Tuesday 26 February 2013

Perlawanan Piala FA Kelantan-PKNS ditunda

PERLAWANAN pusingan kedua Piala FA antara Kelantan dengan Selangor PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu terpaksa ditunda berikutan garisan kotak penalti pudar selepas hujan lebat melanda Kelantan sejak tiga hari lepas.

Komisioner perlawanan Joseph Anthonysamy berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan padang sebanyak tiga kali selain mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan sebelum mengambil keputusan menunda perlawanan.
Katanya, pemeriksaan kali pertama yang dilakukan pada 12 tengah hari tadi mendapati kawasan padang telah digenangi air selain garisan di kawasan penalti
pudar berikutan hujan lebat.
"Pemeriksaan kedua pada 6.30 petang tadi dan sebelum sepak mula perlawanan menyaksikan keadaan masih tidak berubah dan kami mengambil keputusan untuk menunda perlawanan ini," katanya kepada pemberita malam ini.
Joseph berkata usaha yang dilakukan oleh pengurusan stadium dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk membuat garisan baharu di kawasan penalti padang tidak membuahkan hasil disebabkan hujan lebat.
Katanya, beliau akan menghantar laporan mengenai masalah berkenaan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menentukan tarikh baharu perlawanan tersebut.  - Bernama

No comments:

Post a Comment