Tuesday 28 January 2014

Baiki serangan dan tengah

KOTA BHARU – Biarpun menang ke atas Sarawak namun pengurusan The Red Warriors (TRW) tanpa berselindung meluahkan kebimbangan mereka terhadap jentera tengah dan serangan yang gagal berfungsi dengan baik.
Pengurus pasukan TRW, Azman Ibrahim yang enggan mendabik dada ke atas kemenangan 1-0 itu berkata, pihaknya perlu memperbaiki kelemahan itu secepat mungkin sekiranya tidak mahu tercicir dalam persaingan Liga Super yang semakin hebat.
Beliau berkata, dalam perlawanan itu, pihaknya mendapati jentera tengah dan serangan masih tercari-cari rentak persembahan yang sebenar.
“Saya akui kehilangan dua tonggak di bahagian berkenaan iaitu Mohammad Shawky dan Amar Rohidan amat dirasai dalam perlawanan tersebut, namun pengganti tonggak berkenaan Nazri Ahmad beraksi dengan baik.
“Begitu juga dengan gandingan Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe yang masih tercari-cari rentak.
“Bagaimanapun barisan pertahanan kita dilihat semakin mantap apabila kesemua pemain yang beraksi di posisi berkenaan telah membentuk kombinasi yang serasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam perlawanan kelmarin, penyerang kelahiran Liberia, Forkey Doe muncul wira TRW apabila jaringannya pada minit ke-89 sudah cukup untuk membantu pasukan itu meraih tiga mata dan menghuni tangga teratas Liga Super.
Azman berkata, beliau mahu barisan pemainnya mengekalkan momentum tersebut bagi memastikan Kelantan berada pada landasan terbaik untuk saingan Liga Super musim ini.
www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment