Friday 20 May 2011

Kelantan Merampas Takhta Liga Super

Kekalahan Selangor kepada T-Team memberi ruang kepada The Red Warriors untuk merampas kembali takhta Liga Super dengan berkelebihan 1 mata iaitu 43 mata mengatasi Selangor dengan 42 mata.

Kemenangan 3-1 ke atas Felda United malam tadi amat bermakna bagi skuad M Karathu dan baki 6 perlawanan perlu dimanafaatkan oleh pasukannya. Apa yang pasti perlawanan akan datang, Kelantan tidak boleh tercicir sebarang mata dan memastikan 3 mata penuh untuk setiap perlawanan.

"Kami menganggap setiap perlawanan adalah perlawawanan akhir" kata Datuk M Karathu.

Pada perlawanan malam tadi, dalam keadaan padang basah, memberikan sedikit kesukaran kepada pasukan Wira Merah ini apabila banyak hantaran-hantaran pendek tidak tepat. Felda United hampir menghukum Kelantan pada minit ke-8 apabila sepakan penalti diberikan oleh pengadil yang melihat bola dipegang oleh Farisham di dalam kotak penalti. Bagaimanapun ia gagal disempurnakan oleh Azrul Ahmad.

Kegagalan Felda itu pantas diambil peluang oleh pemain-pemain Kelantan apabila merencanakan beberapa siri serangan dalam keadaan padang yang kurang baik, dan hasilnya pada minit ke-34 kapten pasukan Badri Radzi menanduk masuk bola hantaran Daudsu Jamaludin. Gol itu menceriakan hampir 1 000 penyokong setia Kelantan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Memasuki babak kedua, Kelantan membuat serangan awal dan dihadiahkan jaringan sendiri oleh Rashid Mahmud apabila tertampan bola ke gawang sendiri hasil lintangan Nurul Azwan Roya. 

Felda cuba mengatur gerakan apabila menyedari Kelantan sudah mengendurkan sedikit permainan. Mohd Nizaruddin berjaya menghasilkan gol tetapi jaringannya dibatalkan kerana didapati ofsaid. Keputusan tersebut begitu mengecewakan kem Felda United.

Serangan yang dilakukan oleh Felda akhirnya membuahkan hasil apabila Hasmarul berjaya menanduk masuk bola ke gawang Kelantan pada minit ke-84. 

Sedar dengan kebangkitan pasukan lawan, jentera serangan Kelantan membuat serangan balas dan sepakan penalti diberikan oleh pengadil apabila Nurul Azwan Roya dijatuhkan oleh Hasmarul pada minit-minit akhir perlawanan. Sepakan disempurnakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Momentum kemenangan ini diharap dapat diteruskan apabila bertemu Harimau Muda A pada 22 Mei nanti di Shah Alam.

Berikut gol-gol yang dijaringkan malam tadi:

Gol pertama Kelantan.

Gol kedua Kelantan.

Gol tunggal Felda United.

Gol ketiga Kelantan.

No comments:

Post a Comment