Friday 29 March 2013

Kelantan waspada jerat ATM


Pengendali Kelantan Bojan Hodak (gambar) tetap waspada berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meskipun lawan mereka kehilangan beberapa pemain tonggak.
Hodak berkata, keupayaan ATM tidak boleh diambil mudah memandangkan pasukan berkenaan mempunyai ramai pemain berkaliber yang mampu menampung kekosongan tersebut.
“Tapi kebiasaan mana-mana pasukan yang hilang beberapa pemain tonggak pasti akan terjejas terutama dalam merangka percaturan. Bagaimanapun kita tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka.
“Harus diingat mereka mempunyai pemain yang hebat seperti Marlon Alex James, Bruno Marteloto dan Hairuddin Omar. ATM merupakan sebuah pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia. Mereka berada di tangga teratas dalam carta liga dan saya menjangkakan pertemuan ini cukup sengit.
“Apa pun kita beraksi cemerlang dalam lima perlawanan sebelum ini dan berjaya meraih kemenangan besar dalam kempen Piala AFC dan FA. Kejayaan tersebut sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat kita pada pertemuan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Hodak memberitahu dia mahu menutup saingan pusingan pertama liga dengan cemerlang iaitu meraih tiga mata pada perlawanan tersebut.
Katanya, tiga mata itu amat penting buat Kelantan dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga seterusnya mempertahankan kejuaraan yang diraih musim lalu.

No comments:

Post a Comment