Thursday, 30 January 2014

Kami gagal manfaat peluang

Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby menyifatkan kekalahan 1-2 kepada PKNS FC dalam saingan Liga Super kelmarin berpunca daripada kesilapan semua pemain.
Darby berkata, tiada pemain tertentu yang perlu dipersalahkan sebaliknya kekalahan berkenaan disebabkan kesilapan satu pasukan selain tidak memanfaatkan peluang tercipta di depan gol lawan.
“Tiada pemain tertentu yang harus dipersalahkan.
Kekalahan ini berpunca daripada kelemahan pasukan dan kita cipta banyak peluang, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan.
“Pemain saya ada yang bermain dengan baik, tapi masih melakukan kesilapan kecil.
Kesilapan ini yang menghukum pasukan dan kami terpaksa menerima keputusan perlawanan itu,” katanya selepas perlawanan itu kelmarin.
Kekalahan itu menyaksikan Kelantan kini turun ke tangga keempat Liga Super, namun masih berkongsi enam mata dengan tiga pasukan teratas iaitu Selangor, Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Selain itu, Darby turut menyifatkan ketiadaan pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan menjejaskan rentak permainan mereka.
Menurutnya, beliau mengharapkan pemain dari Mesir itu cepat pulih untuk diturunkan dalam perlawanan saingan Piala FA menentang Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, 4 Februari ini.
“Ketiadaan Shawky memang menjejaskan rentak permainan kami.
Dia pemain tengah berkualiti dan anda semua sudah lihat bagaimana dia beraksi.
“Kita akan ke Brunei esok (hari ini) sebagai persediaan saingan Piala FA.
Saya harap Shawky segera sembuh,” katanya.
www.hmetro.com.my

Kekalahan buka pekung

KOTA BHARU – Kekalahan kepada PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin membuka pekung kelemahan jentera Kelantan, terutama di bahagian tengah.
Malah pengendalinya, Steve Darby secara terbuka mengakui, ketiadaan pemain import Mohamed Shawky Aly dan tonggak tempatan Amar Rohidan akibat kecederaan merencatkan jentera tengah untuk melancarkan serangan.
Darby berkata, kehilangan perancangan itu memaksanya melakukan beberapa perubahan untuk pertemuan tersebut yang menyaksikan Kelantan tumpas di hadapan penyokong sendiri.
“Amat berbeza corak permainan kami tanpa Mohamed Shawky. Saya bukan sahaja kehilangan dia tetapi juga Amar Rohidan.
“Ini memaksa saya meletakkan Ahmad Fakri Saarani selaku pemain tengah dan dia tetap beraksi cemerlang biar pun bermain di luar posisi asalnya,” kata Darby.
Dalam perlawanan itu, The Red Warriors terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil tandukan Ahmad Fakri pada minit ke-30, sebelum PKNS membalas dengan dua gol menerusi kaptennya, Mohd. Fauzan Dzulkifli dan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor.
Darby berkata, dua gol dalam tempoh seminit yang dijaringkan oleh PKNS menafikan hasrat The Red Warriors untuk meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri.
Katanya, meskipun terlebih dahulu membuka jaringan, namun kesilapan yang dilakukan Kelantan berjaya diambil kesempatan oleh PKNS untuk meraih tiga mata menerusi dua gol pantas pada babak pertama.
Beliau bagaimanapun tidak mahu meletakkan kekalahan tersebut di atas bahu pemainnya selepas mereka memperagakan aksi bertenaga dengan mendominasi pada babak kedua perlawanan.
“Corak permainan PKNS begitu tersusun dan berdisiplin. Anda beritahu apa yang perlu saya buat.
“Saya ada dua penyerang (Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe) yang mempunyai banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol.
“Dua gol dalam tempoh satu minit itu betul-betul tidak masuk akal. Gol pertama PKNS berpunca daripada ‘set piece’, sesuatu yang saya tidak suka tetapi telah berlaku dalam perlawanan itu,” jelasnya.
Darby mahu barisan pemainnya menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran menjelang aksi seterusnya.
“Kami tewas kepada PKNS disebabkan kesalahan pemain sendiri. Saya mahu mereka belajar daripada kesilapan ini, mengapa dua gol itu terhasil sedangkan lawan hanya ada tiga peluang tetapi kita ada 21 percubaan ke pintu gol mereka.
“Sukar bagi kami menembusi pintu gol lawan apatah lagi ada sepuluh pemain mereka berkampung di situ,” ujarnya.
Tambahnya, pemain pertahanan dan penjaga gol pelawat harus diberikan pujian kerana mempamerkan aksi cemerlang untuk menafikan peluang Kelantan menambah gol.
www.utusan.com.my

Bukan salah Pahlawan Merah

KETUA jurulatih Kelantan, Steve Darby enggan menyalahkan barisan pemainnya ekoran kekalahan mengejut 1-2 kepada PKNS pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Menurut Darby, skuad The Red Warriors telah menampilkan rentak terpuji sepanjang perlawanan, namun akhirnya kecewa dengan kesilapan dalam tempoh seminit sehingga mengundang padah buat mereka.
“Corak permainan PKNS begitu tersusun dan berdisiplin. Anda (pihak media) beritahu apa yang perlu saya buat.
“Saya ada dua penyerang (Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe) yang mempunyai banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol dalam perlawanan ini.
“Dua gol (PKNS) dalam tempoh satu minit itu betul-betul tidak masuk akal. Gol pertama mereka berpunca daripada set piece, sesuatu yang saya tidak suka tetapi telah berlaku dalam perlawanan ini,” katanya kelmarin.
Kelantan terlebih dulu membuka membuka tirai jaringan hasil tandukan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30.
PKNS menyamakan kedudukan menerusi kapten, Mohd. Fauzan Dzulkifli pada minit ke-40 sebelum Mohd. Aminuddin Mohd. Noor menambah gol kedua pasukan pelawat seminit kemudian.
Darby memberitahu, beliau mahu barisan pemainya menjadikan kekalahan tersebut sebagai pengajaran menjelang aksi seterusnya.
“Kami tewas kepada PKNS disebabkan kesalahan pemain sendiri. Saya mahu semua pemain belajar daripada kesilapan ini.
“Mengapa dua gol itu terhasil sedangkan lawan hanya memperoleh tiga peluang tetapi kita ada 21 percubaan ke pintu gol mereka.
“Sukar bagi kami menembusi pintu gol lawan, apatah lagi ada 10 pemain mereka ‘berkampung’ di situ,” ujarnya.
Darby menambah, ketiadaan Mohamed Shawky yang diketepikan akibat kecederaan otot paha menjejaskan perancangan Kelantan sehingga memaksa beliau melakukan rombakan.
“Amat berbeza corak permainan kami tanpa Mohamed Shawky. Malam ini (kelmarin) saya bukan saja kehilangannya tetapi juga Nazri Ahmad dan Amar Rohidan.
“Ini memaksa saya meletakkan Fakri selaku pemain tengah dan dia tetap beraksi cemerlang biarpun bermain di luar posisi asalnya,” katanya.
www.kosmo.com.my

Wednesday, 29 January 2014

Rekod bersih Kelantan lebur

REKOD tanpa kalah Kelantan musim ini lebur ditangan Selangor PKNS selepas tumpas mengejut 1-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Pada perlawanan tersebut, The Red Warriors bermula hambar pada 20 minit pertama apabila setiap gerakan yang dilancarkan mudah dibaca pemain pasukan lawan.
Usaha tuan rumah untuk memburu jaringan awal akhirnya berhasil menerusi tandukan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-30 yang melepasi jangkauan penjaga gol pelawat Mohd. Ramezey Che Ros.
Seminit kemudian, tonggak import Kelantan Mohammed Ghaddar mempersiakan peluang untuk menambah jaringan selepas rembatannya melepasi palang gol biarpun ketika itu Ramezey sudah terkeluar daripada posisinya.
Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat kembali bangkit dengan meledakkan gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Mohd. Fauzan Dzulkifli untuk mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada minit ke-39.
Dua minit berselang, pelawat mengukuhkan cengkaman menerusi gol kedua mereka hasil jaringan Mohd. Aminuddin Mohd. Noor untuk menutup aksi babak pertama berpihak kepada PKNS.
Sebaik sahaja babak kedua bersambung, pelawat dilihat semakin garang menerusi rembatan kencang perancang tengah mereka Mohd. Nazmi Faiz Mansor yang berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-46.
Kelantan kembali memperkemaskan corak permainan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-52 dan 56, namun rembatan deras Francis Forkey Doe gagal menepati sasaran.
Minit ke-58, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria terlepas peluang meledak jaringan penyamaan apabila sepakannya melewati palang walaupun pintu gol sudahpun ternganga.
Tuan rumah terus kempunan untuk mendapatkan jaringan apabila peluang demi peluang yang dimiliki gagal diterjemahkan dengan baik oleh jentera serangan The Red Warriors diketuai oleh Forkey Doe.
Kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
www.kosmo.com.my

Red Warriors digigit Red Ants di laman sendiri

KOTA BHARU – The Red Warriors dimalukan di hadapan kira-kira 25,000 penyokong sendiri selepas tewas 1-2 kepada PKNS dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV, semalam.
Beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong setia, babak pertama perlawanan jelas dikuasai Kelantan yang garang melancarkan banyak gerakan berbahaya namun dipatahkan dengan mudah benteng pertahanan pelawat.
Serangan demi serangan pasukan tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-30 apabila Kapten Pasukan, Badhri Radzi melakukan hantaran pendek sebelum ditanduk masuk Ahmad Fakri Saraani.
Seminit kemudian, tonggak import Kelantan, Mohammed Ghaddar mempersiakan peluang untuk menambah jaringan selepas rembatannya sekadar melintasi gawang gol PKNS biarpun penjaga gol Mohd. Ramezey Che Ros sudahpun tertewas ketika itu.
Tersentak dengan jaringan awal tuan rumah, pelawat kembali bangkit dengan meledakkan gol penyamaan menerusi kapten pasukan, Mohd. Fauzan Dzulkifli untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-39.
Kerapuhan benteng pertahanan The Red Warriors semakin ketara apabila pasukan pelawat berjaya menambah jaringan dua minit kemudian menerusi lorongan mudah Mohd. Aminuddin Mohd. Noor yang hanya perlu berdepan Khairul Fahmi Che Mat sekali gus menutup aksi babak pertama berpihak kepada PKNS.
Sebaik sahaja babak kedua bersambung, pelawat dilihat semakin garang menerusi rembatan kencang perancang tengah mereka Mohd. Nazmi Faiz Mansor namun berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi pada minit ke-46.
Kelantan pula kembali menggandakan asakan dan berjaya memperoleh dua peluang terbaik untuk mendapatkan jaringan pada minit ke-52 dan 56, namun rembatan deras Francis Forkey Doe gagal menepati sasaran.
Minit ke-58, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pula terlepas peluang meledak jaringan penyamaan apabila sepakannya melewati palang walaupun pintu gol sudah pun ternganga.
www.utusan.com.my