Thursday 26 May 2011

Terengganu Pendahulu Liga Baru

Keghairahan Kelantan memburu tiga mata penuh memakan diri selepas dikecewakan T-Team 1-2 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Bermain di hadapan puluhan ribu penyokong setia, Kelantan terlebih dahulu diasak T-Team melalui tandukan keluar Indra Putra Mahayudin pada minit ke-2.

Minit ke-5 perlawanan, Mohd Badrul Hisani melepaskan satu cubaan deras dari jarak 20 meter tetapi Khairul Fahmi lebih pantas melayangkan badan menepis keluar bola tersebut.

Menyedari menerima serangan bertali arus, pemain Kelantan memperkemaskan corak permainan untuk menangkis corak permainan laju pasukan pelawat.


Bermula dengan percubaan tersasar Nurul Azwan Roya hasil gerakan solo dari kawasan bawah pada minit ke-11, Kelantan terus mengasak dengan cubaan meliar S. Chanturu, dua minit selepas itu.

Pada minit ke-14, sepakan kencang Nurul Azwan Roya dari dalam kotak penalti terbias kaki pertahanan T-Team sebelum keluar.

Memasuki minit ke-23, S. Chanturu berjaya melakukan satu hantaran lintang menarik kepada Mohd Badri Radzi namun ketua pasukan Kelantan ini memilih untuk menanduk keluar walaupun penjaga gol T-Team, Zairie Idris sudah tertewas.

Lima minit kemudian, Zairul Fitree menyepak tinggi dari jarak 30 meter.

T-Team tidak ketinggalan melakukan serangan balas melalui sepakan leret Zairo Annuar terus kepada Khairul Fahmi pada minit ke-32.

Pada minit ke-42, Norshahrul Idlan berjaya menggelecek 2 pemain pertahanan T-Team tetapi sepakan lambung berjaya ditangkap kemas penjaga gol pelawat.

Tanpa disangka, T-Team berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-45 selepas Mohd Badrul Hisani menyambung masuk hantaran Norfarhan Mohamad walaupun cuba dibantah pemain Kelantan kerana mendakwa bola hantararan Norfarhan sudah keluar.

Memasuki babak kedua, Kelantan terlebih dahulu mengatur gerakan kearah pintu gol T-Team.melalui sepakan percuma Mohd Badri Radzi terkena benteng pada minit ke-47.

T-Team tidak menunggu lama untuk mengancam kubu pasukan Kelantan melalui "half volley" membias kaki S. Subramaniam pada minit ke-49.

Minit ke-54, T-Team hampir mengandakan kedudukan melalui Zairo Annuar Zailani namun penjaga gol Kelantan menjadi penghalang selepas menepis cubaan satu lawan satu pemain ini.

Tidak lama kemudian, tandukan Norfarhan hasil sepakan sudut terus kepada Khairul Fahmi Che Mat.

Norshahrul Idlan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-74 tetapi gerakan yang dilakukan penyerang ini disudahi dengan sepakan lemah kepada Zairie Idris.

Lima minit selepas itu, Badri Radzi yang mendapat hantaran dari Norshahrul Idlan menyepak keluar walaupun tidak dicabar pertahanan pasukan lawan.

Serangan demi serangan kearah pintu gol T-Team akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-85 melalui Nurul Azwan Roya yang bijak menyungkit masuk menewaskan Zairie Idris hasil hantaran Norshahrul Idlan Talaha.

Bersemangat dengan jaringan penyamaan, Kelantan mengatur beberapa gerakan merbahaya kearah pintu gol T-Team namun benteng pertahanan yang diketuai Azizi Mat Rose kental bertahan.

Ketika perlawanan hampir tamat, Indra Putra Mahayudin menghukum keghairahan pemain Kelantan melakukan serangan dengan gol kedua melalui satu sepakan menarik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Ternyata gol tersebut membunuh semangat pemain Kelantan untuk pulang dengan satu mata seterusnya mencatatkan kekalahan pertama di gelanggang sendiri.

Dengan kekalahan Kelantan, jiran tetangga, Terengganu merampas kedudukan pertama Liga Super selepas mudah membelasah Pahang 5-0.

**Sumber: RedsFC News**

No comments:

Post a Comment