Thursday 6 February 2014

Penyokong marah 'cara budak sekolah' Darby

KELAB PENYOKONG THE RED WARRIORS KOTA BARU (TRWKB) menggesa jurulatih Kelantan, Steve Darby untuk mengubah corak permainan dan formasi 3-5-2 yang digunakan kerana menyifatkan percaturan itu menjejaskan rentak dan kemampuan sebenar pasukan.

Presiden TRWKB, Mohamed Zainy Mohamed Zain berkata, penyokong tidak bermaksud untuk mencampuri urusan taktikal yang diterapkan jurulatih, namun persembahan hambar gergasi pantai timur itu berterusan meskipun sudah mengharungi beberapa perlawanan.
Menurut Zainy, aksi mengecewakan yang dipamerkan bukan berpunca daripada masalah pemain tidak serasi tetapi berlaku kerana perubahan corak permainan yang diterapkan jurulatih, yang juga dikatakan membosankan penyokong.

“Kami tidak bermaksud untuk mengajar jurulatih tetapi perbezaan begitu jelas malah persembahan pasukan tidak setaraf dengan barisan pemain yang dimiliki. Jurulatih sebelum ini menggunakan formasi 4-4-2 dan dapat memberi persembahan cemerlang meskipun ada pemain baru.

“Jangan salahkan pasukan kerana dibarisi pemain baru. Pemain baru yang diambil adalah pemain berpengalaman. Dengan corak permainan sekarang, penyokong seperti melihat perlawanan bola sepak sekolah menengah,” katanya ketika dihubungi.

Zainy berpendapat, jika aksi hambar itu berterusan, tidak mustahil pasukan Kelantan akan kehilangan peminat yang selama ini menjadi pemain ke-12 dalam membantu TRW menjadi antara pasukan utama dalam kancah bola sepak tempatan.

Tambahnya, penyokong TRW juga bersetuju dengan satu kenyataan penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa di laman Facebooknya, yang mengatakan bahawa TRW bakal terhukum jika aksi hambar itu berterusan.

“Kami mohon supaya corak permainan sekarang ini ditukar dan kembalikan corak permainan sebenar skuad ‘Pahlawan Merah’. Bukan peminat saja yang bersuara tapi Tan Sri (Annuar) sendiri sudah membangkitkan hal ini di laman Facebooknya.”

“Jangan sampai peminat kurang berminat untuk ke stadium, malah perkara itu tidak mustahil akan berlaku.
“Jangan salahkan peminat pula jika ianya terjadi.”

- See more at: http://www.sports247.my/2014/02/penyokong-marah-cara-budak-sekolah-darby/#sthash.rimCggw4.dpuf

No comments:

Post a Comment