Friday, 25 January 2013

Prestasi hambar Red Warriors, Kafa ambil tindakan drastik


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka mengambil tindakan drastik ekoran prestasi hambar The Red Warriors yang hanya mampu meraih enam mata daripada lima perlawanan pada saingan Liga Super musim ini.

Tanpa mendedahkan langkah tersebut, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu bedah siasat sedang dilakukan bagi mengenal pasti kemerosotan mendadak Kelantan sebelum saingan Liga Super bersambung pertengahan Februari depan.

“Terpaksalah berusaha dengan apa yang ada bagi menghadapi musim yang mencabar ini. Kita perlu lakukan sesuatu (memperbaiki prestasi pasukan) meski pun kita tahu ia begitu sukar,” katanya dipetik daripada laman sosial Facebooknya, semalam.

“Insya ALLAH, kita harap jurulatih (Bojan Hodak) dapat menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan ketika saingan liga berhenti berehat. Sebenarnya bukan mudah, kerana kita terpaksa tunggu setahun untuk mendapatkan pengganti baharu (kehilangan tonggak utama musim lalu).

Tempoh rehat selama tiga minggu perlu digunakan sebaiknya oleh pengendali dari Croatia itu bagi memperbaiki kelemahan pasukan terutama ketumpulan jentera serangannya yang hanya mampu menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan lalu.

Juara bertahan Liga Super musim lalu kini menghuni di tangga ketujuh setelah hanya mampu meraih enam mata hasil satu kemenangan, tiga seri dan kalah sekali dan dibezakan enam mata dengan pendahulu liga yang diterajui Pahang ketika ini.

Kelantan dan Sime Darby FC bagaimana pun tidak terlibat dalam perlawanan pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA yang bermula hari ini. Kedua-dua pasukan itu mendapat bye setelah muncul juara dan naib juara pada pentas akhir musim lalu.

Dalam perkembangan sama, Annuar berkata, semua pemain Kelantan diberi cuti rehat selama tiga hari setelah mengalami keletihan ekoran berdepan jadual perlawanan yang padat sejak tiga minggu lalu.

“Mohd Norfarhan (Muhammad), Mohd Faiz (Subri), Keita Mandjou, Muhammad Izuan (Salahuddin) antara pemain yang cedera. Saya harap mereka dapat pulih sepenuhnya dalam tempoh rehat ini,” katanya.

Saturday, 19 January 2013

Hanya satu mata di Kelana Jaya

Kelana Jaya, 18 Jan – Ketumpulan jentera serangan sekali lagi menyaksikan The Red Warriors terpaksa berpuas hati seri tanpa jaringan bertemu Felda United dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya petang tadi.
Kecuali percubaan pemain gantian, Izuan Salahudin pada minit ke-71 yang hampir memberi gol buat Kelantan, keseluruhan perlawanan memperlihatkan kelemahan ketara Kelantan di posisi serangan.

Bermula wisel pertama, Kelantan terus melakukan asakan pertama menerusi percubaan leret Indra Putra Mahayuddin terus ke dakapan penjaga gol Felda United, Helmi Eliza pada minit ke-4 sebelum Felda membalas serangan menerusi hantaran pemain sayap, Akmal Noor lima minit berselang.

Indra Putra sekali lagi berpeluang menjaringkan gol selepas menerima hantaran Norfarhan Muhammad namun percubaan minit ke-15 itu berjaya dikekang pertahanan lawan. Lima minit berselang, pasukan tuan rumah melakukan serangan balas menerusi bekas penyerang import Kelantan, Muhammad Ghaddar yang melakukan rembatan kencang namun tidak menepati sasaran.

Felda United terus mengasak pasukan pelawat menerusi dua percubaan masing-masing dari Nizam Bakar dan Akmal Noor namun gagal menepati sasaran.

Bermula babak kedua perlawanan, Felda United pantas mengasak kubu Kelantan sekali lagi menerusi Muhammad Ghaddar yang hampir menguis bola masuk ke gawang Kelantan pada minit ke-46. Gerakan itu berpunca dari hantaran lintang Fauzi Saari yang dikuis Ghaddar namun sedikit tersasar di kanan pintu gol Kelantan.

Pada minit ke-58, Kelantan terus kecewa apabila jaringan penyerang, Haris Safwan Kamal dibatalkan pengadil selepas Zamri Ramli terlebih dahulu terperangkap dalam kedudukan offside.

Sepuluh minit berselang, pemain gantian, Khairul Izuan Rosli melakukan rembatan luar kotak penalti namun percubaan itu terus ke dakapan Helmi Heliza. Selepas itu, Felda United melakukan serangan balas menerusi Muhammad Ghaddar namun rembatan penyerang itu sekali lagi tersasar.

Izuan Salahuddin yang masuk menggantikan Zamri Ramli berpeluang untuk menjaringkan gol kemenangan Kelantan namun kecemerlangan penjaga gol Felda, Helmi Eliza sakali lagi mengecewakan jentera serangan Kelantan.

Pada masa kecederaan, berpunca dari sepakan percuma Piya, lambunngan Obinna Nwaneri ke pintu gol Felda berjaya diselamatkan pertahanan tuan rumah sekaligus menyaksikan Felda United berjaya mengikat Kelantan di laman sendiri.

Wednesday, 16 January 2013

Sama hebat.

Foto Kredit: Kosmo online
Kota Bharu, 15 Jan - Perlawanan tumpuan antara juara Treble, Kelantan dan barisan “bintang” dari selatan tanah air, Darul Takizm FC berakhir dengan keputusan seri 1-1 pada aksi Liga Super yang berlangsung di  Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Bermula babak pertama, kedua pasukan mempamirkan corak permainan pantas dan saling berbalas serangan. Darul Takzim FC, terlebih dahulu menguji gawang Kelantan menerusi sepakan akrobatik penyerang negara, Safee Sali namun Khairul Fahmi cemerlang menafikan percubaan tersebut.

Norfarhan Muhammad menceriakan hampir 25,000 penyokong yang hadir apabila merembat kencang merobek gawang Darul Takzim FC pada minit ke-37. Gol berpunca dari larian solo Norfarhan yang akhirnya disudahkan menerusi rembatan kaki kanan yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Zamir Selamat.

Kelantan kemudian menggandakan asakan menerusi gandingan Norfarhan dan Indra Putra namun gagal menambah jaringan.

Pada minit ke-61, ketua pasukan, Piya nyaris menggandakan jaringan namun rembata kencang beliau hanya mampu singgah di palang gol tatkala Zamir sudah tertewas.

Darul Takzim FC akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain import dari Sepanyol, Daniel Guiza menerusi sepakan percuma pada minit ke-63. Gol itu sekaligus merancakkan lagi perlawanan namun kedua-dua pasukan buntu untuk mencari gol kemenangan.

KESEBELASAN UTAMA:

KELANTAN: Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Shakir Shaari, Norfarhan, Zamri Ramli, Daudsu Jamaluddin, Badhri Radzi(KP), Khairul Fahmi(PG), Keita Mandjou, Indra Putra dan Zairul Fitree.

DARUL TAKZIM FC: Aidil Zafuan, Safiq Rahim, Norshahrul Idlan, Safee Sali, Azmi Muslim, Nurul Azwan Roya, Ezrie Shafizie, Zamir Selamat(PG), Faizal Mansor, Muslim Ahmad dan Simone Del Nero.

Monday, 14 January 2013

TRW sudah sedia

Foto Kredit: ganusoccer.net

Kota Bharu, 14 Jan - Pemain pertahanan kanan dan kiri Kelantan, Daudsu Jamaluddin serta Zairul Fitree berazam untuk merantai pergerakan bekas rakan sepasukan, Norshahrul Idlan Talaha dalam pertemuan Liga Super menentang Darul Takzim FC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.
Zairul Fitree atau lebih dikenali dengan panggilan Roypy menyatakan beliau sudah cukup masak dengan corak permainan bekas rakan sepasukannya itu. Tiga tahun beraksi bersama dalam pasukan Kelantan sebelum ini, tidak sukar untuk Roypy membaca pergerakan Mat Yo.
"Malam esok, kita satu pasukan akan bermain lebih dari 100%. Saya rasa kita tahu cara Norshahrul bermain. Itu menjadi kelebihan kita untuk mengekang beliau. Saya sudah dua tiga tahun beraksi bersama beliau. Ada cara untuk menyekat Mat Yo. Jadi kita punya sedikit kelebihan disitu. Saya harap semua pemain memberi komitmen penuh untuk mendapatkan tiga malam esok", kata Zairul Fitree selepas sesi latihan petang tadi.
Namun, nada berbeza diluahkan Daudsu. Walaupun dia sudah bersiap sedia untuk menghadapi Mat Yo serta tahu kelemahan pemain itu, Daudsu mengingatkan rakan sepasukan untuk turut berhati-hati apabila berdepan dengan Mat Yo. Bagi Daudsu, walaupun mengetahui kelemahan Mat Yo, harus diingat Mat Yo juga turut mengetahui kelemahan pasukan Kelantan.
"Kita tahu kelemahan Mat Yo, Mat Yo juga tahu kelemahan kita. Kita tahu cara Mat Yo bermain, dia juga tahu cara kita bermain. Jadi peluang sama rata. Kita juga perlu berhati-hati. Apa yang pasti, kami semua pemain akan bermain bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan menjadi milik kita", ujar Daudsu Daudsu.
Pertemuan antara Kelantan dan Darul Takzim FC malam esok menjadi tumpuan selepas beberapa isu kontroversi tercetus antara dua pasukan ini. Antaranya ialah "perpindahan" kontoversi Norshahrul Idlan Talaha ke Darul Takzim FC yang tidak mendapat restu dari Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA). Selain dari Norshahrul, Nurul Azwan Roya juga kini menyarung jersi Darul Takzim FC.