Saturday, 16 February 2013

Kelantan Tewas Lagi

Foto Kredit: theredwarriorsfc.com
SHAH ALAM, 15 Februari – Kelantan gagal dalam misi menamatkan kemarau kemenangan apabila tewas kepada pasukan Selangor 0-2, di Stadium Shah Alam malam tadi.
Gol-gol Selangor dijaringkan pada separuh masa pertama perlawanan oleh penyerang import mereka, Francis Forkey Doe (minit 12) dan pemain pertahanan, Ramez Jamal Dayoub (minit 26).
Selangor dilihat mendominasi keseluruhan permainan, mengatasi Kelantan yang masih belum menemui penyudahan di bahagian serangan.
Dengan keputusan tersebut, Kelantan kini berada di tangga ke 8 Liga Super dengan jumlah kutipan 6 mata daripada enam perlawanan. Selangor pula mengambil tempat sebagai peneraju Liga dengan kutipan 13 mata manakala Lions XII dan Pahang berkongsi 12 mata untuk menduduki tempat ke 2 dan ke 3.
Kelantan akan bertemu Terengganu untuk saingan Liga Super yang seterusnya pada 19 Februari 2013 di Kota Bharu.
Artikel asal: theredwarriorsfc.com

Thursday, 14 February 2013

Liga Super bersambung kembali

Foto Kredit: thredwarriors.com
Setelah berehat tiga minggu, Kelantan akan kembali mengharungi saingan Liga Super 2013 dengan menentang Selangor di Shah Alam esok.
Membuka tirai musim ini dengan kekalahan tipis kepada ATM melalui sepakan penalti ketika perlawanan Piala Sumbangsih, keputusan perjuangan awal Kelantan sebagai juara treble musim lalu mengundang kerisauan di kalangan penyokong-penyokong.
Setelah mengharungi lima perlawanan Liga Super, Kelantan berada di tangga ke 7 dengan pungutan 6 mata hasil daripada 1 kemenangan (PKNS FC), 3 keputusan seri (DTFC, Felda United FC, Negeri Sembilan FA dan tumpas sekali (T-Team FC).
Kegagalan bertindak cemerlang di bahagian serangan menyebabkan pertemuan-pertemuan “mudah” masih tidak berpihak kepada Kelantan.
Penyerang import pasukan, Keita Mandjou, menjadi sasaran kemarahan penyokong kerana gagal beraksi seperti seorang penyerang yang digeruni.
Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, walau bagaimanapun percaya situasi akan berubah apabila Kelantan bertandang ke Stadium Shah Alam untuk pertemuan dengan pasukan Selangor pada hari Jumaat nanti.
Tiga minggu masa rehat telah dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan di jentera serangan. Dalam dua perlawanan persahabatan yang diatur, Kelantan telah bermain dengan lebih baik untuk mengikat Juara Liga Premier Indonesia, Semen Padang FC dengan keputusan seri 1-1.
Dan pertemuan berikutnya, persefahaman yang lebih baik di kalangan pemain menyaksikan Kelantan berhasil menewaskan Felda United FC dengan dua jaringan gol tanpa balas.
Walaupun kedua-dua perlawanan tersebut turut disertai oleh Dimitri Petratos (Skuad AFC Kelantan) dan dua pemain import ujian, penyerang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, dan pemain sayap Salim Arrache dari Peranchis, penampilan pemain-pemain tempatan yang bermain dengan lebih kemas sebagai satu pasukan menjadi faktor penyumbang kejayaan yang utama.
Keyakinan semakin terbentuk di kalangan pemain-pemain pasukan. Kesungguhan semakin terserlah dalam setiap sesi latihan yang dijalankan. Kawalan emosi dan juga tekanan menjadi semakin baik.
Juara Treble adalah pada musim lalu. Gelaran tersebut memang bukan saja menjadi kebangaan pasukan, tetapi juga oleh setiap penyokong pasukan. Hinggakan mereka yang tidak pernah meminati sukan bola sepak, mahupun ambil tahu tentang The Red Warrriors, mula mahir mengingati setiap nama dan posisi pemain.
Ia suatu kenangan manis. Dan untuk menjamin kesinambungan kejayaan, kegembiraan menjadi Juara Treble musim lalu, harus diletak ke tepi kerana di musim ini, semua pasukan mahu menewaskan si Juara.
Menyedari hal tersebut,  Tan Sri Presiden sendiri telah berpesan, bukan saja kepada pemain, tetapi juga kepada pegawai-pegawai pasukan. Lupakan kejayaan lalu, dan teruskan dengan perjuangan yang baru.
Sekali lagi, pada 15 Februari ini, pasukan menagih sokongan tanpa berbelah bahagi daripada semua penyokong untuk terus memberi kepercayaan dan menyokong pasukan. Ia bukan perlawanan yang mudah kerana Selangor, selain daripada meneruskan Misi 33 mereka, dibarisi oleh pemain-pemain handal dan pasukan mereka lebih konsisten dalam saingan Liga musim ini.
Di Stadium Shah Alam, pada hari Jumaat 15 Februari ini, pasukan memerlukan anda, “The 12thPlayers”. Kita pernah berjaya mendominasi stadium lawan, dan marilah sekali lagi kita gegarkan stadium tersebut dengan laungan “Gomo Kelate Gomo”.
Artikel asal: theredwarriors.com

Nwakaeme sertai TRW

Foto Kredit kepada tuan punya foto.
KOTA BHARU, 13 Februari - Penyerang yang berasal dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, pada hari ini menandatangi kontrak untuk bersama pasukan Kelantan musim ini, dengan pilihan untuk diteruskan untuk musim 2014.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Hj Annuar Musa memaklumkan dalam laman sosial FB beliau, pengambilan Dickson adalah di antara beberapa perancangan yang diambil oleh pasukan untuk memantapkan persembahan pasukan yang sedikit hambar awal musim ini.
Urusan TMS sudah dibuat hari ini bagi membolehkan Sijil Perpindahan Antarabangsa  (ITC) dikeluarkan sebelum Dickson boleh didaftar dalam skuad The Red Warriors untuk AFC atau Liga Malaysia nanti.
Dickson berada di Kota Bharu meneruskan latihan bersama pasukan selepas perlawanan persahabatan terakhir Kelantan, menewaskan Felda United 2-0 baru-baru ini.
"Bojan  mempunyai pilihan yg lebih luas bila Dickson  berjaya didaftarkan sama ada utk AFC Cup ataupun Liga M. Sebelum bulan April insya Allah akan ada lagi langkah tambahan memperkasa pasukan kita," tambah Tan Sri Hj Annuar.
Artikel asal di theredwarriorsfc.com

Friday, 1 February 2013

Pemain TRW berguru di Blackburn

PENYERANG muda Australia, Dimitrios Petratos yang beraksi bersama The Red Warriors dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2013 secara rasminya akan berangkat ke England pada 4 Februari ini bagi menjalani latihan dengan pasukan Blackburn Rovers.
Berita gembira itu diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa di Kota Bharu semalam.
Annuar berkata, ketua pasukan Piala Presiden Kelantan, Faizul Nazlin Sayuti akan pergi bersama Petratos bagi menjalani latihan tersebut dan akan kembali semula ke pangkuan pasukan pada bulan Mac untuk menghadapi saingan Piala AFC.
Faizul Nazlin
Menurutnya, latihan tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama antara KAFA dengan kelab berkenaan sebagai langkah untuk memantapkan lagi pasukan bagi mengharungi saingan liga musim ini.
“Pemergian kedua-dua pemain ini akan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif, TheRedWarriors.com iaitu Kelvin Ramalingam.
Sepanjang berada di sana, Petratos bakal menjalani sesi latihan dan ujian yang dikendalikan oleh pihak Blackburn Rovers.
“KAFA berharap, latihan tersebut akan meningkatkan lagi tahap kemahiran Petratos sebelum dia kembali bersama pasukan untuk saingan Piala AFC nanti.
“Begitu juga dengan Faizul Nazlin, kita mahu memberikan pendedahan awal kepada pemain muda ini dalam usaha untuk memantapkan corak permainan dan kemahirannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar perlawanan Piala Permai di Stadium Sultan Muhammad IV semalam mengenai pertembungan antara juara Liga Super Malaysia, Kelantan dengan juara Liga Super Indonesia, Simen Padang FC esok.
Pada majlis tersebut, Annuar turut memperkenalkan seorang pemain import dari Perancis yang akan membantu The Red Warriors dalam perlawanan tersebut iaitu, Salim Aracche.
Selain Aracche, Kelantan turut diperkuatkan dengan seorang lagi tonggak import dari Nigeria, iaitu Dickson Nwakaeme yang bergandingan bersama Obinna Nwaneri, Lek Kecira di posisi pertahanan.
Annuar memberitahu, jika ada perkembangan semasa mengenai kedua-dua pemain itu, ia akan memaklumkan perkara tersebut dari semasa ke semasa.
“KAFA akan menjalinkan kerjasama ini di masa akan datang melibatkan pertukaran pemain dan jurulatih,” ujarnya.
Mengulas mengenai perlawanan Piala Permai itu, Annuar memberitahu, ia adalah kesinambungan perlawanan sebelum ini ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Piala Gabenor Acheh baru-baru ini.
“Perlawanan ini merupakan medan terbaik buat kita untuk mengukur sejauh mana kekuatan pasukan. Saya akui ia bukanlah satu perlawanan yang mudah buat Kelantan.
“Mereka sebuah pasukan yang hebat, dan kita pernah tunduk kepada mereka 1-3 dalam aksi Piala Gabenor Acheh baru-baru ini. Saya harap pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan itu,” tegasnya.
Sumber: Kelate.net

Friday, 25 January 2013

Prestasi hambar Red Warriors, Kafa ambil tindakan drastik


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka mengambil tindakan drastik ekoran prestasi hambar The Red Warriors yang hanya mampu meraih enam mata daripada lima perlawanan pada saingan Liga Super musim ini.

Tanpa mendedahkan langkah tersebut, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu bedah siasat sedang dilakukan bagi mengenal pasti kemerosotan mendadak Kelantan sebelum saingan Liga Super bersambung pertengahan Februari depan.

“Terpaksalah berusaha dengan apa yang ada bagi menghadapi musim yang mencabar ini. Kita perlu lakukan sesuatu (memperbaiki prestasi pasukan) meski pun kita tahu ia begitu sukar,” katanya dipetik daripada laman sosial Facebooknya, semalam.

“Insya ALLAH, kita harap jurulatih (Bojan Hodak) dapat menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan ketika saingan liga berhenti berehat. Sebenarnya bukan mudah, kerana kita terpaksa tunggu setahun untuk mendapatkan pengganti baharu (kehilangan tonggak utama musim lalu).

Tempoh rehat selama tiga minggu perlu digunakan sebaiknya oleh pengendali dari Croatia itu bagi memperbaiki kelemahan pasukan terutama ketumpulan jentera serangannya yang hanya mampu menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan lalu.

Juara bertahan Liga Super musim lalu kini menghuni di tangga ketujuh setelah hanya mampu meraih enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan kalah sekali dan dibezakan enam mata dengan pendahulu liga yang diterajui Pahang ketika ini.

Kelantan dan Sime Darby FC bagaimana pun tidak terlibat dalam perlawanan pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA yang bermula hari ini. Kedua-dua pasukan itu mendapat bye setelah muncul juara dan naib juara pada pentas akhir musim lalu.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, semua pemain Kelantan diberi cuti rehat selama tiga hari setelah mengalami keletihan ekoran berdepan jadual perlawanan yang padat sejak tiga minggu lalu.

“Mohd Norfarhan (Muhammad), Mohd Faiz (Subri), Keita Mandjou, Muhammad Izuan (Salahuddin) antara pemain yang cedera. Saya harap mereka dapat pulih sepenuhnya dalam tempoh rehat ini,” katanya.