Wednesday, 18 May 2011

Venue Perlawanan Akhir Piala FA 2011 Ditenetukan Minggu Ini.

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- Venue perlawanan akhir bola sepak Piala FA antara Kelantan dan Terengganu yang akan berlangsung pada 11 Jun depan hanya akan diketahui selewat-lewatnya minggu ini, kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad.

Beliau berkata pemilihan venue untuk perlawanan akhir itu akan diputuskan dalam mesyuarat majlis jawatankuasa FAM dalam waktu terdekat.

"Ia masih dalam perbincangan. Kita pasti akan tentukan perlawanan akhir Piala FA pada Jumaat ataupun selewatnya dalam minggu ini," katanya ketika dihubungi Bernama pada hari Selasa.

Ditanya sama ada pemilihan venue akan melibatkan di Kelantan ataupun Terengganu, beliau berkata perkara tersebut tidak akan berlaku memandangkan kapasiti kedua-dua stadium tersebut tidak mampu menampung jumlah penonton pada perlawanan akhir.

Perlawanan itu dijangka berlangsung di Stadium Shah Alam yang berkapasiti 80,000 tempat duduk ketika Stadium Nasional di Bukit Jalil masih dalam proses penyelenggaraan.

Sekiranya FAM berhasrat untuk menggunakan Stadium Nasional sebagai venue akhir perlawanan tersebut, badan itu perlu mencari RM500,000 untuk menanggung kos penangguhan pembaikan trek di stadium itu.

Ini kerana stadium itu baru menjalani proses baik pulih trek dalam bulan ini dan telah beberapa kali tertangguh.

Kali terakhir penangguhan kerja pembaikan adalah untuk memberi laluan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia pada Piala AFF Suzuki penghujung tahun lalu.

Selain menggunakan stadium tersebut untuk perlawanan akhir Piala FA, FAM juga berhasrat untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa di antara skuad kebangsaan menentang tiga kelab Liga Perdana Inggeris - Chelsea, Liverpool dan Arsenal pada Jun dan Julai ini.

-- BERNAMA

Gol Cantik Oleh Shakir Shaari

Monday, 16 May 2011

Selangkah Ke Final

Tatkala pengendali Selangor, K Devan perlu memikirkan ramuan khas untuk pasukannya mencari seberapa banyak gol pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA malam ini, berbeza pula reaksi Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu yang sedikit pun tidak tertekan malah lebih bersemangat menceritakan persiapan pasukan kendaliannya.

Berbekal kelebihan empat gol, jelas Karathu tanpa bersembunyi mengakui beliau cukup optimis bahawa mampu membawa The Red Warriors mara ke perlawanan akhir buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun.

“Turun tanpa dua pemain pertahanan, Zairul Fitree (Ishak) dan Mohd Farisham (Ismail) tidak menjejaskan perancangan saya. Saya akui Selangor bakal memberikan tentang sengit sekali pun menyedari peluang mereka cukup sempit untuk mencipta kemenangan di Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Justeru saya menganggap kita masih belum layak ke perlawanan akhir selagi tempoh 90 minit belum berakhir. Satu perkara yang saya ingatkan kepada pemain bahawa ini peluang terbaik bagi mereka untuk menunjukkan persembahan cemerlang mereka dihadapan penyokong setia sendiri.

“Dua misi berbeza bahawa kita harus mempertahankan rekod tanpa kalah di tempat sendiri dan seperkara lagi betapa pentingnya untuk kita terus melebarkan rekod kemenangan kita ke atas Selangor. Soal siapa lawan kita di perlawanan akhir, nanti kita fikir kemudian,” katanya.

Menurut Karathu, latihan terakhir pasukan Kelantan petang ini (semalam) lebih tertumpu kepada perubahan formasinya dalam mencari kesebelasan pemain terbaik setelah dua tonggak utama di benteng pertahanan terpaksa disisihkan gara-gara mengumpul dua kad kuning.

“Tidak ada masalah tanpa dua tonggak yang digantung itu. Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) dan Mohamad Ab Aziz (Ismail) mungkin akan disenaraikan dalam kesebelasan utama. Saya tengah mencongak strategi ampuh untuk mengekang barisan pemain Selangor.

“Kita tidak akan bermain secara bertahan. Itu bukan cara kita bermain apabila menentang pasukan kuat seperti Selangor. Sebaliknya kita akan bermain seperti biasa dan saya mahu pemain mendapatkan gol awal bagi membunuh semangat juang pemain lawan. Saya tidak mahu pemain mensia-siakan peluang seperti yang berlaku pada babak kedua di Shah Alam tempohari.

“Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) juga akan diberikan peranan sebagai penggempur utama. Dia memang belum menemui rentak sebenar kerana hanya baru diturunkan dalam perlawanan lalu namun saya percaya sumbangan dia cukup penting bagi kejayaan pasukan,” katanya.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Shah Alam pada Jumaat lalu, Kelantan berpesta gol setelah membelasah Selangor dengan kemenangan 5-1. Dalam perlawanan itu, Muhammad Ramzul Zahini Adenan berjaya menjaringkan dua gol sementara satu gol lagi masing-masing menerusi sumbangan Muhd Badhri Radzi, Mohd Nurul Azwan Roya dan Norshahrul Idlan Talaha.

Separuh Akhir Piala FA Ke-2

Ramzul Mahu Terus Ledak Gol


Sentuhan memukau yang ditampilkan oleh penyerang muda The Red Warriors, Muhammad Ramzul Zahini Adenan dengan meledak dua gol ketika membantu pasukannya menumbangkan Selangor 5-1 pada separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu memberikan petanda bahawa dia sudah bersedia untuk kembali menggalas tugas selaku penggempur utama.

Turun selaku pemain utama pada perlawanan itu, anak kelahiran Kampung Kangkong, Pasir Mas itu, ternyata pantas menyambar peluang yang diberikan oleh Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu dengan mempamerkan sentuhan berbisa menyebabkan skuad bimbingan K. Daven bagaikan dipukau aksi mantap The Red Warriors.

Muhammad Ramzul berkata, dia semakin bersemangat untuk kembali merebut tempat dalam senarai kesebelasan utama menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.

Beliau berkata, dua gol yang dijaringkan pada perlawanan itu amat bermakna buat dirinya selepas pulih daripada kecederaan serius ketika bertemu Negeri Sembilan awal Mac lalu.

"Ini merupakan dua gol pertama saya dalam saingan Piala FA musim ini. Saya berterima kepada ketua jurulatih kerana memberikan peluang kepada saya untuk kembali ke dalam pasukan selepas aksi dengan Kuala Lumpur 30 April lalu.

"Walaupun tidak mendapat tempat dalam tiga perlawanan sebelum ini, ia sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan saya untuk kembali merebut tempat dalam pasukan. Alhamdulillah saya berjaya kembali dan menjaringkan gol semangat buat pasukan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tambahnya, dua jaringan di Stadium Shah Alam tempoh hari adalah hasil bantuan rakan-rakan yang banyak membuka peluang kepadanya untuk membuktikan ketajaman penyudah.

Bekas bintang Piala Presiden Kelantan musim 2006 itu memberitahu, keyakinannya bertambah selepas berjaya menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut yang turut melonjakkan semula moralnya untuk terus mempamerkan aksi terbaik.

"Sekiranya terus diberikan peluang untuk perlawanan malam esok (ini), saya bertekad untuk memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas itu dan cuba membantu pasukan layak ke pentas akhir buat kali kedua seterusnya membawa kejuaraan Piala FA ke Kota Bharu.

"Meskipun terpaksa bersaing dengan pemain yang sedia ada, itu bukan alasan. Apa yang penting saya kena terus berusaha dan belajar dari mereka yang berpengalaman untuk menjadi penggempur berbisa terutama daripada rakan sepasukan Norshahrul Idlan Talaha," ujarnya.