Tuesday 26 February 2013

Perlawanan Piala FA Kelantan-PKNS ditunda

PERLAWANAN pusingan kedua Piala FA antara Kelantan dengan Selangor PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu terpaksa ditunda berikutan garisan kotak penalti pudar selepas hujan lebat melanda Kelantan sejak tiga hari lepas.

Komisioner perlawanan Joseph Anthonysamy berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan padang sebanyak tiga kali selain mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan sebelum mengambil keputusan menunda perlawanan.
Katanya, pemeriksaan kali pertama yang dilakukan pada 12 tengah hari tadi mendapati kawasan padang telah digenangi air selain garisan di kawasan penalti
pudar berikutan hujan lebat.
"Pemeriksaan kedua pada 6.30 petang tadi dan sebelum sepak mula perlawanan menyaksikan keadaan masih tidak berubah dan kami mengambil keputusan untuk menunda perlawanan ini," katanya kepada pemberita malam ini.
Joseph berkata usaha yang dilakukan oleh pengurusan stadium dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk membuat garisan baharu di kawasan penalti padang tidak membuahkan hasil disebabkan hujan lebat.
Katanya, beliau akan menghantar laporan mengenai masalah berkenaan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menentukan tarikh baharu perlawanan tersebut.  - Bernama

Kemasukan Fakri! Siapa yang keluar?

KEMASUKAN penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani bersama Kelantan sudah pasti menambahkan sengat dibahagian jentera serangan.

Walaupun ketajaman gerakan penyudah pemain import, Keita Mandjou sebelum ini dikritik hebat, namun kejayaan menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir menutup segala diperkatakan.

Kini timbul pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan khususnya The Red Warriors.

Bukankah dia sedang beraksi bersama Kelab Athletico di Portugal dan persoalan utama siapa pula pemain sedia ada bakal digugurkan menjelang pendaftaran pemain baru yang dibuka, April nanti.

Berdasarkan peraturan semasa FAM, setiap pasukan hanya boleh daftar 25 pemain termasuk dua import untuk Liga Malaysia. Jadi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) perlu 'mengorbankan' pemain tempatan di posisi serangan.

Penyertaan Ahmad Fakri bersama Kelantan disahkan sendiri Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa melalui laman Facebooknya dan pemain yang berasal dari Kelantan ini akan mewakili TRW, April depan.

Namun, siapa pula bakal disingkirkan? Mungkinkah pemain baru, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal atau pun anak tempatan dari Piala Presiden, Mohd Aris Zaidi.

Melihat persembahan selepas beberapa perlawanan, kehadiran Haris Safwan masih belum beri impak selain pergerakannya belum serasi dengan corak permainan kendalian Bojan Hodak.

Bagi Aris Zaidi, kebolehannya belum diuji sepenuhnya memandangkan dia hanya turun pada baki 10 minit terakhir.

Namun kenyataan Annuar sebelum ini yang mahu anak tempatan diberi keutamaan, Aris mungkin terselamat, namun Hodak perlu bijak membuat percaturan bagi memastikan kemasukan Ahmad Fakri dan perubahan taktikal yang dirancang mampu meningkatkan semula prestasi Juara Treble 2012 itu.


Artikel asal: sinarharian.com.my

Fakri milik Kelantan

PEMAIN kebangsaan yang kini beraksi bersama Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) dalam Divisyen Tiga Portugal, Ahmad Fakri Saarani sah menyarung jersi Kelantan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia, musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan perkara itu dan berkata, pemilihan Ahmad Fakri dilakukan bagi perkuatkan jentera serangan The Red Warriors.

“Semua rundingan antara Kafa, Atletico SC dan Ahmad Fakri Saarani selesai kelmarin dan kontrak beliau bersama Kelantan akan berkuat kuasa April ini," katanya.

Kehadiran Ahmad Fakri akan memperkasakan lagi jentera serangan Kelantan yang turut memiliki dua penyerang import iaitu Dimitrios Pertratos (Australia) dan Dickson Nwakaeme dari Nigeria.

Menurut Annuar, Ahmad Fakri dijangka pulang ke tanah air hujung Mac ini sebaik liga divisyen tiga berakhir dan Kelantan boleh mendaftarkan pemain berkenaan apabila jendela pendaftaran pemain dibuka, 8 April nanti.

Annuar bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kontrak ditandatangani Ahmad Fakri dan keputusan mengambil pemain itu dianggap satu langkah bijak.


Artikel asal: sinarharian.com.my

Monday 25 February 2013

Sekadar 1 mata dari Kuantan

KUANTAN, 24 Februari – Kelantan terpaksa berpuashati dengan keputusan seri apabila terikat 2-2 dengan Pahang dalam pertemuan yang berlangsung semalam di Stadium Darul Makmur.
Pahang yang mempamerkan persembahan yang bertenaga gagal dalam beberapa percubaan awal untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan.
Mereka seterusnya dikejutkan dengan jaringan gol jaringan Norfarhan pada minit ke 10. Corak permainan pantas ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dengan aksi-aksi berbalas serangan.
Pahang kemudiannya berjaya mendapat gol penyamaan di minit-minit akhir separuh masa pertama hasil jaringan Mohd Hafiz Kamal.
Pahang agak tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Hafiz Kamal dilayangkan kad merah  kerana mengasari Mohd Zamri Ramli ketika perebutan bola pada minit ke 63.
Peluang tersebut dimanfaatkan oleh Kelantan apabila Keita Mandjou meletakkan semula Kelantan mendahului jaringan apabila percubaan beliau menewaskan penjaga gol Pahang, Rosfaizul Azuar Ali pada minit ke 84.
Walau bagaimanapun, kegembiraan Kelantan tidak bertahan lama apabila Pahang mendapat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fauzi Roslan, mengikat keputusan muktamad Pahang 2, Kelantan 2.
Artikel asal: theredwarriorsfc.com

Wednesday 20 February 2013

Mandjou Hero Kelantan

Foto Kredit: theredwarriorsfc.com
KOTA BHARU, 20 Februari – Terengganu kelihatan lebih aggresif memulakan pertemuan Liga Super menentang Kelantan malam tadi di Kota Bharu. Ketiadaan Ismail Faruqi yang digantung satu perlawanan ternyata memberi impak kepada jentera serangan mereka.
Pertemuan dua gergasi bola sepak Pantai Timur ini disaksikan oleh lebih 15 ribu penyokoing di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.
Ashaari Shamsudin berpeluang membuka tirai jaringan perlawanan tetapi sepakan beliau tersasar.
Kelantan kemudiannya mengatur serangan dengan lebih kemas dengan percubaan pertama di minit ke 10 apabila sepakan percuma diberikan kepada Kelantan setelah Keita Mandjou dijatuhkan berhampiran dengan kotak penalti.
Sepakan percuma yang diambil oleh Indra Putra disambar oleh Faiz Subri yang membuat percubaan terus ke dakapan penjaga gol Terengganu.
Terengganu kemudiannya mengatur serangan balas menyebabkan keadaan kelam kabut di pintu gol Kelantan. Khairul Fahmi bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan berturut-turut oleh Effa Owona dan Manaf Mamat.
Rentak permainan Terengganu terganggu apabila Effa Owona terpaksa digantikan kerana tercedera. Dua benteng pertahanan Kelantan, Obinna dan Nik Shahrul menjadi penghalang utama bagi gerakan-gerakan oleh Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin.
Menarik pada perlawanan malam tadi, Keita Mandjou telah memperlihatkan permainan terbaik beliau sejak Liga bermula. Keita berjaya melakukan beberapa percubaan berbahaya yang menguji kecekapan penjaga gol Terengganu, Sharmiza Yusoff.
Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh Keita Mandjou pada minit ke 34 setelah penyerang import tersebut merebahkan diri untuk menanduk masuk bola yang sebelum itu terkena palang gol.
Kedudukan separuh masa pertama kekal dengan Kelantan mengatasi Terengganu 1-0.
Separuh masa ke dua bermula dengan Kelantan meneruskan asakan ke pintu gol lawan bagi menambah jaringan, manakala Terengganu mencari peluang untuk menyamakan kedudukan.
Keadaan stadium sekali lagi menjadi gemuruh apabila Keita Mandjou berjaya menambah jaringan pada minit ke 64 hasil sepakan beliau yang gagal di tampan kemas oleh Sharmiza.
Keita hampir mencipta hatrik apabila menjaringkan gol ke 3 Kelantan pada minit ke 72 tetapi jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan.
Keadaan semakin sukar untuk Terengganu apabila kapten pasukan mereka, Faizal Muhammad dilayankan kad merah , setelah menerima dua kad kuning dalam perlawanan tersebut.
Keputusan tidak berubah sehingga tamat perlawanan. Kelantan mengekalkan rekod tanpa kalah di Kota Bharu, menewaskan Terengganu 2-0, menamatkan kebuntuan mencari kemenangan dari empat perlawanan sebelumnya.
Kelantan akan bertemu Pahang di Kuantan untuk saingan Liga Super seterusnya pada 23 Februari nanti.
Artikel asal: theredwarriorsfc.com

Tuesday 19 February 2013

Misi perlu menang

KOTA BHARU, 19 Februari – Rata-rata peminat sukan bola sepak dan media sukan tanah air memperkatakan tentang perlawanan yang bakal berlangsung di selatan tanah air, antara Darul Takzim FC dan Lions XII, penyokong-penyokong Kelantan akan terus mengikuti perkembangan perlawanan di Kota Bharu mala mini di antara Kelantan dan Terengganu.
Kelantan yang tewas kepada Selangor 0-2 di Shah Alam baru-baru ini menerima aura baru apabila Presiden Kelantan FA, Tan Sri Hj Annuar Musa mengumumkan penstrukturan semula pasukan, menyaksikan Tn Hj Azman Ibrahim dilantik semula sebagai Pengurus Pasukan dan akan dibantu oleh Wan Badri Wan Omar.
Tan Sri Annuar juga mengumumkan Bojan Hodak akan menumpukan tugas sebagai Ketua Jurulatih pasukan dibantu oleh pegawai-pegawai kejurulatihan yang lain.
Tn Hj Azman yang ditemui selepas pengumuman tersebut berkata, beliau akan cuba membuat yang terbaik menjalankan amanah untuk membimbing pasukan. Walau bagaimanapun, Hj Azman mengingatkan bahawa secara individu beliau tidak akan mampu untuk mengubah situasi pasukan sekarang,  ia adalah satu usaha bersama di antara semua yang terlibat.
Bojan Hodak dijangka akan membuat beberapa pertukaran taktikal dan menurunkan barisan pemain terbaik untuk perlawanan malam ini. Keputusan perlawanan dan permainan Kelantan hambar menerima kritikan “pedas” daripada penyokong-penyokong sendiri.
“Kita perlu beri sesuatu kepada mereka (penyokong). Permainan yang baik dan kemenangan. Ini akan mengubah perjalanan kita selepas ini,” kata Bojan.
Pasukan Terengganu sudah berada di Kota Bharu sejak semalam, berbekal semangat kemenangan menumpaskan Perak di Kuala Terengganu Selasa lalu.
Pemain import mereka, Effa Owana, yang menyumbang satu gol ketika perlawanan tersebut akan menjadi perhatian, di samping pemain-pemain tempatan lain, Ashaari dan Ismail Faruqi.
Perlawanan Kelantan dan Terengganu akan berlangsung malam ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, bermula jam 8.45 malam.
Artikel asal: theredwarriors.com

Monday 18 February 2013

Red Warriors Hadapi Masalah Baru

Kota Bharu: Ketika masalah ketumpulan penyudah jentera serangan Kelantan masih menghantuinya, Bojan Hodak kini berdepan masalah baru – kealpaan benteng.
Ketua jurulatih dari Croatia itu mengakui faktor itu menjadi punca The Red Warriors (TRW) kalah kepada Selangor 0-2 Jumaat lalu selain masalah sama – ketumpulan penyudah jentera serangan.
Kemelut TRW kini bukan saja membabitkan jentera serangan yang tumpul, tetapi juga benteng pertahanan yang mudah ditembusi hingga memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol sebagaimana berlaku ketika menentang Selangor.
“Namun, saya harap pemain tidak mudah lemah semangat dan tertekan, sebaliknya menumpukan sepenuh perhatian untuk perlawanan menentang Terengganu Selasa ini (esok). Kita perlu lupakan segala kekecewaan dan bangkit membuktikan kemampuan sebenar,” katanya semalam.
Tunggu pendaftaran kedua
Hodak yang mencipta nama dengan membantu Kelantan menjuarai tiga piala musim lalu mengakui selain berharap jentera serangan bangkit meningkatkan ketajaman, dia berharap pendaftaran kedua pemain April ini mampu membantunya mengatasi posisi berkenaan.
“Sebagai jurulatih, saya bertanggungjawab terhadap segala kelemahan dan berusaha memperbaikinya. Apa saja kritikan akibat kegagalan untuk mempamerkan aksi terbaik, saya terima dan yakin pemain akan bangkit membuktikan kemampuan,” katanya.
Artikel asal: kelate.net

Saturday 16 February 2013

Kelantan Tewas Lagi

Foto Kredit: theredwarriorsfc.com
SHAH ALAM, 15 Februari – Kelantan gagal dalam misi menamatkan kemarau kemenangan apabila tewas kepada pasukan Selangor 0-2, di Stadium Shah Alam malam tadi.
Gol-gol Selangor dijaringkan pada separuh masa pertama perlawanan oleh penyerang import mereka, Francis Forkey Doe (minit 12) dan pemain pertahanan, Ramez Jamal Dayoub (minit 26).
Selangor dilihat mendominasi keseluruhan permainan, mengatasi Kelantan yang masih belum menemui penyudahan di bahagian serangan.
Dengan keputusan tersebut, Kelantan kini berada di tangga ke 8 Liga Super dengan jumlah kutipan 6 mata daripada enam perlawanan. Selangor pula mengambil tempat sebagai peneraju Liga dengan kutipan 13 mata manakala Lions XII dan Pahang berkongsi 12 mata untuk menduduki tempat ke 2 dan ke 3.
Kelantan akan bertemu Terengganu untuk saingan Liga Super yang seterusnya pada 19 Februari 2013 di Kota Bharu.
Artikel asal: theredwarriorsfc.com

Thursday 14 February 2013

Liga Super bersambung kembali

Foto Kredit: thredwarriors.com
Setelah berehat tiga minggu, Kelantan akan kembali mengharungi saingan Liga Super 2013 dengan menentang Selangor di Shah Alam esok.
Membuka tirai musim ini dengan kekalahan tipis kepada ATM melalui sepakan penalti ketika perlawanan Piala Sumbangsih, keputusan perjuangan awal Kelantan sebagai juara treble musim lalu mengundang kerisauan di kalangan penyokong-penyokong.
Setelah mengharungi lima perlawanan Liga Super, Kelantan berada di tangga ke 7 dengan pungutan 6 mata hasil daripada 1 kemenangan (PKNS FC), 3 keputusan seri (DTFC, Felda United FC, Negeri Sembilan FA dan tumpas sekali (T-Team FC).
Kegagalan bertindak cemerlang di bahagian serangan menyebabkan pertemuan-pertemuan “mudah” masih tidak berpihak kepada Kelantan.
Penyerang import pasukan, Keita Mandjou, menjadi sasaran kemarahan penyokong kerana gagal beraksi seperti seorang penyerang yang digeruni.
Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, walau bagaimanapun percaya situasi akan berubah apabila Kelantan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk pertemuan dengan pasukan Selangor pada hari Jumaat nanti.
Tiga minggu masa rehat telah dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan di jentera serangan. Dalam dua perlawanan persahabatan yang diatur, Kelantan telah bermain dengan lebih baik untuk mengikat Juara Liga Premier Indonesia, Semen Padang FC dengan keputusan seri 1-1.
Dan pertemuan berikutnya, persefahaman yang lebih baik di kalangan pemain menyaksikan Kelantan berhasil menewaskan Felda United FC dengan dua jaringan gol tanpa balas.
Walaupun kedua-dua perlawanan tersebut turut disertai oleh Dimitri Petratos (Skuad AFC Kelantan) dan dua pemain import ujian, penyerang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, dan pemain sayap Salim Arrache dari Peranchis, penampilan pemain-pemain tempatan yang bermain dengan lebih kemas sebagai satu pasukan menjadi faktor penyumbang kejayaan yang utama.
Keyakinan semakin terbentuk di kalangan pemain-pemain pasukan. Kesungguhan semakin terserlah dalam setiap sesi latihan yang dijalankan. Kawalan emosi dan juga tekanan menjadi semakin baik.
Juara Treble adalah pada musim lalu. Gelaran tersebut memang bukan saja menjadi kebangaan pasukan, tetapi juga oleh setiap penyokong pasukan. Hinggakan mereka yang tidak pernah meminati sukan bola sepak, mahupun ambil tahu tentang The Red Warrriors, mula mahir mengingati setiap nama dan posisi pemain.
Ia suatu kenangan manis. Dan untuk menjamin kesinambungan kejayaan, kegembiraan menjadi Juara Treble musim lalu, harus diletak ke tepi kerana di musim ini, semua pasukan mahu menewaskan si Juara.
Menyedari hal tersebut,  Tan Sri Presiden sendiri telah berpesan, bukan saja kepada pemain, tetapi juga kepada pegawai-pegawai pasukan. Lupakan kejayaan lalu, dan teruskan dengan perjuangan yang baru.
Sekali lagi, pada 15 Februari ini, pasukan menagih sokongan tanpa berbelah bahagi daripada semua penyokong untuk terus memberi kepercayaan dan menyokong pasukan. Ia bukan perlawanan yang mudah kerana Selangor, selain daripada meneruskan Misi 33 mereka, dibarisi oleh pemain-pemain handal dan pasukan mereka lebih konsisten dalam saingan Liga musim ini.
Di Stadium Shah Alam, pada hari Jumaat 15 Februari ini, pasukan memerlukan anda, “The 12thPlayers”. Kita pernah berjaya mendominasi stadium lawan, dan marilah sekali lagi kita gegarkan stadium tersebut dengan laungan “Gomo Kelate Gomo”.
Artikel asal: theredwarriors.com

Nwakaeme sertai TRW

Foto Kredit kepada tuan punya foto.
KOTA BHARU, 13 Februari - Penyerang yang berasal dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, pada hari ini menandatangi kontrak untuk bersama pasukan Kelantan musim ini, dengan pilihan untuk diteruskan untuk musim 2014.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Hj Annuar Musa memaklumkan dalam laman sosial FB beliau, pengambilan Dickson adalah di antara beberapa perancangan yang diambil oleh pasukan untuk memantapkan persembahan pasukan yang sedikit hambar awal musim ini.
Urusan TMS sudah dibuat hari ini bagi membolehkan Sijil Perpindahan Antarabangsa  (ITC) dikeluarkan sebelum Dickson boleh didaftar dalam skuad The Red Warriors untuk AFC atau Liga Malaysia nanti.
Dickson berada di Kota Bharu meneruskan latihan bersama pasukan selepas perlawanan persahabatan terakhir Kelantan, menewaskan Felda United 2-0 baru-baru ini.
"Bojan  mempunyai pilihan yg lebih luas bila Dickson  berjaya didaftarkan sama ada utk AFC Cup ataupun Liga M. Sebelum bulan April insya Allah akan ada lagi langkah tambahan memperkasa pasukan kita," tambah Tan Sri Hj Annuar.
Artikel asal di theredwarriorsfc.com

Friday 1 February 2013

Pemain TRW berguru di Blackburn

PENYERANG muda Australia, Dimitrios Petratos yang beraksi bersama The Red Warriors dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 secara rasminya akan berangkat ke England pada 4 Februari ini bagi menjalani latihan dengan pasukan Blackburn Rovers.
Berita gembira itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kota Bharu semalam.
Annuar berkata, ketua pasukan Piala Presiden Kelantan, Faizul Nazlin Sayuti akan pergi bersama Petratos bagi menjalani latihan tersebut dan akan kembali semula ke pangkuan pasukan pada bulan Mac untuk menghadapi saingan Piala AFC.
Faizul Nazlin
Menurutnya, latihan tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama antara KAFA dengan kelab berkenaan sebagai langkah untuk memantapkan lagi pasukan bagi mengharungi saingan liga musim ini.
“Pemergian kedua-dua pemain ini akan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, TheRedWarriors.com iaitu Kelvin Ramalingam.
Sepanjang berada di sana, Petratos bakal menjalani sesi latihan dan ujian yang dikendalikan oleh pihak Blackburn Rovers.
“KAFA berharap, latihan tersebut akan meningkatkan lagi tahap kemahiran Petratos sebelum dia kembali bersama pasukan untuk saingan Piala AFC nanti.
“Begitu juga dengan Faizul Nazlin, kita mahu memberikan pendedahan awal kepada pemain muda ini dalam usaha untuk memantapkan corak permainan dan kemahirannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar perlawanan Piala Permai di Stadium Sultan Muhammad IV semalam mengenai pertembungan antara juara Liga Super Malaysia, Kelantan dengan juara Liga Super Indonesia, Simen Padang FC esok.
Pada majlis tersebut, Annuar turut memperkenalkan seorang pemain import dari Perancis yang akan membantu The Red Warriors dalam perlawanan tersebut iaitu, Salim Aracche.
Selain Aracche, Kelantan turut diperkuatkan dengan seorang lagi tonggak import dari Nigeria, iaitu Dickson Nwakaeme yang bergandingan bersama Obinna Nwaneri, Lek Kecira di posisi pertahanan.
Annuar memberitahu, jika ada perkembangan semasa mengenai kedua-dua pemain itu, ia akan memaklumkan perkara tersebut dari semasa ke semasa.
“KAFA akan menjalinkan kerjasama ini di masa akan datang melibatkan pertukaran pemain dan jurulatih,” ujarnya.
Mengulas mengenai perlawanan Piala Permai itu, Annuar memberitahu, ia adalah kesinambungan perlawanan sebelum ini ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Piala Gabenor Acheh baru-baru ini.
“Perlawanan ini merupakan medan terbaik buat kita untuk mengukur sejauh mana kekuatan pasukan. Saya akui ia bukanlah satu perlawanan yang mudah buat Kelantan.
“Mereka sebuah pasukan yang hebat, dan kita pernah tunduk kepada mereka 1-3 dalam aksi Piala Gabenor Acheh baru-baru ini. Saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu,” tegasnya.
Sumber: Kelate.net