
“Dari satu sudut, kami sebenarnya agak bernasib baik dapat mencuri tiga mata di Kuching. Kemenangan ke atas Sarawak merupakan satu bonus dan motivasi buat pemain Kelantan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
“Namun, masih banyak kelemahan menghantui pasukan ini dan perkara ini dalam perhatian jurulatih (Steve Darby) untuk memperbetulkannya. Memang kemenangan dalam setiap perlawanan amat mustahak untuk kita mencongak hala tuju pasukan selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jaringan penyerang kebangsaan Liberia, Francis Forkey Doe pada penghujung perlawanan memastikan Kelantan terbang pulang ke Kota Bharu dengan tiga mata penuh sekali gus membolehkan gergasi Pantai Timur itu memimpin saingan liga setelah merakamkan dua kemenangan berturut-turut.
Menurutnya, barisan pemain Kelantan masih belum mempamerkan rentak sebenar dalam perlawanan tersebut dan beliau berharap kelemahan itu diatasi segera menjelang pertemuan menentang PKNS FC di gelanggang keramat mereka, malam esok.
“Biar pun Forkey Doe meledak jaringan pada perlawanan itu, namun gandingan dia bersama Mohamad Ghaddar masih belum menampakkan keserasian dan mereka berdua perlu lebih tajam di depan pintu gol lawan jika mahu menghasilkan gol,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak risau dengan benteng pertahanan memandangkan gandingan Obinna Nwaneri, Mohd Farisham Ismail dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim sudah berjaya membentuk kombinasi mantap dalam dua perlawanan lalu.
“Saya fikir bahagian tengah perlu diperbaiki lagi. Ketiadaan dua pemain tonggak, Amar Rohidan dan Mohamed Shawky Aly pada pertemuan dengan Sarawak amat dirasai dan saya harap mereka berdua boleh beraksi memperkuatkan Kelantan pada malam esok,” katanya.
www.sinarharian.com.my

Baiki serangan dan tengah

KOTA BHARU – Biarpun menang ke atas Sarawak namun pengurusan The Red Warriors (TRW) tanpa berselindung meluahkan kebimbangan mereka terhadap jentera tengah dan serangan yang gagal berfungsi dengan baik.
Pengurus pasukan TRW, Azman Ibrahim yang enggan mendabik dada ke atas kemenangan 1-0 itu berkata, pihaknya perlu memperbaiki kelemahan itu secepat mungkin sekiranya tidak mahu tercicir dalam persaingan Liga Super yang semakin hebat.
Beliau berkata, dalam perlawanan itu, pihaknya mendapati jentera tengah dan serangan masih tercari-cari rentak persembahan yang sebenar.
“Saya akui kehilangan dua tonggak di bahagian berkenaan iaitu Mohammad Shawky dan Amar Rohidan amat dirasai dalam perlawanan tersebut, namun pengganti tonggak berkenaan Nazri Ahmad beraksi dengan baik.
“Begitu juga dengan gandingan Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe yang masih tercari-cari rentak.
“Bagaimanapun barisan pertahanan kita dilihat semakin mantap apabila kesemua pemain yang beraksi di posisi berkenaan telah membentuk kombinasi yang serasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam perlawanan kelmarin, penyerang kelahiran Liberia, Forkey Doe muncul wira TRW apabila jaringannya pada minit ke-89 sudah cukup untuk membantu pasukan itu meraih tiga mata dan menghuni tangga teratas Liga Super.
Azman berkata, beliau mahu barisan pemainnya mengekalkan momentum tersebut bagi memastikan Kelantan berada pada landasan terbaik untuk saingan Liga Super musim ini.
www.utusan.com.my

Monday 27 January 2014

Sarawak 0-1 Kelantan: Forkey Doe hukum Bujang Senang

Jaringan lewat memastikan Kelantan mengutip 3 mata dalam perlawanan yang sukar.

Selepas permulaan yang kurang memberansangkan untuk musim baru, tekanan adalah pada skuad Robert Alberts untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan pertama liga di Kuching berbanding Kelantan. Sebelum ini, mereka telah tewas dalam perlawanan pembukaan liga mereka menentang ATM, dan kemenangan tipis menentang Pulau Pinang dalam Piala FA.

Mereka bermula cemerlang dengan serangan oleh Ashri Chuchu di sebelah kiri. Walaupun membuat banyak asakan ke bahagian pertahan pelawat, kebanyakan hantaran pemain tengah itu tidak dapat disudahkan oleh penyerang-penyerang Bujang Senang.

Kelantan juga turut mengancam barisan pertahanan Sarawak melalui gabungan penyerang import mereka; Muhammad Ghaddar dan Forkey Doe, tetapi kedua-dua penyerang tersebut gagal menghasilkan gol.

Walaupun tempo permainan yang pantas pada separuh masa pertama, dengan pemain di kedua-dua pasukan mendapat kad kuning,ia tamat tanpa sebarang jaringan dengan Sarawak mendominasi permainan.

Lapan minit dalam separuh masa kedua, Doe berjaya merobek pertahanan Sarawak, sebelum menolak masuk bola ke dalam gawang Sani Anuar Kamsani, tetapi Doe dikesan ofsaid oleh penjaga garisan.

Dalam separuh masa kedua, kedua-dua pasukan bermain secara berhati-hati, dengan sedikit peluang dicipta berbanding separuh pertama.

Dalam minit ke-64, Lot Abu Hassan membuat hantaran silang di sebelah kanan disambut oleh penyerang baru Sarawak dari Iran Alireza Abbasfard, tetapi tandukannya melewati palang.

Tetapi apabila perlawanan kelihatan seperti akan berakhir dengan seri tanpa jaringan, ketua pasukan Kelantan, Badhri Razi melorongkan bola kepada Ghaddar di sebelah kiri. Walaupun beliau dihalang oleh pertahanan Sarawak, beliau masih mampu membuat hantaran silang rendah ke dalam kotak penalti, yang tidak dijangka oleh Sani. Forkey Doe tidak dikawal, mudah menolak masuk bola ke dalam pintu gol yang terbuka luas untuk gol pertama dan gol tunggal perlawanan.

Man of the Match: Francis Forkey Doe

Ketabahan adalah kunci bagi pemain yang mahukan kemenangan.


Bermain di Kuching sentiasa menjadi cabaran bagi mana-mana pasukan, jadi apabila Pahlawan Merah mengembara di sana untuk bermain perlawanan liga kedua mereka, mereka menghadapi kesukaran untuk melaksanakan tugas yang sentiasa mereka lakukan. Terutamanya pada separuh kedua, mereka memperlahankan serangan mereka untuk menyerap serangan pasukan tuan rumah itu, kecuali beberapa usaha yang berani oleh penyerang Liberia mereka; Forkey Doe.

Beliau akhirnya mendapatkan gol dalam minit-minit terakhir perlawanan, apabila ketua pasukan mereka Badhri Razi membuat hantar kepada Muhammad Ghaddar. Ghaddar yang menarik pertahanan Sarawak untuk menghalangnya, sebelum membuat hantaran lintang kepada Doe. Tidak seperti pasukan tuan rumah, Doe tidak hilang tumpuan, dan dia menerkam bola untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan itu, dan pastikan pasukan kembali ke Kota Bharu dengan tiga mata.

"The Predator" buat Sarawak Merana

KUCHING  – Jaringan tunggal penyerang import, Francis Forkey Doe pada penghujung perlawanan memastikan The Red Warriors meraih tiga mata ke atas Sarawak dalam aksi kedua saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.
Forkey Doe atau terkenal dengan jolokan The Predator muncul selaku wira Kelantan apabila tenang menolak gol pada minit ke-90 sekali gus mengecewakan hampir 15,000 penyokong tuan rumah ketika kedua-dua pasukan dilihat hampir pasti berkongsi mata dalam perlawanan tersebut.
Kemenangan tipis ke atas juara Liga Premier musim lalu itu membolehkan Kelantan memimpin saingan liga buat pertama kali dan muncul pasukan tunggal dengan rekod tanpa kalah setelah mengharungi dua perlawanan setakat ini.
Apa pun, Sarawak yang melakukan sepak mula memperoleh peluang seawal minit keempat untuk mengejutkan Kelantan namun lambungan pemain tengah, Mohd Lot Abu Hassan yang berjaya memperdayakan benteng pertahanan mudah dibaca penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Tiga minit berselang, tuan rumah sekali lagi mencemaskan gawang Kelantan menerusi sepakan penjuru Mohd Lot namun tandukan penyerang import dari Serbia, Milorad Janjus gagal menepati sasaran.
Kelantan yang tersentak dengan dua percubaan awal tuan rumah akhirnya kembali menemui rentak permainan sebenar pada minit ke-10 namun percubaan Forkey Doe hasil lontaran ke dalam oleh Zairul Fitree Ishak tinggi melewati palang.
Menerusi satu gerakan cantik dua minit kemudian, Kelantan sekali lagi berpeluang apabila Ahmad Fakri Saarani bijak mengumpan bola buat Mohamad Ghaddar namun pemain kebangsaan Lubnan itu lambat menolak kepada Forkey Doe.
Seminit kemudian, giliran Ahmad Fakri pula terlepas peluang untuk meletakkan bola ke dalam gawang Bujang Senang setelah bola rembatannya berpunca hantaran lintang Zairul Fitree diselamatkan pertahanan tengah Sarawak, Ronny Harun.
Tuan rumah bagaimana pun bangkit memberi saingan selepas itu menerusi dua peluang keemasan mereka pada minit ke-20 dan 22 namun rembatan Janjus terlalu mudah buat Khairul Fahmi.
Peluang buat Kelantan hadir pada minit ke-25 namun percubaan Mohamad Ghaddar serong di sebelah kanan disusuli seminit kemudian, tandukan Forkey Doe hasil hantaran silang Tengku Hasbullah Raja Hassan melantun ke tanah lebih awal sebelum di selamatkan penjaga gol Sarawak, Sani Anuar Kamsani.
Aksi pada minit ke-30 turut mendebarkan apabila Ketua Pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie memperdayakan pertahanan Kelantan, Mohd Farisham Ismail dan Zairul Fitree namun rembatan kaki kanannya tinggi melewati gawang.
Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi kembali membalas serangan tuan rumah enam minit kemudian apabila menewaskan tiga pemain lawan namun percubaannya di luar kotak penalti tersasar biar pun Forkey Doe berada pada kedudukan terbaik untuk menghasilkan jaringan.
Dua minit sebelum babak pertama berakhir, stadium bergegar dengan sorakan penyokong tuan rumah apabila Joseph Kalang menanduk masuk umpanan pendek Alireza Abbasfard di dalam kotak penalti namun dibatalkan oleh pengadil setelah beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Cerita babak kedua menampilkan skrip yang sama apabila kedua-dua pasukan terus buntu untuk memecahkan kebuntuan meski pun Kelantan lebih awal mengancam tuan rumah menerusi hantaran lambung Mohamad Ghaddar yang gagal disambar Forkey Doe pada minit ke-51.
Nasib malang menimpa Forkey Doe empat minit kemudian, apabila beliau dilayangkan kad kuning setelah menyepak bola masuk walau pun pengadil, Mohd Nafeez Abd Wahab meniupkan wisel lebih awal menandakan penyerang kebangsaan Liberia itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Selepas itu, penguasaan perlawanan menjadi milik tuan rumah namun Janjus mensia-siakan peluang terhidang untuk mengotakan janjinya meledak dalam perlawanan malam tadi apabila tandukannya sedikit tersasar setelah menerima hantaran daripada Mohd Lot pada minit ke-65.
Empat minit kemudian, Kelantan hampir menamatkan kebuntuan jaringan apabila Forkey Doe mendada kemas bola hantaran lambung Ahmad Fakri tetapi belum sempat beliau melepaskan rembatan, penjaga gawang Sarawak lebih pantas menerpa menyelamatkan keadaan.
Menuju minit ke-73, pengendali Sarawak, Robert Alberts sekali lagi gigit jari untuk melihat pasukannya meraikan jaringan apabila tandukan Alireza gagal menewaskan Khairul Fahmi ketika simulasi Ashri Chuchu yang merebahkan badannya di dalam kotak penalti sebelum itu gagal mendapat ihsan daripada pengadil.
Terdesak untuk mendapatkan jaringan, jurulatih kelahiran Belanda itu memasukkan Zamri Morshidi dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-77 dan 81 dan percaturan tersebut berjaya menghidupkan kembali corak serangan mereka.
Hasilnya, seminit kemudian, Akmal Rizal bijak melakukan hantaran lintang cantik dari sebelah kanan gawang Kelantan namun Janjus terus gagal menolak masuk gol untuk pasukannya.
Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri tanpa jaringan, muncul Mohd Badhri yang melorongkan bola kepada Mohamad Ghaddar yang berjaya mengelirukan Ronny Harun di dalam kotak penalti.
Kesudahannya, Sani Anuar tersalah langkah apabila tindakannya meluru keluar diperhatikan Mohamad Ghaddar yang terus menolak bola kepada Forkey Doe sebelum bekas penyerang import Selangor musim lalu itu tenang merembat masuk ke gawang tuan rumah untuk memastikan tiga mata dibawa pulang pasukannya ke Kota Bharu.
Kesebelasan utama pemain :
SARAWAK – Sani Anuar Kamsani, Mohd Hairol Mokhtar, Gabor Gyepes, Ronny Harun, Ramesh Lai Ban Huat, Mohd Lot Abu Hassan (Reeshafiq Alwi), Junior Eldstal, Ashri Chuchu (Zamri Morshidi), Joseph Kalang Tie (KP), Alireza Abbasfard (Akmal Rizal Ahmad Rakhli) dan Milorad Janjus.
FORMASI : 4-4-2
KELANTAN – Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Obinna Nwaneri, Mohd Farisham Ismail, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Muhammad Nazri Ahmad (Ahmad Shakir Md Ali), Mohd Badhri Radzi (KP), Zairul Fitree Ishak (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria), Mohamad Ghaddar, Ahmad Fakri Saarani dan Francis Forkey Doe.
FORMASI : 3-5-2
STATISTIK PERLAWANAN
Percubaan tepat : Sarawak (3) Kelantan (4)
Percubaan tersasar : Sarawak (4) Kelantan (6)
Sepakan penjuru : Sarawak (6) Kelantan (1)
Sepakan percuma : Sarawak (13) Kelantan (10)
Ofsaid : Sarawak (7) Kelantan (2)
Kekasaran : Sarawak (4) Kelantan (10)
Kad kuning : Sarawak (Milorad Janjus) Kelantan (Muhammad Nazri Ahmad, Francis Forkey Doe dan Ahmad Fakri Saarani)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan :  Lima minit
Penguasaan bola : Sarawak (53%) Kelantan (47%)
PEGAWAI PERLAWANAN
Pengadil : Mohd Nafeez Abd Wahab
Penolong Pengadil 1: Mohd Shahreen Che Omar
Penolong Pengadil 2: Mohd Abd Suki Abd Said
Pegawai Keempat : Tiong Eng Tai
Kommissioner Perlawanan : Junaidi Ahmad
Penilai Pengadil : Ahmad Khalidi Supian
General Koordinator : Othman Sulaiman
www.sinarharian.com.my