Wednesday, 5 February 2014

Gol Shakir buat Sabah gigit jari

Kota Bharu: Kelantan terpaksa berhempas pulas untuk menjinakkan Sabah dengan kemenangan tipis 2-1 bagi melayakkan diri ke suku akhir saingan Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Penyerang gantian, Ahmad Shakir Ali menjadi penyelamat The Red Warriors (TRW) apabila menjaringkan gol kemenangan tuan rumah di penghujung perlawanan.
Bermula babak pertama, Kelantan beraksi garang apabila mula mengasak kubu Sabah seawal minit ke-5 menerusi gerakan pemain Tengku Hasbullah Raja Hassan yang melorongkan bola kepada penyerang import Mohamad Ghaddar namun percubaan pemain Lubnan itu sedikit tersasar ke kiri gawang.
Minit ke-13, tuan rumah terus garang, malah kali ini menerusi pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang merembat kencang dari luar kotak penalti namun percubaannya itu sekadar menggegarkan palang gol.
Tiga minit berselang, giliran pelawat mengatur serangan balas menerusi penyerang muda, Rozaimi Abdul Rahman yang melakukan percubaan dari luar kotak penalti namun tersasar ke kiri gawang.
Minit ke 22, Rozaimi sekali lagi berpeluang meletakkan Sabah di depan namun rembatan kencangnya melepasi palang gol.
Bagaimanapun di hujung babak pertama, tuan rumah berjaya memecah kebuntuan apabila Shawky Aly menolak masuk ke gawang ketika berlaku kekalutan di dalam kotak penalti sekali gus membolehkan Kelantan berada di depan sehingga tamat babak pertama.
Sepuluh minit selepas babak kedua bermula, Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-55 menerusi jaringan ketua pasukan, Rosdin Wasli yang menolak masuk sepakan percuma Mitrovic Srecko.
Minit ke-72, penyerang gantian, Ahmad Shakir berpeluang menjaringkan gol kedua Kelantan selepas menerima hantaran lintang Mohd Badhri Radzi namun percubaannya tidak menemui sasaran. Ahmad Shakir sekali lagi mensia-siakan peluang terhidang pada minit ke-82 untuk meletakkan Kelantan di depan apabila gagal menyudahkan umpanan Ghaddar di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun peluang ketiga yang diperoleh Ahmad Shakir di hujung perlawanan dimanfaatkan sepenuhnya pemain berkenaan yang merembat kencang bola muntah dari dakapan penjaga gol, Irwan Jamil untuk memastikan kemenangan Kelantan.
www.hmetro.com.my

Tuesday, 4 February 2014

TRW perlu bangkit

Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Radzi tidak mahu mimpi ngeri berulang ketika melayan kunjungan Sabah dalam saingan kalah mati pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
The Red Warriors (TRW) yang dikejutkan dengan kekalahan pertama 1-2 di tangan PKNS FC di gelanggang keramat sendiri dalam aksi Liga Super 28 Januari lalu, ternyata tidak mahu kejadian itu berulang ketika bertemu Sabahawks nanti.
Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, kekalahan kepada PKNS FC tempoh hari menjadi iktibar kepada pasukannya supaya tidak memandang mudah keupayaan lawan malah menyifatkan beraksi di gelanggang sendiri bukan jaminan untuk mendapatkan mata penuh.
Katanya, Kelantan yang turun selaku juara bertahan perlu mempamerkan aksi terbaik sekali gus menuntut rakan sepasukan melupakan kekalahan pertama kepada PKNS FC dan bangkit mempertahankan Piala FA.
“Yang pasti kita sudah tidak mahu kalah di stadium sendiri lagi dan kami tidak boleh menghampakan penyokong. Sebagai juara bertahan kami perlu mempamerkan aksi terbaik untuk mempertahankan trofi yang dimenangi musim lalu.
“Kekalahan kepada PKNS FC perlu dilupakan dan saya mahu rakan sepasukan bangkit untuk membuktikan kami masih mampu memberi saingan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan Steve Darby berkata, mereka mungkin menggunakan khidmat pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang kini dilaporkan sudah pulih daripada kecederaan hamstring.
Katanya, kehadiran Shawky Aly bakal menguatkan jentera tengah selain mengharapkan gandingan mantap pemain dari Mesir itu dengan Mohd Badhri untuk mencorakkan permainan termasuk melancarkan serangan bagi membolosi gawang lawan.
“Shawky sudah pulih namun saya perlu menilainya sehingga latihan terakhir sebelum perlawanan dan jika keadaannya memuaskan tidak mustahil saya menurunkannya malam esok (malam ini). Kami amat memerlukannya untuk menguatkan bahagian tengah malah ketiadaannya sebelum ini juga menjejaskan pasukan. Saya mahu mereka bangkit dan menang malam esok (malam ini),” katanya.
www.kelate.net

Kelantan mahu habiskan Sabah dalam 90 minit


KOTA BHARU – Juara bertahan Kelantan mahu menamatkan saingan pusingan kedua Piala FA dalam tempoh 90 minit apabila melayan kunjungan Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Jurulatih The Red Warriors, Steve Darby berkata, dia seboleh-bolehnya mahu perhitungan itu dilangsaikan dalam tempoh tersebut bagi membolehkan anak-anak didiknya mendapat rehat mencukupi bagi menghadapi Perak pula dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Menurutnya, bagaimanapun dia dan barisan pemain tetap membuat persediaan untuk beraksi pada masa tambahan atau penentuan sepakan penalti sekiranya permainan dalam masa sebenar terikat dengan keputusan seri.
“Saya tetap waspada dengan keupayaan Sabah. Berdepan dengan mereka bukanlah tugas mudah buat barisan pemain The Red Warriors dan keupayaan mereka layak ke pusingan kedua tidak perlu diperkecilkan.
“Secara jujurnya saya tidak mengetahui keupayaan sebenar pasukan berkenaan dan hanya sempat mengkaji corak permainan mereka menerusi rakaman video,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Darby memberitahu, bagaimanapun dia sudah bersedia untuk menghadapi perhitungan hidup mati pasukannya dalam perlawanan itu nanti.
Sehubungan itu, Darby menggesa anggota skuadnya menampilkan permainan bertenaga dalam perlawanan itu bagi memastikan Kelantan mara ke suku akhir.
Dalam perkembangan lain, jurulatih dari England itu mendapat khabar yang menggembirakan setelah pemain tengah Mohamed Shawky Aly disahkan sudah pulih daripada kecederaan.
Katanya, dia berharap tonggak tengah kelahiran Mesir itu cergas sepenuhnya bagi membantu Kelantan menghadapi Sabah nanti.
“Dalam aksi persahabatan di Brunei Jumaat lalu, dia beraksi selama 45 minit dan menunjukkan petanda positif sepanjang tempoh tersebut.
“Saya jangkakan kehadiran Shwaky akan memantapkan lagi persembahan The Red Warriors,” katanya.
www.utusan.com.my

Apek: The Red Warriors tak boleh tewas

“SEBAGAI juara bertahan, kami tidak boleh tewas kepada Sabah.” Itu kata, Penolong Ketua Pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat yang bertekad memastikan kemenangan menjadi milik pasukannya pada pertemuan pusingan kedua Piala FA menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam esok.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali panggilan Apex berkata, dia mahu melupakan kesilapan melepaskan gol mudah yang menyaksikan Kelantan tewas 1-2 kepada PKNS FC dalam saingan Liga Super minggu lalu dan menjadikan Sabah sebagai mangsa kebangkitan pasukannya.
“Pertemuan menentang Sabah malam esok merupakan perlawanan kalah mati bagi kedua-dua pasukan. Ini perlawanan pertama Kelantan dalam saingan Piala FA dan kami tidak boleh kalah kerana laluan untuk mempertahankan kejuaraan harus bermula dengan menewaskan pasukan itu.
“Sebagai penyandang juara, tekanan sentiasa diletakkan pada pasukan ini tetapi saya ambil perkara itu sebagai suntikan motivasi untuk Kelantan mara lebih jauh. Kami tidak boleh jadikan tekanan itu satu penghalang untuk ke peringkat suku akhir,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Bagi merealisasikan misi wajib menang ke atas Sabah, penjaga gawang The Red Warriors itu jelas mengharapkan rakan sepasukannya meminimumkan kesilapan pada pertemuan menentang pasukan dari Kepulauan Borneo itu.
“Kesilapan sentiasa ada dalam bola sepak. Itu tidak boleh elakkan tetapi saya percaya kami boleh mengurangkannya pada pertemuan dengan Sabah nanti. Insya ALLAH, jika kami dapat mengatasi masalah tersebut, Kelantan tidak berdepan masalah untuk mengalahkan mereka,” katanya.
Begitu pun tegasnya, laluan sukar menanti Kelantan apabila melayan kunjungan Sabah di Kota Bharu memandangkan skuad kendalian Seslija Milomir itu pasti berusaha memburu kemenangan setelah tewas dalam dua perlawanan Liga Premier sebelum ini.
“Kami sendiri pun tidak tahu kekuatan atau kelemahan mereka. Dua kekalahan awal itu mungkin tidak menggambarkan keupayaan sebenar Sabah. Jurulatih mereka pasti akan merangka strategi tersendiri untuk menafikan kemenangan kami malam esok,” katanya.
Apex yang tidak ikut serta ke Brunei ketika Kelantan mengikat keputusan seri tanpa jaringan dengan Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC pada aksi persahabatan tiga hari lalu, turut menagih sumbangan lebih daripada Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Farisham Ismail setelah mereka mendapat rehat yang mencukupi sebelum pertemuan malam esok.
www.sinarharian.com.my

Kelantan lupakan "mimpi ngeri"

PENOLONG kapten The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan-rakan sepasukan melupakan ‘mimpi ngeri’ tumpas 1-2 kepada Selangor PKNS dalam aksi Liga Super minggu lalu dan kembali memberikan fokus menjelang pusingan kedua Piala FA bertemu Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.
Justeru penjaga gawang The Red Warriors itu mahu rakan-rakan sepasukan mempamerkan semangat juang tinggi pada perlawanan tersebut.
Khairul Fahmi atau Apek berkata, pertemuan kalah mati dengan Sabah itu akan menentukan hala tuju pasukan dalam saingan Piala FA musim ini.
“Ini merupakan pertemuan kalah mati dan kita tidak boleh tumpas pada perlawanan ini. Kekalahan minggu lalu harus dilupakan segera dan saya harap ia tidak mempengaruhi persembahan Kelantan pada Selasa nanti.
“Selaku juara bertahan, kita pastikan mahu pergi jauh. Jadi saya dan rakan-rakan bertekad untuk memperagakan aksi terbaik pada perlawanan itu nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Apek memberitahu, dia sudah bersiap sedia untuk menghadapi pertemuan tersebut bagi memastikan The Red Warriors mara ke pusingan seterusnya.
“Saya harap rakan-rakan yang beraksi dalam aksi persahabatan dengan DPMM Brunei mendapat rehat secukupnya menjelang pertemuan ini nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Apek mengingatkan rakan-rakan sepasukan supaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan Sabah pada pertemuan itu nanti.
Katanya, Sabah bukanlah calang-calang pasukan walaupun mereka tewas dua kali dalam aksi Liga Premier sebelum ini.
“Saya yakin jurulatih mereka ada perancangan tersendiri begitu juga dengan pemain yang pasti bersemangat dan lebih bersedia untuk bertemu dengan Kelantan.
“Bagaimanapun, kami sudah bersedia untuk berhadapan dengan mereka dan memastikan kemenangan berpihak kepada Kelantan pada perlawanan itu nanti,” tegasnya.
www.kosmo.com.my