Tuesday 11 February 2014

KAFA: TRW kena bedah siasat

EKORAN prestasi hambar sepanjang tiga perlawanan Liga Super lalu, termasuk terbaharu tewas tipis 1-2 kepada Perak malam kelmarin, satu bedah siasat akan dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terhadap pasukan mereka.
Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim mengesahkan bedah siasat tersebut akan dilakukan hari ini bagi mengenal pasti punca kelemahan pasukannya dan ia adalah salah satu proses biasa bagi memulihkan prestasi gergasi pantai timur itu.
Tindakan yang dilakukan pihak Kafa amat tepat, ketika Kelantan dilihat berdepan satu lagi tekanan untuk mengembalikan keyakinan penyokong mereka kerana bakal bertemu satu lagi pasukan yang kuat itu PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
“Kekalahan kepada Perak merupakan satu keputusan yang amat mengecewakan buat Kelantan. Saya tidak menolak besar kemungkinan kita akan membuat perubahan bagi memastikan Kelantan kembali menunjukkan prestasi sebenar.
“Saya akui ada beberapa pemain yang diturunkan malam tadi (kelmarin) beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar. Jelas, perkara ini dalam perhatian pihak pengurusan pasukan untuk mengatasinya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pada perlawanan tersebut, The Bos Gaurus yang menampilkan barisan pemain muda memalukan skuad kendalian Steve Darby menerusi jaringan Ahmad Shukri Abd Hamid pada minit ke-12 dan Khairul Asyraf Shahizah (m-78) manakala gol sagu hati Kelantan hasil sentuhan Mohamed Shawky Aly (m-55).
Kekalahan kedua itu, selepas pertama kali kecundang 1-2 di tangan PKNS FC pada 28 Januari menyaksikan penyokong setia The Red Warriors (TRW) mula hilang keyakinan terhadap keupayaan jurulatih kelahiran England itu untuk terus membimbing Kelantan.
Azman yang merupakan Pengurus Kelantan turut memberitahu, biarpun bakal melakukan bedah siasat, namun beliau menegaskan pasukannya masih belum mahu menekan ‘butang panik’ disebalik persembahan kurang memuaskan barisan pemainnya.
“Tidak ada keperluan untuk berbuat demikian kerana perjalanan liga baharu sahaja memasuki perlawanan keempat dan adalah tidak adil untuk meletakkan semua kesalahan di atas bahu pengendali pasukan.
“Apa yang boleh saya beritahu, kita akan terus berusaha memperbaiki kelemahan yang menghantui pasukan ini dari semasa ke semasa. Mengenai percaturan taktikal, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana itu adalah urusan ketua jurulatih,” katanya.
www.sinarharian.com.my

No comments:

Post a Comment