Friday 14 February 2014

Tiada tindakan kepada Darby

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa ) tidak akan mengambil tindakan drastik terhadap ketua jurulatih, Steve Darby  walaupun The Red Wariors (TRW) tidak berada dalam keadaan prestasi terbaik.
Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pendekatan ‘mi segera’ termasuk memecat jurulatih tidak menjamin pasukan akan lebih kuat  pada masa depan.
“Mana boleh dalam pengurusan bola dengan cara buang orang, kalau buang adakah kita yakin jurulatih baru boleh buat lebih baik, dalam bola sepak bila kita tak berjaya, bukan bermakna buang jurulatih selesai masalah, tidak begitu.
“Bila ada masalah kita duduk  bincang, kaedah, formasi dan strategi boleh tukar tapi bukan buang jurulatih, seperti isteri takkan mahu cerai kerana tidak begitu pandai memasak,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi peminat  TRW mengecam tindakan Darby mempertahankan formasi 3-5-2 yang didakwa punca  pasukan itu mencatatkan keputusan tidak memberangsangkan.
Bagaimanapun kemarahan itu reda seketika apabila jurulatih kelahiran England itu menukar taktikal kepada 4-4-2 dalam perlawanan menentang PKNS malam kelmarin yang menyaksikan TRW menang 3-2.
www.sinarharian.com.my

Darby: Percaturan menjadi

JURULATIH Kelantan, Steve Darby bercadang mengekalkan formasi 4-4-2 selepas berjaya menang tipis 3-2 ke atas PKNS FC dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Harapan penyokong The Red Warriors (TRW) untuk melihat perubahan corak permainan akhirnya ditunaikan jurulatih berusia 58 dari England itu dan keputusan itu nyata berbaloi apabila persembahan lebih baik ditonjolkan barisan pemainnya.
Darby berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk menggantikan formasi 3-5-2 kepada 4-4-2 ketika berdepan pasukan kendalian Wan Jamak Wan Hassan, malah menyifatkan setiap perlawanan memerlukan percaturan berlainan untuk mengelirukan pihak lawan.
Katanya, kehadiran pemain pertahanan, Nazri Ahmad yang sudah pulih daripada kecederaan memberikannya pilihan untuk menukar corak permainan malah tindakan itu berkesan walaupun sekadar menang tipis.
“Kemungkinan saya akan mengekalkan formasi itu dalam perlawanan timbal balik 18 Feb ini, namun akan berbeza percaturan kerana bergantung kepada kekuatan pasukan lawan.
“Saya boleh menggunakan empat pemain di bahagian pertahanan kerana pemain yang cedera sudah pulih dan ia memberi saya banyak pilihan untuk membuat percaturan,” katanya selepas perlawanan semalam.
Darby yang berpuas hati dengan kemenangan TRW namun tidak menafikan laluan sukar menunggu juara bertahan itu dalam perlawanan kedua, malah yakin PKNS berkebolehan untuk bangkit di gelanggang sendiri.
Katanya, anak didiknya bakal mengalami tekanan kerana membiarkan PKNS membawa pulang dua jaringan tempat lawan dan keadaan itu perlu ditebus TRW ketika beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Selasa depan.
“Saya berpuas hati dengan kemenangan namun kita sedikit tertekan kerana pasukan lawan sudah mempunyai dua jaringan di tempat kami.
“Kita perlu mendapatkan lebih banyak jaringan di tempat mereka nanti.”
www.sports247.my

Thursday 13 February 2014

Darby kekal formasi 4-4-2

Kota Bharu: Jurulatih Kelantan Steve Darby bercadang mengekalkan formasi 4-4-2 selepas pasukan bimbingannya menang tipis 3-2 ke atas PKNS FC pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.
Justeru, harapan penyokong Kelantan untuk melihat perubahan corak permainan akhirnya ditunaikan jurulatih berusia 58 dari England itu, malah persembahan mereka menampakkan perubahan lebih baik.
Darby berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk menggantikan formasi 3-5-2 kepada 4-4-2 ketika berdepan pasukan kendalian Wan Jamak Wan Hassan dan menyifatkan setiap perlawanan memerlukan percaturan berlainan untuk mengelirukan lawan.
Katanya, kehadiran pemain pertahanan, Nazri Ahmad yang pulih daripada kecederaan memberikannya pilihan untuk menukar corak permainan dan terbukti berkesan walaupun sekadar menang tipis.
“Saya mungkin mengekalkan formasi 4-4-2 dalam perlawanan timbal balik 18 Februari ini namun akan ada perbezaan percaturan kerana bergantung kepada kekuatan lawan.
“Saya boleh menggunakan empat pemain di bahagian pertahanan kerana pemain yang cedera sudah pulih dan ia memberi saya banyak pilihan untuk membuat percaturan,” katanya.
Darby berpuas hati dengan kemenangan itu, namun tidak menafikan laluan sukar menunggu juara bertahan itu dalam perlawanan kedua kerana PKNS akan bangkit di gelanggang sendiri.
www.hmetro.com.my

Wednesday 12 February 2014

Piya akhiri kemarau jaringan

KOTA BHARU – Penyandang juara, The Red Warriors sekadar mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kemenangan tersebut bagaimanapun dianggap masih belum selesa buat skuad kendalian Steve Darby kerana mereka bakal mengharungi baki tempoh 90 minit penuh mendebarkan dalam aksi timbal balas kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pada 18 Februari ini.
Biar pun sekadar menang tipis, namun yang pastinya perubahan taktikal daripada 3-5-2 kepada 4-4-2 yang diterapkan pengendali dari England itu berjaya mengubah corak permainan Kelantan, sambil memastikan misi balas dendam ke atas pasukan berstatus kelab itu tercapai pada perlawanan malam tadi.
Kelantan tidak perlu menunggu terlalu lama untuk berada di depan apabila Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi memanfaatkan situasi bola mati menerusi sepakan bebasnya yang mengenai tiang gol sebelah kanan untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Remezey Che Ros seawal minit ketiga.
Ini merupakan gol sulung peribadi Mohd Badhri dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini, sekali gus beliau berjaya menamatkan kemarau jaringan setelah beraksi selama 450 minit perlawanan sebelum ini.
PKNS FC yang tersentak dengan jaringan tersebut bangkit mengatur gerakan namun rembatan susulan Patrick Ronaldinho Wleh berpunca sepakan penjuru Muhammad Nazmi Faiz Mansor dua minit kemudian serong di sebelah kanan gawang.
Dua minit kemudian, Kelantan hampir menjarakkan kedudukan apabila Mohd Badhri bijak melambungkan bola ke dalam kotak penalti PKNS FC namun Ahmad Fakri Saarani terlepas peluang untuk menewaskan Mohd Remezey.
Anak buah Wan Jamak Wan Hassan kembali menemui rentak permainan selepas itu apabila rangkaian jentera tengah mereka yang diterajui Mohd Fauzan dan Muhammad Nazmi Faiz bijak memanipulasikan kelemahan enjin tengah tuan rumah.
Menuju minit ke-12, giliran pelawat pula mencemaskan gawang Kelantan kali ini menerusi sepakan percuma yang diambil Ketua Pasukannya, Mohd Fauzan Dzulkifli, namun bola tandukan tepat Ronaldinho Wleh diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.
Empat minit kemudian, Khairul Fahmi sekali lagi diuji menerusi serangan balas apabila Karlo Primorac memperdayakan Mohd Farisham Ismail di dalam kotak penalti namun rembatannya yang membias pertahanan tuan rumah itu berjaya ditepis keluar penjaga gawang kebangsaan.
Kesungguhan skuad yang terkenal dengan jolokan Red Ants untuk mengikat kedudukan akhirnya membuahkan hasil apabila Ronaldinho Wleh berjaya menolak masuk gol untuk pasukannya berpunca situasi kelam-kabut di depan pintu gol tuan rumah pada minit ke-20.
Aksi permainan selepas itu menjadi milik Kelantan namun dua peluang terbaik dimiliki mereka pada minit ke-36 gagal menghasilkan jaringan apabila rembatan Mohamed Shawky Aly meliar tinggi disusuli percubaan Mohamad Ghaddar dua minit berselang diselamatkan Mohd Remezey.
Penjaga gawang PKNS FC itu sekali lagi menggagalkan peluang keemasan tuan rumah apabila pantas menangkap kemas bola tampanan Ahmad Fakri berpunca lontaran ke dalam dilakukan Zairul Fitree Ishak pada minit ke-41.
Mohd Remezey akhirnya tertewas juga seminit selepas itu apabila gagal menangkap kemas percubaan Mohamad Ghaddar sebelum Tengku Hasbullah Raja Hassan melakukan tindakan susulan untuk memastikan Kelantan mendahului 2-1 pada babak pertama.
Memasuki babak kedua, pelawat menampilkan kesungguhan untuk menyamakan kedudukan namun dua percubaan mereka menerusi Mohd Fauzan dan Muhammad Nazmi Faiz pada minit ke-49 dan 52 dinafikan Khairul Fahmi.
Tuan rumah kembali membalas serangan seminit kemudian apabila lorongan Mohd Badhri tepat kepada Ahmad Fakri tetapi rembatannya tersasar jauh sebelum penyerang kebangsaan sekali lagi kecewa gagal menampan masuk hantaran silang Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-55.
Kelantan terus ghairah memburu gol ketika PKNS FC terpaksa mengeluarkan Karlo Primorac pada minit ke-62 setelah gagal memberi sumbangan berkesan tetapi Tengku Hasbullah mensia-siakan peluang terhidang dengan merembat serong ke sebelah kanan pada minit ke-69.
Ketiadaan Primorac, bekas penjaring terbanyak Liga Premier musim lalu memberi kesan apabila PKNS FC lebih banyak bermain secara bertahan sambil kelibat penyerang Liberia, Ronaldinho Wleh pula keseorangan menerajui jentera serangan.
Akhirnya, gol ketiga tuan rumah menjelma pada minit ke-75 apabila Ahmad Shakir yang masuk menggantikan Tengku Hasbullah dua minit sebelum itu menyempurnakan umpanan cantik Mohd Badhri menerusi rembatan rendah untuk menewaskan Mohd Remezey di pintu golnya.
Sentuhan pertama Francis Forkey Doe yang masuk menggantikan Mohamad Ghaddar hampir meletakkan Kelantan terus selesa pada minit ke-78 namun rembatannya hasil umpanan Mohamed Shawky Aly tinggi melewati palang.
Begitu pun, tujuh minit sebelum perlawanan, PKNS FC akhirnya berjaya merapatkan kedudukan 2-3 apabila pemain importnya, Kim Dongchan merembat masuk gol kedua mereka berpunca hantaran lintang Muhammad Khairu Azrin Khazali di luar kotak penalti.
Dongchan, pemain import dari Korea Selatan hampir mengikat keputusan seri namun rembatannya hasil lorongan Ronaldinho Wleh dalam masa kecederaan berjaya diselamatkan Khairul Fahmi untuk kedudukan 3-2 kekal pada perlawanan malam tadi.
Kesebelasan utama pemain:
KELANTAN – Khairul Fahmi Che Mat, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (Muhammad Nazri Ahmad), Obinna Nwaneri, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Tengku Hasbullah Raja Hassan (Ahmad Shakir Md Ali), Mohd Badhri Radzi (KP), Mohamed Shawky Aly, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Ahmad Fakri Saarani dan Mohamad Ghaddar (Francis Forkey Doe).

FORMASI : 4-4-2

PKNS FC – Mohd Remezey Che Ros, Abdul Ghani Abdul Rahman, Helmi Remeli, Hamka Hamsah, P Gunalan,  Mohd Aminuddin Mohd Noor (Mohd Fazli Baharuddin), Mohd Fauzan Dzulkifli (KP), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (Muhammad Khairu Azrin Khazali), Shahrul Azhar Ture, Patrick Ronaldinho Wleh dan Karlo Primorac (Kim Dongchan).

FORMASI : 4-4-2

Sumber: www.kelate.net

Kelantan bawa bekalan tipis

KELANTAN membawa bekalan tipis ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu depan selepas sekadar menang 3-2 ke atas PKNS pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kelantan yang kembali menggunakan formasi 4-4-2 tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan jaringan seawal minit ketiga menerusi sepakan percuma cantik kapten, Badhri Radzi yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol PKNS, Ramezy Che Ros.
Percaturan ketua jurulatih, Steve Darby tampak terus menjadi apabila The Red Warriors terus bernafsu melancarkan gerakan ke kubu PKNS.
Bagaimanapun, PKNS mendiamkan seketika penyokong Kelantan apabila Patrick Ronaldhinho meledak gol penyamaan pada minit ke-19.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan untuk mendapatkan jaringan, namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.
Usaha Kelantan menggandakan jaringan akhirnya berhasil pada minit ke-42 apabila pemain sayap, Tengku Hasbullah Raja Hassan menyudahkan hantaran Mohamad Ghaddar.
Bersambung babak kedua, rembatan padu kapten PKNS, Mohd. Fauzan Dzulkifli berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-49.
Penyerang gantian, Ahmad Shakir Ali membalas kepercayaan Darby apabila meledak gol ketiga tuan rumah pada minit ke-75.
Namun, gol tersebut tidak mematahkan semangat pelawat yang bangkit memperoleh gol kedua menerusi jaringan pemain gantian, Kim Dongchen pada lewat perlawanan.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Kelantan bakal berdepan tugas sukar pada aksi kedua 18 Februari ini dengan membawa bekalan satu gol.
www.kosmo.com.my