Wednesday, 15 June 2011

Perlawanan Terakhir Penentu Juara Liga Super 2011

Kelantan terpaksa menunggu perlawanan ke-26 untuk menentukan kejuaraan Liga Super musim 2011.

Kelantan menghampiri kejuaraan Liga Super selepas gol tunggal Norshahrul Idlan Talaha mengatasi Perak 1 – 0 memberikan 3 mata berharga buat pasukan Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV.

Kelantan hanya memerlukan keputusan seri sahaja apabila bertemu pasukan Sabah yang agak sukar di ramal kekuatan mereka. Jika Kelantan berjaya mengikat Sabah di Kota Kinabalu impian bergelar juara Liga Super buat pertama kali pasti akan tercapai dan menjadi pengubat kegagalan merangkul Piala FA sabtu lepas.

Sementara itu, Selangor dan Terengganu terus memberi saingan kepada Kelantan merebut kejuaraan. Ketiga-tiga pasukan dilihat masih berpeluang untuk menjuarai liga musim ini.

Tuesday, 14 June 2011

Kelantan Sedia Bangkit

Finalis Piala FA, Kelantan nampaknya sudah segera melupakan kekalahan mengejut masa tambahan kepada Terengganu tempoh hari, dan berjanji membalas sokongan padu penyokong setia dengan menampilkan aksi bertenaga menentang Perak dalam saingan Liga Super malam ini.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tidak menafikan kekalahan tempoh hari sememangnya satu tamparan hebat, apatah lagi bermacam tuduhan dilemparkan antaranya menjual permainan dan sebagainya.

Namun menurut Azman pemain kini dalam keadaan bersedia untuk berdepan Perak, selepas menjalani proses pemulihan mental dan perlu bertenang serta tidak meletakkan diri dalam situasi tertekan.

“kita kena build up balik moral pemain utk malam esok (malam ni), macam mana sekalipun kena menang utk jadi juara liga, takleh lepas peluang ini..” – Azman Ibrahim

Kata-kata Azman, bagi sesetengah pihak mungkin berupa satu tekanan kepada pemain, namun dilihat dari perspektif berbeza, ia sebenarnya satu cabaran bagi mereka untuk bangkit membuktikan kekalahan kepada Terengganu 3 hari lalu tidak lagi mengganggu gugat prestasi mereka.

Malah, menang kejuaraan liga pasti lebih besar maknanya apatah lagi ia saingan membabitkan 14 pasukan dan 26 perlawanan, berbanding Piala FA yang dimenangi hanya dengan beraksi 5 pasukan dalam 7 perlawanan.

Sementara itu, tonggak pertahanan Kelantan, S.Subramaniam berjanji dia dan rakan sepasukan akan beraksi sebaik mungkin dengan menolak ke tepi segala kekecewaan lalu, seterusnya meraih 3 mata penting sebagai hadiah kepada penyokong TRW dalam usaha merangkul trofi liga.

Katanya pemain tidak akan mengulangi sebarang kesilapan sama ketika menentang Terengganu, dan ia menjadi pengajaran berguna buat diri dan rakan sepasukannya agar tidak beraksi sambil lewa dan fokus untuk 90 minit permainan.

Subra yang menghubungi penulis selepas membaca laporan berkenaan krisis di kem Kelantan, juga membidas Suara Sukan kerana memaparkan laporan itu yang mana padanya mengeruhkan lagi keadaan dan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk M.Karathu.

Katanya, adalah normal jika ada pemain mengeluh tidak dapat beraksi dan itu tidak sepatutnya disensasikan apatah lagi Kelantan ketika ini di fasa getir, perlu mengharungi  2 lagi perlawanan penting sebelum Liga Super melabuhkan tirai.

Subra berkata Karathu sudah melakukan yang terbaik, dan barisan pemain Kelantan menghormati beliau selaku Ketua Jurulatih, seterusnya yakin Karathu mampu muncul jurulatih pertama membimbing Kelantan muncul juara liga.

Untuk rekod, ini adalah musim kedua Subra di Kelantan dan tonggak kental pertahanan ini, yang menjadikan pertahanan Itali, Fabio Canavaro sebagai idolanya sudah mula menjadi pemain kesayangan di kem TRW.


**Sumber:  Suara Sukan**

Wednesday, 1 June 2011

Perkiraan Untuk Musim Depan

Belum pun tamat musim 2011, pasukan Kelantan sudah berkira-kira untuk memancing beberapa pemain tempatan dan import untuk musim hadapan.

Menurut lama blog RedsFC News tiga pemain menjadi buruan iaitu Badrol Bakhtiar, pemain tengah Selangor Hardi Jaafar dan penyerang Harimau Muda A Izzaq Faris. Dikhabarkan juga seorang pemain dari Terengganu akan dibeli oleh The Red Warriors (TRW).

Dalam blog Laman PFKE.com pula, dikhabarkan K Soley akan meninggalkan pasukan Kelantan untuk kembali ke Perlis atau Kedah. Sementara itu menurut blog ini, Safiq Rahim, Aidil Zafuan dan Badrol Bakhtiar dikaitkan perpindahan ke Kelantan musim hadapan.

Sejauh mana kebenaran itu, sama-samalah kita nantikan. Yang pastinya, tamatnya musim liga penghujung tahun ini perpindahan pemain akan menjadi semakin rancak. Perpindahan Badrol ke Kelantan mungkin akan menjadi pasti memandangkan pemain ini sudah lama dipancing oleh TRW.

Jika benar musim hadapan kemasukan pemian import dibenarkan, siapakah yang akan menjadi tonggak import bagi Kelantan. Diharap KAFA di bawah pimpinan Tan Sri Annuar Musa dapat memilih pemain yang benar-benar berkualiti untuk memastikan pasukan Kelantan lebih mantap dalam persaingan liga musim hadapan.

Friday, 27 May 2011

Kelantan Akan Kembali : Karathu

TIADA apa yang seronok terpancar pada wajah penyokong The Red War­riors, semalam yang dipalit duka menyaksikan pasukan kesaya­ngan mereka, Kelantan rebah di gelanggang sendiri 1-2 kepada T-Team dalam saingan Liga Super, malam kelmarin.


“Kami amat sedih kerana kekalahan ini adalah pertama kali dialami di tempat sendiri sepanjang Liga Super berlangsung, musim ini namun lebih mengecewakan apabila gagal memperolehi sebarang mata,” kata ketua jurulatih, Datuk M Karathu, semalam.

“Pemain sebenarnya masih mampu bersaing walaupun ketinggalan 0-1 pada babak pertama kerana Kelantan kembali menyamakan kedudukan dan pemain terus bersemangat.” 


Apa pun Karathu berkata, anak didiknya tidak akan mudah menyerah kalah dalam baki empat perlawanan Liga Super musim ini selain mahu memperbaiki kesilapan dan fokus kepada cabaran seterusnya. 


Sementara itu, ketua jurulatih T-Team, Mohd Yunus Alif berkata, anak didiknya tidak menghadapi masalah berdepan tuan rumah, sebaliknya Kelantan terpaksa bermain dalam tekanan kerana perlu bersaing dengan Terengganu bagi menerajui Liga Super, musim ini. 

"Saya dan pemain berpuas hati kerana berjaya menewaskan pasukan yang hebat dan kami juga membuktikan T-Team bukan pasukan yang boleh dipandang mudah," katanya. 

**Sumber: Berita Harian**

Adakah Liga Malaysia Perlu Awang Import?

Oleh Lokman Zainal Abidin

TIGA tahun lalu, sebahagian besar persatuan bola sepak (FA) negeri dan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengundi tidak menggunakan khidmat pemain import dengan alasan hanya dengan cara itu, Malaysia akan berupaya melahirkan pemain bola sepak berkaliber - satu masalah yang sudah sekian lama membelenggu arena bola sepak negara.

Di mulut, itulah alasannya, tetapi di hati FA negeri serta ahli gabungan yang memutuskan untuk tidak menggunakan khidmat pemain import itu sebenarnya berdepan masalah dana kewangan dan mereka sangat-sangat bimbang andai keghairahan untuk menarik ‘awang import’ bakal mengundang padah besar jika gaji serta imbuhan lain tidak mampu dilunaskan.

Tidak pernah ada perkataan ‘setiap pasukan wajib mengambil pemain import’ sebaliknya ia hanyalah satu kebenaran yang diberikan FAM, tetapi atas dasar tidak mahu kalah serta menjaga standard, semua FA negeri dan ahli gabungan lain berebut-rebut mahu menggunakan khidmat pemain import walaupun pada masa sama, mereka sendiri sedar dengan kemampuan kewangan masing-masing.

Akibatnya, beberapa FA negeri dan ahli gabungan mengambil sikap ‘tangkap muat’ dengan membeli pemain import yang tidak berkualiti sedangkan wang yang terpaksa dikeluarkan untuk mendapatkan golongan itu bukanlah sedikit.

Oleh kerana itu, timbullah masalah gaji dan elaun pemain serta pegawai yang tidak mampu dibayar persatuan sekali gus membuatkan pemain mula hilang selera untuk bermain dan faktor itu membuatkan penonton mula bosan untuk menyaksikan perlawanan di stadium.

Bagi menyelamatkan keadaan, beberapa FA negeri yang mula terasa bebanan kewangan, memasang strategi baru untuk menolak kehadiran pemain import dan alasan yang digunakan cukup menarik iaitu pemain import menghalang pemain tempatan untuk menonjol.

Sudahnya, ‘kalau aku tak mampu, biarlah semua orang pun tak dapat’ dan selaku badan induk kebangsaan, FAM tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengarahkan semua FA negeri serta ahli gabungannya menamatkan khidmat pemain import dengan harapan ada pemain tempatan yang bakal menyerlah serta mampu menarik kehadiran penyokong di gelanggang pada setiap kali aksi.

Begitupun, tiga tahun berlalu sudah, penyokong yang selama ini hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan sudah tidak lagi berbuat demikian dan kantung FA negeri serta ahli gabungan menjadi semakin susut hingga mengakibatkan ada pemain serta pegawai pasukan yang terlewat menerima gaji masing-masing gara-gara bebanan kewangan yang ditanggung majikan.

Mana dia pemain tempatan yang dikhabarkan lebih mudah menyerlah berikutan tidak dibayangi pemain import sedangkan semangat peminat sudah semakin luntur untuk ke stadium kerana tidak ada lagi faktor yang boleh dijadikan tarikan.

Sedar atau tidak, Malaysia adalah satu-satunya liga bola sepak profesional di dunia ini yang tidak menggunakan pemain import dan sama ada suka atau tidak, rasanya semua pihak perlu menerima hakikat kehadiran pemain import sebenarnya mampu meningkatkan mutu liga dengan syarat pemain yang dibeli hendaklah benar-benar berkualiti dan bukan sekadar melengkapkan kuota semata-mata.

Bukan sekali dua ada FA negeri yang tersilap membeli pemain import ketika hanya berdasarkan rakaman video yang diserahkan ejen pemain terbabit, tetapi pada hakikatnya, pemain yang didakwa ‘sangat hebat’ itu sebenarnya tidak lebih daripada ‘kuda sakit’ yang lebih banyak memanaskan bangku simpanan berbanding mengatur aksi serta merencana pergerakan di tengah padang.

Itu pengajaran yang perlu dijadikan pedoman pada masa depan dan semua pihak kini ternanti-nanti apakah keputusan yang bakal dibuat Exco FAM selepas Malaysia Super League (MSL) yang dipengerusikan Timbalan Presiden badan induk kebangsaan itu, Tan Sri Annuar Musa bersetuju membenarkan pemain import kembali mewarnai arena bola sepak tanah air mulai musim depan.

Keputusan yang dibuat MSL ketika membenarkan pengambilan semula tiga pemain import dengan seorang daripadanya perlu dari negara Asia Tenggara itu benar-benar satu langkah bijak kerana selaku badan yang bertanggungjawab membawa masuk penaja, MSL sendiri terpaksa menerima hakikat pemain import mampu menjana sesuatu buat FA negeri serta ahli gabungan.

Jalan terbaiknya ialah bagi FA negeri atau ahli gabungan yang mampu, ambillah pemain import dan bagi yang kurang berkemampuan, mereka perlu bersedia untuk mewujudkan satu pasukan warga tempatan yang berupaya memberi saingan.

Janganlah kerana tidak mampu untuk membeli pemain import, mereka menjadikan itu sebagai satu isu untuk menghalang pembangunan bola sepak di negara ini dan semua pihak yang terbabit dengan arena bola sepak negara perlu berkongsi impian yang sama iaitu mahu melihat bola sepak Malaysia kembali digeruni seperti sedikit masa lalu.

Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk S Sivasundaram menyambut baik kenyataan Annuar dan beliau turut mengakui kehadiran pemain import pasti akan memeriahkan lagi senario bola sepak Malaysia pada masa akan datang.

“Pemain import memang patut ada dalam liga kita. Tetapi perlu diingat, pemain import yang mahu dibeli perlulah benar-benar berkualiti dan peminat tidak akan rasa tertipu setiap kali mereka hadir ke stadium. Cuba lihat pemain seperti Marlon Alex James (Kedah), Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy (Selangor). Mereka adalah pemain yang benar-benar berkualiti.

“Saya masih ingat lagi pada musim 2005 iaitu ketika Bambang dan Elie masih bersama Selangor. Masa itu, wang kutipan tiket kami meningkat dua kali ganda berbanding musim sebelumnya. Itu semua dibantu kehadiran pemain import dan apa yang berlaku itu menunjukkan betapa mereka mampu menjana kewangan yang baik buat FA negeri.

“Kalau kita nak bergantung kepada penajaan, mungkin ia tidak cukup untuk menampung semua perbelanjaan dan justeru, saya tidak fikir ada berani menafikan wang kutipan tiket sedikit sebanyak membantu kos yang perlu ditanggung FA negeri. Hanya dengan kehadiran pemain import yang baik, peminat akan tertarik untuk datang ke stadium,” katanya.

Beliau juga berkata, pemain tempatan tidak harus malu untuk berguru dengan pemain import dan jangan sesekali berasa rendah diri sebaliknya gunakan kepakaran yang ada pada pemain import berkenaan untuk dijadikan landasan menuju ke arah tahap yang lebih baik.

“Kita ada ramai pemain muda yang bagus, tetapi bakat mereka tidak dapat berkembang dengan baik. Bagi saya, jika menerima tunjuk ajar serta didorong semangat ingin maju, pemain muda kita mampu menyerlah dengan syarat mereka tidak boleh malu. Jangan sesekali membiarkan diri kita dibelenggu perasaan malu serta cepat patah semangat kerana ia tidak akan membantu.

“Kalau tidak ada pemain import, bagaimana kita mahu mengukur tahap pencapaian kita? Setidak-tidaknya, kehadiran pemain import akan dapat mengurangkan rasa gemuruh pemain kita setiap kali berdepan dengan lawan yang bukan daripada kalangan kita sendiri.

“Kita juga sudah melihat saingan kita di pentas antarabangsa seperti di kejohanan AFC apabila kita terpaksa menyerah kalah begitu saja apabila kita tidak dibantu dengan kekuatan serta kepakaran pemain import sedangkan semua pasukan yang berada di kejohanan sama diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain import yang berkualiti,” katanya.

Memang itulah tujuan sebenar mana-mana liga di dunia ini yang menggunakan khidmat pemain import. Dengan adanya rakan serta lawan yang mempunyai kepakaran yang berbeza, pemain tempatan akan lebih mudah maju dan tidak hanya ‘berkokok’ di halaman sendiri saja, tetapi ia juga bersyarat iaitu pemain kita tidak boleh menjadikan pemain import sebagai halangan untuk berjaya sebaliknya jadikan kelompok awang import itu sebagai pendorong untuk menjadi lebih baik.


**Sumber: Harian Metro**