Wednesday, 15 February 2012

Saya Kecewa, Saya Tak Kenal Dia, Apa Peranan Saya Di Sini? - Butler

Ketua Jurulatih Kelantan, Peter James Butler bukan sahaja kecewa dengan kekalahan pertama dialami pasukannya musim ini, tewas 1-2 kepada Selangor malam tadi di Stadium Nasional Bukit Jalil, tetapi yang lebih mengecewakan, dia ibarat tiada kuasa penuh sebagai Ketua Jurulatih apabila sekadar menjadi PAK TURUT dan terpaksa mengikut sahaja telunjuk pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).
Ini menurutnya ekoran campurtangan pengurusan dalam urusan pemilihan pemain, terutamanya AWANG IMPORT, di mana dia langsung tidak tahu siapa pemain yang dibawa masuk, siapa yang kekal, siapa yang keluar, dan  apa status mereka – terbaru terpaksa menurunkan pemain import baru mereka, Nwoha Onyekachi selepas kontrak Muhamad Ghadar ditamatkan, malah dia langsung tidak pernah melihat pemain itu beraksi sebelum ini.
“Saya tak mahu komen, saya tak tahu (kenal) dia, saya tengok dia 30 minit buat kali pertama malam ni, saya cuma berdiri di sini, bukan saya yang evaluate dia, itu bukan tugas saya, apa yang saya nampak ya dia bagus, workrate bagus, tapi belum ada persefahaman dalam team..”.
“kalau dia dah satu minggu dalam team saya boleh nilai dia, dia masuk secara tiba-tiba, kuasa bukan di tangan saya. Apa saya boleh buat? Saya perlu hormat keputusan pengurusan. Tetapi saya tak tahu apa peranan saya di sini, saya selalu tertanya-tanya, dan sudah penat bertanya soalan sama. Saya jurulatih dengan prinsip yang tinggi, pergi mana-mana orang hormat saya, tapi saya perlu adil dan jujur dengan diri saya, kalau saya tak boleh kerja macam saya mahu, saya mesti tanya beberapa soalan (kepada pengurusan)…”. – Peter Butler.
Menurut Butler dia sudah merangka formasi dan strategi tersendiri untuk perlawanan menentang Selangor, tetapi terpaksa merombaknya pada saat akhir untuk menyesuaikannya dengan kehadiran pemain baru, dan memberi gambaran betapa jodohnya bersama Kelantan mungkin tidak berpanjangan.

 Nwoha dicabar Ramez, foto : Bernama
“saya ada tanggungjawab, kontrak saya dua tahun, tapi what is my role? Saya akan pulang, dan berfikir tentang perkara ini, berbincang dengan pengurusan, dengan cara baik, tapi saya memang kecewa..”.
Mengulas mengenai kekalahan pertama pasukannya musim ini, yang juga kekalahan pertama kepada Selangor selepas 3 tahun (kali terakhir tewas pada Februari 2009, 0-3 di Shah Alam), Butler berkata pasukannya tidak memanfaatkan peluang dengan baik, dan memberi peluang kepada Selangor untuk menguasai perlawanan.
Tambah Butler, pasukannya cuba bangkit dengan aki lebih baik pada 15 minit terakhir, tetapi segalanya sudah terlewat untuk menjelmakan kebangkitan.

Thursday, 9 February 2012

Tiada Gol Di Likas


Sabah menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mengikat Kelantan 0-0 di Stadium Likas, malam tadi.


Bermain didepan ribuan penyokong setia, Sabah nyata menguasai sepenuh masa permainan apabila melancarkan serangan bertali arus untuk membolosi gawang Sang Kijang.

Namun Kelantan terlebih dahulu membuat percubaan melalui sepakan tersasar Mohd Badri Radzi seawal minit ke-3.

Pada minit ke-12, Norshahrul Idlan Talaha gagal menggunakan kesempatan berdepan situasi satu lawan satu dengan Syed Adney apabila sepakannya terkena jaring tepi sebelah kiri pintu gol Sabah.

Seminit berselang, Shahrudin Yakup memulakan pesta serangan ke arah kubu pelawat melalui percubaan padu dari jarak 25 meter namun Khairul Fahmi lebih bersedia menyelamatkan keadaan.

Memasuki minit ke-18, Shahrudin sekali lagi mencemaskan benteng Kelantan dengan sepakan kencang dari luar kotak penalti tetapi Khairul Fahmi terus menjadi penyelamat dengan aksi "super save".

Tidak lama kemudian, giliran Bobby Gonzalez melakukan percubaan volley dari jarak dekat namun Daudsu pantas menampan didalam kotak penalti untuk menyelamatkan gawang.

Serangan Sabah tidak terhenti disitu, kali ini tandukan penyerang import dari Australian, Micheal Baird pantas ditepis keluar Khairul Fahmi pada minit ke-24.

Baird pantas menghadirkan ancaman ke kubu Kelantan dengan memanfaatkan kesilapan awal Indra dan Obinna pada minit ke-28 tetapi gagal membolosi gawang pelawat.

Mereka terus kecewa apabila dinafikan sepakan penalti pada minit ke-32 selepas Baird dikasari S. Subramaniam.

Selang seminit selepas itu, Khairul Fahmi lebih pantas keluar untuk menumbuk keluar serangan yang diatur oleh Shahrudin Yakup kepada Bobby Gonzalez.

Peluang terbuka Kelantan untuk melakukan jaringan adalah melalui situasi satu lawan satu Ghaddar pada minit ke-34 selepas menerima hantaran jauh Shakir tetapi Syed Adney bijak menampan keluar.

Enam minit selepas itu, sepakan Ghaddar dari dalam kotak penalti tersasar keluar.

Percubaan Bobby Gonzalez melalui sepakan rendah dari jarak dekat hanya meniti diatas garisan gol sebelum keluar pada minit ke-42 menutup tirai babak pertama tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak memburu jaringan pertama namun tidak berjaya menembusi kawasan terakhir masing-masing.

Bagi menambah sengat, Ghaddar dikeluarkan dengan memasukkan Ramzul Zahini Adenan.

Kemasukan Ramzul membuka ruang kepada Norshahrul Idlan serta Norfarhan bergerak lebih bebas dalam kawasan Sabah namun setiap gerakan mereka mudah dibaca oleh pertahanan Sabah.

Sabah yang tertekan dengan serangan Kelantan merubah corak permainan dan mula menguasai perlawanan.

Hasil satu serangan balas, Micheal Baird melepasi kawalan tiga pemain Kelantan sebelum melepaskan satu rembatan rendah dari jarak 30 meter tetapi dinafikan dengan pantas oleh Khairul Fahmi.

Memasuki minit terakhir masa perlawanan, Sabah dilihat lebih menguasai perlawanan melalui percubaan bahaya yang diterjemahkan oleh gerakan Baird, Zainizam Marjan dan pemain gantian, Shahrul Azhar Ture.

Peluang terbaik mereka untuk mencatatkan kemenangan diperoleh pada minit terakhir masa tambahan bagaimanapun gagal disempurnakan Alphonso apabila rembatan kencang dari luar kotak penalti terkena tiang gol sebelah kiri.

Kesebelasan Utama: 

Sabah : Justin Ganai
Syed Adney (Gk), Mohd Rethaudin (Kp), Ronny Harun, Alto Linus, Sumardi Hajalan (Shahrul Azlan Ture), Mohd Fariss Azlan, Zainizam Marjan, Brendan Gan, Bobby Gonzalez (Leopold Alphonso), Micheal Baird dan Shahrudin Yakup.

Kelantan : Peter James Butler
Khairul Fahmi (Gk), S. Subramaniam, Obinna Nwaneri (Farisham Ismail), Aziz Ismail, Daudsu Jamaludin, Mohd Badri Radzi (Kp), Indra Putra, Shakir Shaari (Rizal Fahmi Rosid), Norfarhan Mohamed, Mohamad Ghaddar (Ramzul Zahini) dan Norshahrul Idlan Talaha.

Statistik

Gol
Sabah 0-0 Kelantan

Percubaan
Sabah 17-9 Kelantan

Kad Kuning
Sabah 4-7 Kelantan

Kad Merah
Sabah 0-0 Kelantan

Offside
Sabah 5-4 Kelantan

Posisi Bola (%)
Sabah 55-45 Kelantan

Sumber Berita: Redsfcnews

Thursday, 2 February 2012

Kelantan Gugur Ghaddar dan Antwi


Dalam perkembangan berkaitan, Presiden KAFA, tampak sudah mengenalpasti pemain import yang mana akan disenaraikan untuk beraksi dalam saingan Liga-M serta Piala AFC.

Beliau yang nyata kecewa dengan pelaburan tidak berbaloi Kelantan dalam pengambilan pemain import, dilihat sudah bersedia menggugurkan Mahmoud Ghadar dan Dennis Antwi untuk sekadar beraksi di Piala AFC, manakala untuk saingan Liga-M, Kelantan dijangka menyenaraikan dua pemain yang ditandatangani tanpa langsung menguji terlebih dahulu kemampuan mereka – Samad Okucha dan Obina Nyaneri.



Kekalahan 0-5 Kelantan kepada Harimau Malaya bimbingan jurulatih yang popular dengan statemen SAYA KENAL PEMAIN SAYA, Datuk K.Rajagobal nyata menimbulkan rasa amarah dan tidak puas hati di kalangan para penyokong setia Kelantan yang sudah hilang sabar dengan aksi lembik Ghaddar dan Antwi yang nyata gagal membuktikan mengapa mereka layak untuk berada dalam pasukan.

Malah, Peter Butler ketika diajukan soalan berkenaan pemain import, tidak mahu mengulas lanjut dan menyerahkannya kepada pengurusan untuk buat keputusan, namun dalam masa sama berkata :

“sebaik manapun seorang penyerang beraksi, sumbangan dia dilihat pada berapa banyak gol yang dia jaringkan, itu bukti kredibiliti dia, bukan perkara lain, jumlah gol menunjukkan dia penyerang yg baik atau tak, itu sebab kita bayar dia, dan saya tak perlukan penyerang yang tak boleh jaringkan gol..”

Namun, apakah satu tindakan rasional untuk KAFA menandatangani dua pemain yang belum diuji kemampuan mereka setakat ini, apakah ia akan membuahkan hasil, atau skrip sama terhasil, sama-sama kita tunggu dan lihat.

Harimau Malaya Baham Kijang Merah


Harimau Malaya mudah membelasah Kelantan 5-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.


Mempertaruhkan barisan terbaik himpunan pemain dari seluruh negara, Sang Harimau tidak menoleh ke belakang untuk menewaskan juara Liga Super yang menurunkan hampir separuh pemain simpanan

Bermain didepan ribuan penyokong kedua-dua pasukan, Harimau Malaya terlebih dahulu didepan melalui jaringan Asrarudin Putra Omar pada minit ke-36.

Tidak lama kemudian, penyerang berasal dari Negeri Sembilan, Shahurain Abu Samah mengandakan kedudukan kepada 2-0.

Pada babak kedua, S. Kunalan pula mengejutkan Sang Kijang dengan jaringan ketiga pada minit ke-65.

Sisa-sisa kebangkitan Kelantan terpadam terus pada minit ke-81 apabila Abdul Hadi Yahya menambah jaringan keempat pasukan sebelum Mohd Izuan Salahudin melengkapkan malam serba tidak menjadi The Red Warriors dengan jaringan kelima dan terakhir perlawanan pada minit ke-88.

Selepas ini, Kelantan akan menanti kunjungan Balestier Khalsa FC di Kota Bharu untuk perlawanan persahabatan sebelum turun aksi seterusnya Liga Super di Stadium Likas menentang Sabah. -RedsfcNews-