Tuesday 28 January 2014

Rentak makin teratur, kata Darby

JURULATIH Kelantan, Steve Darby menyifatkan anak didiknya sudah mula menemui titik keserasian walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, Kuching semalam.
Meskipun ramai yang menganggap kemenangan The Red Warriors (TRW) itu sebagai ‘menang nasib’ kali kedua, namun Darby menafikannya malah menegaskan kejayaan itu adalah hasil usaha keras pemainnya.
Darby berkata, kemenangan kedua berturut-turut yang meletakkan TRW di kedudukan teratas Liga Super setakat ini membuktikan pemainnya sudah mula mendapat rentak tetapi mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu dibaiki.
Jurulatih berusia 58 tahun dari England itu juga berpendapat, pujian harus diberikan kepada pemainnya yang mempamerkan kesungguhan sehingga tamat perlawanan, sehingga berjaya mendapat mendapatkan satu jaringan tunggal sekaligus memastikan tiga mata dikutip di gelanggang lawan.
“Saya amat gembira dan berpuas hati dengan persembahan pemain kerana mereka mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan jaringan dan membawa pulang tiga mata.
“Pemain mula menunjukkan keserasian antara satu sama lain walaupun pada mulanya kita agak susah mencipta peluang. Bagaimanapun usaha keras pemain sehingga hujung perlawanan membuahkan hasil,” kata Darby.
Jaringan kemenangan yang dihasilkan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe di saat akhir perlawanan selepas menerima umpanan seorang lagi penyerang Mohamed Ghaddar membuktikan kedua-dua pemain berkenaan semakin serasi.
Darby menambah tanpa mendabik dada, TRW perlu meneruskan rentak kemenangan itu apabila bakal melayan kunjungan PKNS dalam perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Selasa ini.
“Pemain mengikut apa yang dirancangkan dan mereka memiliki kebolehan tersendiri untuk mengatasi pemain lawan. Ini keputusan baik dan perlu diteruskan dalam perlawanan seterusnya,” sudahi beliau.
www.sports247.my

No comments:

Post a Comment