Wednesday 12 February 2014

Kelantan bawa bekalan tipis

KELANTAN membawa bekalan tipis ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu depan selepas sekadar menang 3-2 ke atas PKNS pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Kelantan yang kembali menggunakan formasi 4-4-2 tidak perlu menunggu lama untuk memecah kebuntuan jaringan seawal minit ketiga menerusi sepakan percuma cantik kapten, Badhri Radzi yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol PKNS, Ramezy Che Ros.
Percaturan ketua jurulatih, Steve Darby tampak terus menjadi apabila The Red Warriors terus bernafsu melancarkan gerakan ke kubu PKNS.
Bagaimanapun, PKNS mendiamkan seketika penyokong Kelantan apabila Patrick Ronaldhinho meledak gol penyamaan pada minit ke-19.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan untuk mendapatkan jaringan, namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.
Usaha Kelantan menggandakan jaringan akhirnya berhasil pada minit ke-42 apabila pemain sayap, Tengku Hasbullah Raja Hassan menyudahkan hantaran Mohamad Ghaddar.
Bersambung babak kedua, rembatan padu kapten PKNS, Mohd. Fauzan Dzulkifli berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-49.
Penyerang gantian, Ahmad Shakir Ali membalas kepercayaan Darby apabila meledak gol ketiga tuan rumah pada minit ke-75.
Namun, gol tersebut tidak mematahkan semangat pelawat yang bangkit memperoleh gol kedua menerusi jaringan pemain gantian, Kim Dongchen pada lewat perlawanan.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Kelantan bakal berdepan tugas sukar pada aksi kedua 18 Februari ini dengan membawa bekalan satu gol.
www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment