Tuesday 8 January 2013

Ganjaran untuk pemain TRW

8 Jan – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyerahkan bonus kemenangan Piala Malaysia kepada pemain-pemainnya dalam satu majlis yang diadakan di Kota Bharu petang tadi.
Presiden KAFA, Tan Sri Hj Annuar Musa dalam ucapannya berkata, terdapat tiga kategori bonus yang disampaikan kepada pemain-pemain. Bonus pertama telah disampaikan dalam pakej pelancongan ke Gold Coast hujung tahun lalu, bonus kedua berupa pakej mengerjakan umrah dan bonus ketiga berupa ganjaran wang tunai.
Menurut Tan Sri Hj Annuar, pemain-pemain yang tidak menyertai rombongan ke Australia akan menerima gantian wang tunai, bersamaan dengan nilai perbelanjaan yang ditanggung KAFA untuk lawatan tersebut.
Pemain-pemain dalam skuad Kelantan 2012 juga dijadualkan akan mengerjakan umrah, hadiah daripada kerajaan negeri Kelantan, selepas tamat saingan Liga Super. Tarikh yang dipilih pasukan, diantara 7 hingga 20 Julai akan dicadangkan kepada kerajaan negeri untuk diputuskan.
Tan Sri Hj Annuar berkata, semua pemain pasukan The Red Warriors musim 2012 akan ditawarkan untuk mengikuti rombongan ke tanah suci tersebut, termasuk pemain-pemain pinjaman dan pemain-pemain yang telah berpindah ke pasukan lain. Pemain yang bukan beragama Islam akan menerima hadiah gantian berbentuk wang tunai.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Datuk Affendy Hamzah, Naib Presiden Datuk Rosmadi dan Dato’ Ismail Md Nor, serta Setiausaha Agong, Hj Azman Ibrahim.
Pemain-pemain pasukan The Red Warriors menerima bonus wang tunai sebagai ganjaran kemenangan Piala Malaysia 2012. Jumlah bonus untuk setiap pemain telah diputuskan oleh pihak pengurusan mengikut sumbangan ketika Kelantan beraksi di saingan Piala Malaysia.
Walau bagaimanapun, menurut Tan Sri Hj Annuar Musa, bonus khas untuk pencapaian treble, berupa lot tanah, akan disampaikan hanya setelah proses perolehan selesai.
Bidang tanah yang akan dibeli oleh persatuan perlu melalui proses penukaran status dan pecah lot. Hanya selepas proses tersebut selesai, undian untuk pemilikan di kalangan pemain akan diadakan.
Pemain-pemain yang tidak layak untuk menerima ganjaran lot tanah kerana peraturan negeri, akan menerima wang tunai sebagai gantian.

No comments:

Post a Comment