Thursday, 28 March 2013

Kelantan harap aura kemenangan berterusan di Paroi

KOTA BHARU, 28 Mac - Dua kemenangan berturut-turut dari dua saingan yang berlainan, Piala AFC dan Piala FA, menjadi bekal Kelantan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk pertemuan terakhir pusingan pertama Liga Super pada 29 Mac nanti, menentang pasukan ATM.
Dalam pertemuan peringkat kumpulan Piala AFC di Yangon, Kelantan berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Ayeyawady Untied FC 3-1, sebelum meneruskan perjuangan di peringkat kalah mati Piala FA di Kota Bharu, menundukkan pasukan pelawat PKNS FC dengan jaringan 4-2.
Kelantan yang berada dalam kondisi terbaik untuk meneruskan rentak kemenangan apabila semua pemain utama dapat diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan malam esok. Pemain-pemain yang menyertai pasukan kebangsaan sebelum ini, Piya, Shakir, Apex dan Nik Shahrul Azim, telah kembali bersama pasukan. Indra Putra, Farhan, Faiz Subri dan Keita Mandjou akan manggalas tugas menggempur pertahanan pasukan ATM yang sedikit pincang apabila 4 pemain utama mereka tidak dapat beraksi malam esok.
Walau bagaimanapun, Ketua Jurulatih Kelantan berkata, The Red Warrrios harus berwaspada kerana pemain-pemain gantian yang bakal diturunkan oleh ATM akan mengambil peluang ini untuk menunjukkan aksi terbaik mereka.
Kelantan akan bertemu ATM di Seremban jam 8.45 malam esok, sebelum kembali ke Kota Bharu untuk persediaan perlawanan AFC yang seterusnya menentang wakil dari Vietnam, SHB Da Nang FC pada 2 April nanti.

Faiz dapat suntikan semangat

PENYERANG Kelantan, Mohd. Faiz Subri bertekad untuk mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan selepas ini.
Mohd. Faiz mula mencuri tumpuan selepas dia meledakkan gol pertama Kelantan ketika menewaskan PKNS 4-2 pada aksi pusingan kedua Piala FA Isnin lalu.
Pada perlawanan tersebut, Mohd. Faiz yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter, sekali gus gagal diselamatkan oleh penjaga gol PKNS, Mohd. Ramezy Che Ros.
Ia adalah jaringan sulung pemain yang mewakili Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Mohd. Faiz mengakui jaringan itu menyuntik semangatnya untuk terus meledakkan lebih banyak jaringan, sekali gus membantu Kelantan meraih kejuaraan musim ini.
“Ini merupakan gol pertama saya pada kempen Piala FA. Pada saingan Liga Super, saya masih belum berpeluang untuk menghasilkan jaringan.
“Saya berikrar untuk menjaringkan lebih banyak gol pada aksi liga selepas ini.
“Selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan melonjakkan lagi semangat saya untuk memberikan aksi terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Faiz berkata, dia terus bertekad untuk meraih kepercayaan ketua jurulatih, Bojan Hodak bagi disenaraikan dalam kesebelasan pasukan itu.
Anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu antara penjaring terbanyak T-Team musim lalu dengan meledakkan sebelas gol sepanjang 36 penampilan bersama pasukan tersebut.
Mengulas mengenai pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super, Jumaat ini, Mohd. Faiz berkata, dia yakin Kelantan mampu meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.

Wednesday, 6 March 2013

Petratos buru jaringan sulung

Kota Bharu: Penyerang import Kelantan Dimitri Petratos tekad memburu jaringan berdepan Maziya Sports & Recreation (Maziya SRC) dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Penggempur berusia 20 tahun itu yang sebelum ini diketepikan dalam saingan Liga M kerana memberi laluan kepada penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou akhirnya turun untuk aksi pertamanya.

Petratos berkata, selepas hanya beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan dan menjalani latihan bersama kelab Blackburn Rovers di England tiga minggu lalu, bintang dari Sydney FC itu sudah bersedia membantu The Red Warriors (TRW) dalam saingan AFC.

Katanya, walaupun sebelum ini kecewa tidak dapat beraksi dalam Liga M namun ia tidak mematahkan semangatnya kekal bersama Kelantan selepas mengikat kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Saya mendapat keyakinan selepas menjalani latihan di England dan kini sedia membantu Kelantan. Untuk perlawanan pertama saya akan cuba mencipta jaringan,” tegasnya.

Sementara itu, jurulatih Bojan Hodak berkata, pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abd Halim dan Shakir Shaari sudah pulih daripada kecederan.

Kehadiran dua pemain berkenaan memberi ruang kepadanya membuat pilihan pemain selain dibantu empat awang import.

“Mereka akan bermain malam esok (malam ini) dan saya perlu membentuk kesebelasan terbaik. Untuk AFC kita ada Lek Kcira dan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan malah Petratos dan Dicson Nwakaeme akan mengetuai jentera serangan,” katanya.

Tuesday, 5 March 2013

Piala AFC 2013: Kelantan pertaruh penggempur Nigeria

KOTA BHARU – Penggempur import baharu The Red Warriors, Dickson Nwakaeme mahu menjadikan penampilan pertamanya pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membantu Kelantan menewaskan wakil Maldives, Maziya Sports and Recreation Club di sini, esok.

Bekas penyerang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An FC itu sebelum ini terlepas untuk beraksi dalam saingan AFC musim lalu bersama pasukan berkenaan.
Nwakaeme berkata, dia sudah bersedia dan berikrar memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut serta membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih dan pihak pengurusan terhadap dirinya.
Menurutnya, sepanjang tiga minggu berada di negeri ini dia mengakui semakin serasi dengan persekitaran cuaca serta corak latihan di bawah kendalian Bojan Hodak.
“Ini merupakan penampilan pertama saya dalam saingan AFC. Saya selesa menjalani latihan bersama pasukan dan semuanya memberikan kerjasama yang terbaik.
“Dalam perlawanan ini saya tidak meletakan sasaran peribadi, apa yang penting ialah membantu pasukan meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Sepanjang beraksi bersama Song Lam, pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu berjaya menjaringkan sepuluh gol sepanjang 13 penampilan dengan pasukan berkenaan.
Selain Nwakaeme, Kelantan turut diperkuatkan dengan tiga lagi pemain import dalam saingan Piala AFC iaitu Obinna Nwaneri dan Lek Kecira di posisi pertahanan serta Dimitrios Petrators untuk jentera serangan.
Nwakaeme memberitahu, prestasinya kini berada pada tahap terbaik selepas beraksi bersama The Red Warriors dalam dua aksi persahabatan menentang Semen Padang (Indonesia) dan Felda United baru-baru ini.
“Ketika beraksi dengan Semen Padang dan Felda United saya kepenatan kerana baru sampai ke negara ini selepas mengharungi penerbangan jauh dari Nigeria.
“Untuk penampilan pertama ini saya telah bersedia sepenuhnya dan bertekad mempamerkan persembahan terbaik dalam perlawanan ini,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Nwakaeme berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk membentuk gandingan mantap bersama Petrators pada perlawanan tersebut.
“Saya tak ada masalah dengan Petrators meskipun dia baharu sahaja kembali menyertai pasukan setelah tiga minggu berada di Blackburn Rovers.
“Saya tidak perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainannya,” katanya.
Sumber: kelate.net

Piala AFC 2013 : Skuad impian TRW bakal pamer taring sebenar?

Piala AFC untuk tahun ini cukup berbeza berbanding dengan penampilan pertama Kelantan kerana KAFA dilihat lebih 'bersedia' kerana mempunyai pemain-pemain import yang lebih berkualiti.

Walaupun kedudukan TRW dalam saingan Liga Super dilihat masih 'terumbang-ambing' dek kerana 'kesilapan kecil' dalam menyenaraikan pemain import namun pemain import pilihan Bojan iaitu Keita Mandjou sudah menampilkan taring sebenar beliau sedikit demi sedikit dan telah beberapa kali menyelamatkan pasukan dari menerima kekalahan.

Namun penyokong-penyokong TRW tetap menyuarakan rasa tidak puashati terhadap prestasi yang ditunjukkan Keita dan mahu beliau digantikan dengan Petratos.Mungkin tuah Keita selepas ini adalah dipasukan lain dalam Liga Super.Perak dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Keita bagi mengantikan Porras yang kurang berkesan setakat ini.

Berbalik kepada Piala AFC tahun ini barisan pemain piala AFC Kelantan adalah yang terbaik dan mampu melangkah lebih jauh.Memiliki pemain import baru dari Nigeria iaitu Dikson Nwakaeme menceritakan segala persiapan Kelantan dalam Piala AFC kali ini bukanlah sekadar mencuba nasib tetapi mahu mencipta kejayaan.

Perlawanan pertama Kelantan adalah menentang kelab Maziya dari Maldives yang bakal menentukan prestasi sebenar skuad impian TRW ini.Maziya bukanlah kelab besar seperti pasukan dari negara Timur Tengah.Apa yang membezakan pasukan ini adalah semangat juang mereka dalam perlawanan rabu nanti.

Semangat berkobar-kobar mereka boleh dilihat dari latihan ringan petang tadi di Kompleks sukan USM.Mereka berlatih bersungguh-sungguh bagi mendapatkan prestasi terbaik untuk pasukan.

Skuad impian Bojan Hodak sudah ada dihadapan beliau,apa yang diharapkan beliau dapat membuat percaturan bijak dalam merangka strategi serta membuat pemilihan pemain yang tepat dan bukannya membuat pilihan pemain berdasarkan 'favourite' beliau.

Sumber: kelatefc.blogspot.com