Friday, 20 May 2011

Kelantan Merampas Takhta Liga Super

Kekalahan Selangor kepada T-Team memberi ruang kepada The Red Warriors untuk merampas kembali takhta Liga Super dengan berkelebihan 1 mata iaitu 43 mata mengatasi Selangor dengan 42 mata.

Kemenangan 3-1 ke atas Felda United malam tadi amat bermakna bagi skuad M Karathu dan baki 6 perlawanan perlu dimanafaatkan oleh pasukannya. Apa yang pasti perlawanan akan datang, Kelantan tidak boleh tercicir sebarang mata dan memastikan 3 mata penuh untuk setiap perlawanan.

"Kami menganggap setiap perlawanan adalah perlawawanan akhir" kata Datuk M Karathu.

Pada perlawanan malam tadi, dalam keadaan padang basah, memberikan sedikit kesukaran kepada pasukan Wira Merah ini apabila banyak hantaran-hantaran pendek tidak tepat. Felda United hampir menghukum Kelantan pada minit ke-8 apabila sepakan penalti diberikan oleh pengadil yang melihat bola dipegang oleh Farisham di dalam kotak penalti. Bagaimanapun ia gagal disempurnakan oleh Azrul Ahmad.

Kegagalan Felda itu pantas diambil peluang oleh pemain-pemain Kelantan apabila merencanakan beberapa siri serangan dalam keadaan padang yang kurang baik, dan hasilnya pada minit ke-34 kapten pasukan Badri Radzi menanduk masuk bola hantaran Daudsu Jamaludin. Gol itu menceriakan hampir 1 000 penyokong setia Kelantan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Memasuki babak kedua, Kelantan membuat serangan awal dan dihadiahkan jaringan sendiri oleh Rashid Mahmud apabila tertampan bola ke gawang sendiri hasil lintangan Nurul Azwan Roya. 

Felda cuba mengatur gerakan apabila menyedari Kelantan sudah mengendurkan sedikit permainan. Mohd Nizaruddin berjaya menghasilkan gol tetapi jaringannya dibatalkan kerana didapati ofsaid. Keputusan tersebut begitu mengecewakan kem Felda United.

Serangan yang dilakukan oleh Felda akhirnya membuahkan hasil apabila Hasmarul berjaya menanduk masuk bola ke gawang Kelantan pada minit ke-84. 

Sedar dengan kebangkitan pasukan lawan, jentera serangan Kelantan membuat serangan balas dan sepakan penalti diberikan oleh pengadil apabila Nurul Azwan Roya dijatuhkan oleh Hasmarul pada minit-minit akhir perlawanan. Sepakan disempurnakan oleh Norshahrul Idlan Talaha.

Momentum kemenangan ini diharap dapat diteruskan apabila bertemu Harimau Muda A pada 22 Mei nanti di Shah Alam.

Berikut gol-gol yang dijaringkan malam tadi:

Gol pertama Kelantan.

Gol kedua Kelantan.

Gol tunggal Felda United.

Gol ketiga Kelantan.

Thursday, 19 May 2011

Ramzul Mahu Tebus Kegagalan Ketika Menentang Selangor

Penyerang muda Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini Adenan mahu menebus kegagalan memanfaatkan beberapa peluang gol ketika menentang Selangor pada separuh akhir kedua Piala FA di sini, kelmarin.

Ramzul terkilan kerana gagal mengulangi persembahan terbaiknya ketika membantu Kelantan membenam Selangor 5-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA Jumaat lalu.

“Saya memohon maaf kepada penyokong Kelantan kerana gagal memanfaatkan beberapa peluang gol pada perlawanan tersebut.

“Jika peminat berasa kecewa, saya lebih kecewa kerana mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, kegagalan saya itu memberi kesan kepada pasukan secara keseluruhan.

“Saya masih baru dan banyak lagi yang perlu dipelajari, saya kena terus fokus dan memperbaiki segala kelemahan,” ujarnya.

Menurutnya, untuk perlawanan dengan Felda United hari ini, dia telah bersedia sepenuhnya jika diturunkan.

“Saya akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan itu dan cuba hasilkan gol ataupun membuka ruang kepada rakan-rakan sepasukan,” katanya.

Kata Ramzul, perlawanan hari ini merupakan peluang terbaik untuk dia mendapatkan semula kepercayaan selepas mempamerkan aksi kurang menyakinkan.

-Sumber: Utusan Online-

Karatu Mahu Pemain Fokus Liga Super

"LUPAKAN seketika saingan Piala FA, sebaliknya berikan tumpuan penuh dalam Liga Super jika mahu terus mencabar kejuaraan musim ini."
Itu pesanan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan dengan Felda United di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur malam ini.
Menurutnya, meskipun masih ada baki tujuh lagi perlawanan untuk diharungi, beliau tetap melaungkan keyakinan pasukannya mampu menjadi juara sekiranya berjaya mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan yang bakal dilalui selepas ini.
"Walaupun dibezakan dengan dua mata dengan pendahulu liga, Selangor, saya tetap tidak akan mengalah dan kita akan terus memberikan tentangan sengit.
"Untuk itu kita perlu fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui dan kita tidak boleh terus keciciran mata dalam perlawanan selepas ini kerana Terengganu sentisa menunggu peluang untuk memintas kita," katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.
Mengulas mengenai perlawanan menentang Felda United malam ini, Karathu tidak mahu terlalu yakin meskipun mereka pernah membenam Felda 6-0 pada perlawanan pusingan pertama lalu.
Beliau sudah mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak mengambil mudah perlawanan ini.
"Saya yakin Felda United akan turun bermati-matian dalam perlawanan malam esok (malam ini), lagipun semua pemain mereka sudah mendapat rehat yang cukup sebelum menentang kami.
"Jadi saya ingatkan kepada semua pemain saya agar berhati-hati dan tugas penting mendapatkan tiga mata dalam perlawanan ini perlu direalisasikan sebaik mungkin," katanya.
Tambahnya, ini merupakan perlawanan pertama buat pasukannya selepas mengharungi perlawanan berprofil tinggi ketika bertemu Selangor, Selasa lalu.
"Oleh itu saya harap pemain dapat memberikan aksi yang terbaik dalam perlawanan ini dan jangan terlalu dibuai dengan kejayaan menyingkirkan Selangor dalam saingan Piala FA sebaliknya fokus dalam saingan Liga Super" ujarnya.
-Sumber: Kosmo Online-

Stadium Nasional Jadi Medan Akhir Piala FA 2011

Perlawanan akhir Piala FA yang mempertemukan dua gergasi bola sepak Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun 2011.

Perkara ini telah disahkan oleh Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa semalam. Perkara ini menolak khabar angin yang mengatakan perlawanan akhir akan berlangsung di stadium berkecuali di Pantai Timur.

Pada awalnya, Stadium Shah Alam bakal menjadi venue pertandingan, tetapi memikirkan kebanjiran penonton yang bakal hadir oleh kedua-dua pasukan perlu diambil kira kerana kapasiti Stadium Nasional lebih besar berbanding Stadium Shah Alam.

Sememangnya penyokong-penyokong kedua-dua pasukan akan memenuhi setiap ruang yang telah ditetapkan. Di harap kedua-dua penyokong dapat menonton perlawanan yang hebat dalam suasana yang harmoni. Kelantan dan Terengganu bersaudara.


Stadium Red Warriors Akan Dibina

Saya ingin membuat pengumuman pada hari ini satu berita gembira buat rakyat Kelantan khususnya peminat-peminat sukan tanahair di mana Kerajaan Kelantan telah bersetuju untuk membina sebuah kompleks sukan bersekali dengan Bandar baru untuk kegunaan aktiviti sukan di negeri ini. Kompleks tersebut yang antaranya akan menempatkan sebuah stadium utama dengan kapasiti 40,000 tempat duduk bertempat di atas tanah milik kerajaan di Bukit Merbau, Pasir Puteh.
Kerajaan berhasrat agar stadium yang akan dibina ini turut memuatkan ruang masjid di merata-rata bahagian yang akan membolehkan penonton-penonton solat berjemaah dengan mudah di dalam stadium. Ini bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri yang mahukan aktiviti sukan di negeri ini tidak berpisah dari roh Membangun Bersama Islam yang menjadi dasar pentadbiran kerajaan negeri. Bagaimanapun rekabentuk secara terperinci terpulang kepada arkitek yang akan diberikan tanggungjawab ini nanti.
Cadangan pembangunan stadium dan kompleks sukan ini terbuka kepada mana-mana pemaju menghantarkan cadangan atas dasar BOT iaitu bina, operasi dan pindah.
Saya berharap dengan pembinaan kompleks sukan ini nanti, aktiviti sukan di negeri ini dapat berdaya maju dengan lebih baik ke arah membentuk masyarakat yang sihat jasmani dan rohani insya-Allah.
Sekian.

YAB TUAN GURU DATO BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 14 Jamadil Akhir 1432H / 18 Mei 2011M