Wednesday 20 February 2013

Mandjou Hero Kelantan

Foto Kredit: theredwarriorsfc.com
KOTA BHARU, 20 Februari – Terengganu kelihatan lebih aggresif memulakan pertemuan Liga Super menentang Kelantan malam tadi di Kota Bharu. Ketiadaan Ismail Faruqi yang digantung satu perlawanan ternyata memberi impak kepada jentera serangan mereka.
Pertemuan dua gergasi bola sepak Pantai Timur ini disaksikan oleh lebih 15 ribu penyokoing di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.
Ashaari Shamsudin berpeluang membuka tirai jaringan perlawanan tetapi sepakan beliau tersasar.
Kelantan kemudiannya mengatur serangan dengan lebih kemas dengan percubaan pertama di minit ke 10 apabila sepakan percuma diberikan kepada Kelantan setelah Keita Mandjou dijatuhkan berhampiran dengan kotak penalti.
Sepakan percuma yang diambil oleh Indra Putra disambar oleh Faiz Subri yang membuat percubaan terus ke dakapan penjaga gol Terengganu.
Terengganu kemudiannya mengatur serangan balas menyebabkan keadaan kelam kabut di pintu gol Kelantan. Khairul Fahmi bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan berturut-turut oleh Effa Owona dan Manaf Mamat.
Rentak permainan Terengganu terganggu apabila Effa Owona terpaksa digantikan kerana tercedera. Dua benteng pertahanan Kelantan, Obinna dan Nik Shahrul menjadi penghalang utama bagi gerakan-gerakan oleh Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin.
Menarik pada perlawanan malam tadi, Keita Mandjou telah memperlihatkan permainan terbaik beliau sejak Liga bermula. Keita berjaya melakukan beberapa percubaan berbahaya yang menguji kecekapan penjaga gol Terengganu, Sharmiza Yusoff.
Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh Keita Mandjou pada minit ke 34 setelah penyerang import tersebut merebahkan diri untuk menanduk masuk bola yang sebelum itu terkena palang gol.
Kedudukan separuh masa pertama kekal dengan Kelantan mengatasi Terengganu 1-0.
Separuh masa ke dua bermula dengan Kelantan meneruskan asakan ke pintu gol lawan bagi menambah jaringan, manakala Terengganu mencari peluang untuk menyamakan kedudukan.
Keadaan stadium sekali lagi menjadi gemuruh apabila Keita Mandjou berjaya menambah jaringan pada minit ke 64 hasil sepakan beliau yang gagal di tampan kemas oleh Sharmiza.
Keita hampir mencipta hatrik apabila menjaringkan gol ke 3 Kelantan pada minit ke 72 tetapi jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan.
Keadaan semakin sukar untuk Terengganu apabila kapten pasukan mereka, Faizal Muhammad dilayankan kad merah , setelah menerima dua kad kuning dalam perlawanan tersebut.
Keputusan tidak berubah sehingga tamat perlawanan. Kelantan mengekalkan rekod tanpa kalah di Kota Bharu, menewaskan Terengganu 2-0, menamatkan kebuntuan mencari kemenangan dari empat perlawanan sebelumnya.
Kelantan akan bertemu Pahang di Kuantan untuk saingan Liga Super seterusnya pada 23 Februari nanti.
Artikel asal: theredwarriorsfc.com

No comments:

Post a Comment