Sunday 13 January 2013

TRW Tewas

Foto Kredit: ganusoccer.net

Kuala Terengganu, 12 Jan 2013 – The Red Warriors gagal meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super tewas mengejut kepada pasukan berstatus kelab, T-Team FC dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam.
Jaringan tunggal pemain berjersi sembilan pasukan T-Team, Mohd Aizulridwan pada minit ke-8 sudah cukup untuk mencalarkan reputasi juara Treble 2013 di hadapan kira-kira 15 ribu penyokong setia skuad bergelar The Titans itu. Gol berpunca dari keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Kelantan yang berjaya disudahkan Aizulridwan yang merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi di gawang Kelantan.

Enam layangan kad kuning, masing-masing empat untuk T-Team dan dua untuk Kelantan sudah cukup untuk membayangkan suasana perlawanan yang tegang dan panas. Beberapa insiden kekasaran berlaku antara pemain namun pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad bijak mengawal keadaan. Tambahan pula, berlaku pertelingkahan antara jurulatih, Bojan dan Butler di bangku simpanan menghangatkan lagi suasana.


Kelantan berpeluang menyamakan kedudukan menerusi  Zamri Ramli dan Aris Zaidi, namun kedua-dua pemain ini gagal menyudahkan peluang terhidang sebaiknya. Tamat perlawanan, T-Team menang tipis mengatasi Kelantan dengan jaringan 1-0.


Mengulas mengenai kemenangan T-Team keatas Kelantan, ketua jurulatih T-Team yang juga pernah membimbing pasukan Kelantan, Peter James Butler menyifatkan anak buahnya beraksi dengan lebih baik dari pemain Kelantan.


“Hari ini, kita lebih baik. Saya hormat The Red Warriors, semua pegawai, semua pemain kerana dulu mereka pernah bersama saya, cuma hari ini pasukan saya beraksi dengan lebih baik. Barisan pertahanan melakukan tugas dengan baik, tidak sama seperti ketika kami tewas kepada Perak pada perlawanan lepas”, ujar Butler sejurus tamat perlawanan.


Dari kem Kelantan, Bojan Hodak mengakui kekalahan kali ini merupakan kekalahan satu pasukan. Kegagalan menyudahkan peluang menjaringan gol menjadi punca Kelantan gagal menewaskan T-Team. Disamping itu, pemain juga sedikit keletihan kerana terpaksa bermain dalam keadaan basah dan hujan pada perlawanan lepas.


“Kita bermain baik hari ini, tetapi mungkin faktor pasukan bermain diatas padang becak dan hujan pada perlawanan lepas menyebabkan pemain sedikit keletihan. Kita punya peluang untuk menjaringkan gol, tetapi kita tidak menjaringkan gol. Satu perlawanan yang sukar. Jadi tiada siapa yang harus disalahkan, tetapi kami”, jelas Bojan Hodak.


Untuk perlawanan seterusnya, Kelantan akan melayan kunjungan pasukan dari Selatan, Darul Takzim FC 15 Januari ini. Perlawanan dijadualkan berlangsung jam 8.45 malam di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.


Kesebelasan Utama Kelantan:

Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Zairo Anuar (Aris Zaidi-83’), Mohd Shakir, Badri Radzi (K), Rizal Fahmi, Khairul Fahmi (PG), Keita Mandjou (Norfarhan-46’), Haris Safwan (Zamri Ramli-70), Indra Putra, Zairul Fitree

Kesebelasan Utama T-Team:

Hasbullah Awang, Md, Muinuddin (Isma Alif-69’), George Boateng (K), Hassan Basri, Md. Aizulridzwan (Mohd Shazlan-73’), Caleb Folan, Mohd Nuraliff, Mohd Yusri (Latiff Suhaimi-61’), Mazlizam Muhamad, Mohd Amirul (PG), Ahmad Syamim

Penjaring Gol:

Md. Aizulridzwan (T-Team) minit-8

No comments:

Post a Comment