Monday 14 January 2013

TRW sudah sedia

Foto Kredit: ganusoccer.net

Kota Bharu, 14 Jan - Pemain pertahanan kanan dan kiri Kelantan, Daudsu Jamaluddin serta Zairul Fitree berazam untuk merantai pergerakan bekas rakan sepasukan, Norshahrul Idlan Talaha dalam pertemuan Liga Super menentang Darul Takzim FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
Zairul Fitree atau lebih dikenali dengan panggilan Roypy menyatakan beliau sudah cukup masak dengan corak permainan bekas rakan sepasukannya itu. Tiga tahun beraksi bersama dalam pasukan Kelantan sebelum ini, tidak sukar untuk Roypy membaca pergerakan Mat Yo.
"Malam esok, kita satu pasukan akan bermain lebih dari 100%. Saya rasa kita tahu cara Norshahrul bermain. Itu menjadi kelebihan kita untuk mengekang beliau. Saya sudah dua tiga tahun beraksi bersama beliau. Ada cara untuk menyekat Mat Yo. Jadi kita punya sedikit kelebihan disitu. Saya harap semua pemain memberi komitmen penuh untuk mendapatkan tiga malam esok", kata Zairul Fitree selepas sesi latihan petang tadi.
Namun, nada berbeza diluahkan Daudsu. Walaupun dia sudah bersiap sedia untuk menghadapi Mat Yo serta tahu kelemahan pemain itu, Daudsu mengingatkan rakan sepasukan untuk turut berhati-hati apabila berdepan dengan Mat Yo. Bagi Daudsu, walaupun mengetahui kelemahan Mat Yo, harus diingat Mat Yo juga turut mengetahui kelemahan pasukan Kelantan.
"Kita tahu kelemahan Mat Yo, Mat Yo juga tahu kelemahan kita. Kita tahu cara Mat Yo bermain, dia juga tahu cara kita bermain. Jadi peluang sama rata. Kita juga perlu berhati-hati. Apa yang pasti, kami semua pemain akan bermain bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan menjadi milik kita", ujar Daudsu Daudsu.
Pertemuan antara Kelantan dan Darul Takzim FC malam esok menjadi tumpuan selepas beberapa isu kontroversi tercetus antara dua pasukan ini. Antaranya ialah "perpindahan" kontoversi Norshahrul Idlan Talaha ke Darul Takzim FC yang tidak mendapat restu dari Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA). Selain dari Norshahrul, Nurul Azwan Roya juga kini menyarung jersi Darul Takzim FC.

No comments:

Post a Comment