Wednesday, 12 February 2014

Kelantan gagal dapat bekalan selesa

Kota Bharu: Juara bertahan, Kelantan terpaksa bergelut sebelum dapat menewaskan Selangor PKNS, 3-2, dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad Keempat, di sini, malam tadi.
Skuad The Red Warriors (TRW) yang turun dengan semangat mencipta kemenangan, membuka jaringan awal pada minit ketiga melalui sepakan percuma oleh ketua pasukan, Mohd Badri Radzi selepas penyerang kelahiran Lubnan, Mohammad Ghaddar dijatuhkan di luar petak penalti.
Dong Chen rapat kedudukan
Namun pelawat pantas menyamakan kedudukan pada minit ke 20 melalui penyerang berbisanya, Patrick Ronaldinho, hasil umpanan Primorac Korla yang berjaya melepasi pertahanan tuan rumah.
Permainan separuh masa pertama nampak seakan bakal berkesudahan dengan terikat 1-1, namun Tengku Hasbullah menceriakan penyokong Kelantan apabila berjaya merembat masuk bola gol kedua, selepas gagal ditampan kemas penjaga gol Selangor PKNS, Remezey Che Ros pada minit ke 42.
Shakir muncul wira
Apabila pemainan disambung semula, saingan kelihatan semakin rancak apabila pemain gantian, Ahmad Shakir Ali berjaya menyempurnakan hantaran Mohd Badri Radzi untuk gol ketiga penyandang juara itu pada minit ke 75.
Begitupun, kemasukan Kim Dong Chen bagi menggantikan Korla berjaya merapatkan jurang gol apabila berjaya menjaring gol kedua Selangor PKNS pada minit ke-82 untuk keputusan muktamad memihak kepada tuan rumah, 3-2.
www.bharian.com.my

Tuesday, 11 February 2014

KAFA: TRW kena bedah siasat

EKORAN prestasi hambar sepanjang tiga perlawanan Liga Super lalu, termasuk terbaharu tewas tipis 1-2 kepada Perak malam kelmarin, satu bedah siasat akan dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) terhadap pasukan mereka.
Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim mengesahkan bedah siasat tersebut akan dilakukan hari ini bagi mengenal pasti punca kelemahan pasukannya dan ia adalah salah satu proses biasa bagi memulihkan prestasi gergasi pantai timur itu.
Tindakan yang dilakukan pihak Kafa amat tepat, ketika Kelantan dilihat berdepan satu lagi tekanan untuk mengembalikan keyakinan penyokong mereka kerana bakal bertemu satu lagi pasukan yang kuat itu PKNS FC pada aksi suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
“Kekalahan kepada Perak merupakan satu keputusan yang amat mengecewakan buat Kelantan. Saya tidak menolak besar kemungkinan kita akan membuat perubahan bagi memastikan Kelantan kembali menunjukkan prestasi sebenar.
“Saya akui ada beberapa pemain yang diturunkan malam tadi (kelmarin) beraksi di bawah tahap keupayaan sebenar. Jelas, perkara ini dalam perhatian pihak pengurusan pasukan untuk mengatasinya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Pada perlawanan tersebut, The Bos Gaurus yang menampilkan barisan pemain muda memalukan skuad kendalian Steve Darby menerusi jaringan Ahmad Shukri Abd Hamid pada minit ke-12 dan Khairul Asyraf Shahizah (m-78) manakala gol sagu hati Kelantan hasil sentuhan Mohamed Shawky Aly (m-55).
Kekalahan kedua itu, selepas pertama kali kecundang 1-2 di tangan PKNS FC pada 28 Januari menyaksikan penyokong setia The Red Warriors (TRW) mula hilang keyakinan terhadap keupayaan jurulatih kelahiran England itu untuk terus membimbing Kelantan.
Azman yang merupakan Pengurus Kelantan turut memberitahu, biarpun bakal melakukan bedah siasat, namun beliau menegaskan pasukannya masih belum mahu menekan ‘butang panik’ disebalik persembahan kurang memuaskan barisan pemainnya.
“Tidak ada keperluan untuk berbuat demikian kerana perjalanan liga baharu sahaja memasuki perlawanan keempat dan adalah tidak adil untuk meletakkan semua kesalahan di atas bahu pengendali pasukan.
“Apa yang boleh saya beritahu, kita akan terus berusaha memperbaiki kelemahan yang menghantui pasukan ini dari semasa ke semasa. Mengenai percaturan taktikal, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut kerana itu adalah urusan ketua jurulatih,” katanya.
www.sinarharian.com.my

Monday, 10 February 2014

Kata dua untuk Darby

BAHANG tekanan semakin dirasakan Ketua Jurulatih Kelantan, Steve Darby setelah pasukannya tersungkur lagi, kali ini tewas 1-2 kepada Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Ipoh, malam kelmarin.
Terbaharu, Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Kota Bharu, tampil memberi kata dua kepada pengendali dari England itu sama mengubah percaturan taktikal atau melepaskan jawatan ‘kerusi panas’ yang disandang beliau ketika ini.
Presidennya, Mohd Zainy Mohd Zain berkata, penyokong setia gergasi pantai timur itu sudah hilang sabar dengan tindakan Darby menggunakan formasi 3-5-2 yang langsung tidak sesuai diaplikasikan terhadap pasukan Kelantan.
“Bukan kata sistem ini tidak lagi relevan pada masa sekarang, ia masih boleh digunakan tetapi bukan untuk Kelantan. Percaturan ini memenatkan semua pemain kerana terbukti Kelantan tidak mampu menangkis serangan balas pantas yang dilakukan pasukan lawan.
“Darby harus sedar, Kelantan tidak mempunyai pemain sayap yang mempunyai stamina tinggi dan mampu berlari sepanjang masa untuk turun ke bawah membantu benteng pertahanan setiap kali pasukan ini diasak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohd Zainy turut menganggap tindakan Darby yang menyalahkan permukaan tidak rata padang Stadium Sultan Muhammad IV sebagai satu alasan untuk menutup kepincangannya menerapkan gaya permainan menarik pasukannya.
“Dahulu pun Bojan Hodak dan B Satiananthan (kedua-dua bekas jurulatih Kelantan) pernah menyuarakan masalah sama tetapi Kelantan masih mampu menunjukkan persembahan yang baik menerusi corak permainan hantaran pendek,” katanya.
Menurutnya, juara bertahan Piala FA itu akan terus dihukum selagi terus menggunakan sistem berkenaan kerana corak permainan hantaran jauh yang diterapkan Darby jelas memerangkap diri sendiri.
“Daripada empat perlawanan Liga Super dan satu aksi Piala FA yang diharungi setakat ini, Kelantan hanya mencatatkan tiga kemenangan dan itu pun bersandarkan faktor nasib semata-mata. Peminat boleh menerima kekalahan asalkan corak permainan pasukan ini tidak buruk seperti sekarang,” katanya.
Tambahnya, sekiranya jurulatih berusia 59 tahun itu terus ‘berdegil’ dengan perancangannya, beliau percaya penyokong setia TRW akan menjauhkan diri daripada memenuhi stadium keramat mereka sedikit masa lagi.
“Kita tidak boleh menyalahkan penyokong jika mereka tidak mahu datang ke stadium. Mereka membayar tiket dengan harga yang mahal tetapi disajikan dengan mutu persembahan amat mengecewakan,” katanya.
www.sinarharian.com.my

TRW buat TSAM resah gelisah

PRESTASI hambar berterusan skuad The Red Warriors (TRW) memaksa penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turun padang untuk bertemu pemain selepas pasukan itu tewas 2-1 kepada Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Perak semalam.
Annuar menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, prestasi hambar TRW membimbangkan malah mengakui terpaksa membatalkan kehadirannya dalam satu program seminar di Institut Sukan Negara (ISN) bagi meluangkan masa untuk berjumpa dengan pemain gergasi pantai timur itu.
Katanya, prestasi hambar yang dipamerkan TRW tidak boleh dibiarkan malah membayangkan sesuatu perlu dilakukan bagi mengembalikan kemampuan sebenar pasukan itu.
“Tidak berapa senang mengenangkan prestasi TRW. Terpaksa batal satu program seminar di Institut Sukan Negara Selasa ini dan kena jumpa anak buah nampaknya. Tak tergamak nak tengok saja,” katanya.
Bagaimanapun Annuar menegaskan tindakan untuk berjumpa dengan pemain TRW itu bukan bermaksud untuk melanggar hukuman penggantungannya malah lebih kepada memberi sokongan moral untuk membaiki prestasi pasukan.
Kekalahan itu menyaksikan TRW diaibkan kali kedua selepas tewas dengan jaringan sama kepada PKNS FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV 29 Januari lalu, sekaligus meresahkan penyokong skuad ‘Pahlawan Merah’.
Sementara itu, penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dalam satu kenyataan menerusi laman Twitter, mengakui kekalahan TRW kepada Perak semalam berpunca daripada kesilapannya lantas memohon maaf kepada peminat.
“Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Kelantan di atas kekalahan tadi (semalam). Kesilapan berpunca daripada saya dan saya bertanggungjawab di atas kekalahan tadi. Maaf sekali lagi,” katanya.
www.sports247.my

Video: Liga Super 2014 Perak lwn Kelantan