Friday 29 March 2013

TRW tekad balas dendam

KEKALAHAN tipis 2-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merebut Piala Sultan Ahmad Shah awal Januari lalu mahu ditebus oleh The Red Warriors (TRW) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan terakhir pusingan pertama saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Sedar hanya kemenangan sahaja dilihat mampu melonjak Kelantan terus bersaing mempertahankan mahkota kejuaraan, Ketua Jurulatihnya, Bojan Hodak mengarahkan barisan pemainnya memanfaatkan persiapan buruk yang melanda di kem pasukan lawan untuk membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.
“Kami akur ATM pasukan terbaik di negara dan memimpin carta liga ketika ini. Tetapi kami berada dalam prestasi terbaik, momentum kemenangan ke atas PKNS FC pula masih segar dan lebih penting ada hutang perlu dilunaskan malam ini,” katanya kepada Sinar Harian.
“Memang ATM turun tanpa beberapa tonggak yang digantung perlawanan tetapi saya percaya pemain simpanan mereka boleh beraksi dengan baik. Biasalah, mana-mana pasukan bila hilang pemain utama, akan berdepan masalah dan saya harap tuah menyebelahi Kelantan kali ini.
Hodak berkata, prestasi memuncak pasukannya yang menewaskan Ayeyawady United 3-1 dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan terbaharu menundukkan PKNS FC 4-2 pada pusingan kedua kalah mati Piala FA menyuntik semangat anak buahnya apabila bertemu The Gladiators di tempat lawan, malam ini.
Menurut pengendali dari Croatia itu, tiga mata pada perlawanan terakhir ini cukup penting bagi memastikan pasukannya mencari kedudukan lebih selesa memandangkan jurang mata dalam kalangan pasukan tidak begitu jauh.
“Tiada rombakan dilakukan, saya akan menurunkan kesebelasan pemain yang sama bermain pada babak pertama ketika bertemu PKNS FC baru-baru ini. Mohd Norfarhan Muhammad masih kurang cergas, tetapi doktor pasukan telah beri lampu hijau kepada beliau untuk bermain.
“Keita Mandjou masih diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan Kelantan. Memang dia tidak menjaringkan gol, tetapi itu tidak bermakna dia tak bagus. Saya tidak ada alasan untuk memisahkan gandingan dia bersama Mohd Khairul Izuan Rosli pada perlawanan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hodak turut menyifatkan ancaman berbahaya daripada tiga penggempur berbisa ATM, iaitu Marlon Alex James, Hairuddin Omar dan Bruno Martelotto mampu meranapkan impian pasukannya meraih tiga mata jika diberi ruang bergerak lebih bebas pada perlawanan ini.

No comments:

Post a Comment