Tuesday, 10 May 2011

Karathu: Negeri Sembilan Ada Kelebihan

Berbekalkan rekod tanpa kalah, peneraju Liga Super, The Red Warriors akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini bertemu Negeri Sembilan.

Bertandang ke gelanggang lawan bukanlah satu tugas yang mudah buat barisan bimbingan Datuk M. Karathu untuk menjinakkan tuan rumah biarkan dimalukan Sabah 0-2 sebelum ini.

Selain berusaha mendapatkan tiga mata, The Red Warriors pastinya mahu meneruskan rentak kemenangan dalam usaha mengukuhkan cengkaman di puncak liga.

Karathu mengakui pertembungan dengan Negeri Sembilan bukan sesuatu yang mudah.
"Bermain di tempat lawan, kita kena pamer satu semangat yang tinggi, mereka pasti akan turun bermati-matian selepas kecundang dengan Sabah tempoh hari. Menewaskan Kelantan adalah impian setiap pasukan, jadi kita tidak boleh ambil mudah dalam perlawanan malam esok (hari ini).

"Apa yang penting, kita kena kekalkan momentum kemenangan, menang di tempat lawan adalah satu motivasi yang baik buat Kelantan. Beraksi di tempat lawan kita baru menang sekali, itupun ketika menewaskan Johor FC, saya harap kita boleh menang. Menang dengan Negeri Sembilan adalah tonik baik buat kita sebelum bertemu Selangor dalam Piala FA," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
.
Sumber Utusan Malaysia Online

Menjelang Pertemuan Negeri Sembilan dan Kelantan

KELANTAN harus mengutip mata penuh apabila menentang Negeri Sembilan di Paroi, malam ini andai berpandu kepada hakikat betapa perit cabaran tuan rumah yang bakal turun tanpa lapan pemain tonggak dalam saingan Liga Super. Ketika Red Warriors mengejar mata untuk mengekalkan status pendahulu segala-galanya tampak memihak pasukan dari pantai Timur itu yang berada pada tahap terbaik dan Negeri Sembilan pimpinan Azraai Khor Abdullah perlu menggandakan usaha menyekat gempuran pelawat yang harus mengganas malam nanti.

Apapun, ketua jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menganggap pertembungan dengan skuad Rusa di Stadium Tuanku Abdul Rahman bukan satu halangan mudah bagi mereka.

Sambil mengharapkan kerja keras anak buahnya, pengendali yang membantu Kelantan menjuarai Piala Sumbangsih, awal musim ini tidak memandang mudah keupayaan tuan rumah. “Walaupun aksi Negeri Sembilan tidak begitu konsisten tetapi mereka ada ramai pemain berpengalaman dan kebolehan mereka tidak boleh dipandang mudah. “Saya tetap menjangkakan saingan sengit dari lawan nanti, apa lagi beraksi di halaman sendiri,” katanya, semalam. Azraai jelas gelisah apabila menyuarakan pemain dalam senarai kecederaan itu termasuk penyerang, Hairuddin Omar, Ahmad Fakhri Saarani, Mohd Firdaus Azizul dan pemain tengah, G Mahathevan.
Tanpa banyak pilihan dia terpaksa bergantung kepada beberapa pemain senior, antaranya Mohd Shukor Adan, Shahurain Abu Samah, S Kunalan, Qairul Anwar Roslani dan Irwan Fadli Idrus. “Saya juga akan menurunkan beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden dalam usaha menguatkan lagi kekuatan jentera pasukan kerana kita menyedari tanggungjawab berat bakal dihadapi berikutan reputasi Kelantan yang membariskan ramai berwibawa,” katanya.



Monday, 9 May 2011

Kijang Bertemu Rusa Lagi

Rekod Pertemuan Sebelum Ini:


Liga Super
Kelantan mln Negeri Sembilan

2011
01/03 - Kelantan 3-0 Negeri Sembilan
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

2010
17/04 - Negeri Sembilan 1-3 Kelantan
Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.

06/07 - Kelantan 1-0 Negeri Sembilan
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

2009
31/03 - Kelantan 1-2 Negeri Sembilan
Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu.

02/05 - Negeri Sembilan 2-0 Kelantan
Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi.

Video Kelantan Lwn Kedah

Wednesday, 4 May 2011

Ulasan Perlawanan: Johor FC Vs Kelantan

Kelantan meneruskan penguasaan di tangga teratas Liga Super apabila membenam cabaran Johor FC 1-0 di Stadium J'Corp, Pasir Gudang, malam tadi.

Dengan kemenangan ini, The Red Warriors mendahului carta teratas liga dengan pungutan 36 mata, sama mata dengan Selangor tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan.

Di Pasir Gudang, taktikal Datuk M. Karathu menggunakan formasi 4-5-1 hampir mengundang padah apabila tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai perlawanan sehingga memaksa pemain Sang Kijang banyak bertahan dengan serangan demi serangan.

Kehebatan Khairul Fahmi turut teruji dengan beberapa cubaan bahaya penyerang Johor FC didepan pintu gol.

Walaupun menerima serangan hebat Sang Lebah, tandukan cantik Mohd Badri Radzi hasil sepakan sudut Danial Fadly Abdullah pada minit ke-45 memisahkan kedua-dua pasukan pada babak pertama.

Sebaik bersambung babak kedua, Johor FC mengandakan asakan untuk mencari gol penyamaan tetapi tetap gagal menembusi gawang Sang Kijang.

Pemain Kelantan juga gagal mengambil kesempatan melalui serangan balas walaupun pasukan tuan rumah dilihat mengatur beberapa gerakan.

Perlawanan terhenti seketika ekoran tindakan penyokong Kelantan melontar objek kedalam padang selepas tidak berpuas hati dengan keputusan penjaga garisan.

Selepas berhempas pulas, perlawanan akhirnya ditamatkan dengan Kelantan berjaya memungut tiga lagi mata untuk terus memegang tampuk teratas Liga Super.

Selepas ini, Kelantan akan menanti kunjungan Kedah di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu manakala Johor FC akan bertandang ke Shah Alam menentang Selangor.