Wednesday 4 May 2011

Ulasan Perlawanan: Johor FC Vs Kelantan

Kelantan meneruskan penguasaan di tangga teratas Liga Super apabila membenam cabaran Johor FC 1-0 di Stadium J'Corp, Pasir Gudang, malam tadi.

Dengan kemenangan ini, The Red Warriors mendahului carta teratas liga dengan pungutan 36 mata, sama mata dengan Selangor tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan.

Di Pasir Gudang, taktikal Datuk M. Karathu menggunakan formasi 4-5-1 hampir mengundang padah apabila tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan sehingga memaksa pemain Sang Kijang banyak bertahan dengan serangan demi serangan.

Kehebatan Khairul Fahmi turut teruji dengan beberapa cubaan bahaya penyerang Johor FC didepan pintu gol.

Walaupun menerima serangan hebat Sang Lebah, tandukan cantik Mohd Badri Radzi hasil sepakan sudut Danial Fadly Abdullah pada minit ke-45 memisahkan kedua-dua pasukan pada babak pertama.

Sebaik bersambung babak kedua, Johor FC mengandakan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi tetap gagal menembusi gawang Sang Kijang.

Pemain Kelantan juga gagal mengambil kesempatan melalui serangan balas walaupun pasukan tuan rumah dilihat mengatur beberapa gerakan.

Perlawanan terhenti seketika ekoran tindakan penyokong Kelantan melontar objek kedalam padang selepas tidak berpuas hati dengan keputusan penjaga garisan.

Selepas berhempas pulas, perlawanan akhirnya ditamatkan dengan Kelantan berjaya memungut tiga lagi mata untuk terus memegang tampuk teratas Liga Super.

Selepas ini, Kelantan akan menanti kunjungan Kedah di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu manakala Johor FC akan bertandang ke Shah Alam menentang Selangor.

No comments:

Post a Comment