Sunday, 13 January 2013

TRW Tewas

Foto Kredit: ganusoccer.net

Kuala Terengganu, 12 Jan 2013 – The Red Warriors gagal meneruskan rentak kemenangan dalam saingan Liga Super tewas mengejut kepada pasukan berstatus kelab, T-Team FC dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, petang semalam.
Jaringan tunggal pemain berjersi sembilan pasukan T-Team, Mohd Aizulridwan pada minit ke-8 sudah cukup untuk mencalarkan reputasi juara Treble 2013 di hadapan kira-kira 15 ribu penyokong setia skuad bergelar The Titans itu. Gol berpunca dari keadaan kelam kabut dalam kotak penalti Kelantan yang berjaya disudahkan Aizulridwan yang merembat kencang menewaskan Khairul Fahmi di gawang Kelantan.

Enam layangan kad kuning, masing-masing empat untuk T-Team dan dua untuk Kelantan sudah cukup untuk membayangkan suasana perlawanan yang tegang dan panas. Beberapa insiden kekasaran berlaku antara pemain namun pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad bijak mengawal keadaan. Tambahan pula, berlaku pertelingkahan antara jurulatih, Bojan dan Butler di bangku simpanan menghangatkan lagi suasana.


Kelantan berpeluang menyamakan kedudukan menerusi  Zamri Ramli dan Aris Zaidi, namun kedua-dua pemain ini gagal menyudahkan peluang terhidang sebaiknya. Tamat perlawanan, T-Team menang tipis mengatasi Kelantan dengan jaringan 1-0.


Mengulas mengenai kemenangan T-Team keatas Kelantan, ketua jurulatih T-Team yang juga pernah membimbing pasukan Kelantan, Peter James Butler menyifatkan anak buahnya beraksi dengan lebih baik dari pemain Kelantan.


“Hari ini, kita lebih baik. Saya hormat The Red Warriors, semua pegawai, semua pemain kerana dulu mereka pernah bersama saya, cuma hari ini pasukan saya beraksi dengan lebih baik. Barisan pertahanan melakukan tugas dengan baik, tidak sama seperti ketika kami tewas kepada Perak pada perlawanan lepas”, ujar Butler sejurus tamat perlawanan.


Dari kem Kelantan, Bojan Hodak mengakui kekalahan kali ini merupakan kekalahan satu pasukan. Kegagalan menyudahkan peluang menjaringan gol menjadi punca Kelantan gagal menewaskan T-Team. Disamping itu, pemain juga sedikit keletihan kerana terpaksa bermain dalam keadaan basah dan hujan pada perlawanan lepas.


“Kita bermain baik hari ini, tetapi mungkin faktor pasukan bermain diatas padang becak dan hujan pada perlawanan lepas menyebabkan pemain sedikit keletihan. Kita punya peluang untuk menjaringkan gol, tetapi kita tidak menjaringkan gol. Satu perlawanan yang sukar. Jadi tiada siapa yang harus disalahkan, tetapi kami”, jelas Bojan Hodak.


Untuk perlawanan seterusnya, Kelantan akan melayan kunjungan pasukan dari Selatan, Darul Takzim FC 15 Januari ini. Perlawanan dijadualkan berlangsung jam 8.45 malam di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.


Kesebelasan Utama Kelantan:

Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim, Zairo Anuar (Aris Zaidi-83’), Mohd Shakir, Badri Radzi (K), Rizal Fahmi, Khairul Fahmi (PG), Keita Mandjou (Norfarhan-46’), Haris Safwan (Zamri Ramli-70), Indra Putra, Zairul Fitree

Kesebelasan Utama T-Team:

Hasbullah Awang, Md, Muinuddin (Isma Alif-69’), George Boateng (K), Hassan Basri, Md. Aizulridzwan (Mohd Shazlan-73’), Caleb Folan, Mohd Nuraliff, Mohd Yusri (Latiff Suhaimi-61’), Mazlizam Muhamad, Mohd Amirul (PG), Ahmad Syamim

Penjaring Gol:

Md. Aizulridzwan (T-Team) minit-8

Tuesday, 8 January 2013

Ganjaran untuk pemain TRW

8 Jan – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyerahkan bonus kemenangan Piala Malaysia kepada pemain-pemainnya dalam satu majlis yang diadakan di Kota Bharu petang tadi.
Presiden KAFA, Tan Sri Hj Annuar Musa dalam ucapannya berkata, terdapat tiga kategori bonus yang disampaikan kepada pemain-pemain. Bonus pertama telah disampaikan dalam pakej pelancongan ke Gold Coast hujung tahun lalu, bonus kedua berupa pakej mengerjakan umrah dan bonus ketiga berupa ganjaran wang tunai.
Menurut Tan Sri Hj Annuar, pemain-pemain yang tidak menyertai rombongan ke Australia akan menerima gantian wang tunai, bersamaan dengan nilai perbelanjaan yang ditanggung KAFA untuk lawatan tersebut.
Pemain-pemain dalam skuad Kelantan 2012 juga dijadualkan akan mengerjakan umrah, hadiah daripada kerajaan negeri Kelantan, selepas tamat saingan Liga Super. Tarikh yang dipilih pasukan, diantara 7 hingga 20 Julai akan dicadangkan kepada kerajaan negeri untuk diputuskan.
Tan Sri Hj Annuar berkata, semua pemain pasukan The Red Warriors musim 2012 akan ditawarkan untuk mengikuti rombongan ke tanah suci tersebut, termasuk pemain-pemain pinjaman dan pemain-pemain yang telah berpindah ke pasukan lain. Pemain yang bukan beragama Islam akan menerima hadiah gantian berbentuk wang tunai.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Presiden Datuk Affendy Hamzah, Naib Presiden Datuk Rosmadi dan Dato’ Ismail Md Nor, serta Setiausaha Agong, Hj Azman Ibrahim.
Pemain-pemain pasukan The Red Warriors menerima bonus wang tunai sebagai ganjaran kemenangan Piala Malaysia 2012. Jumlah bonus untuk setiap pemain telah diputuskan oleh pihak pengurusan mengikut sumbangan ketika Kelantan beraksi di saingan Piala Malaysia.
Walau bagaimanapun, menurut Tan Sri Hj Annuar Musa, bonus khas untuk pencapaian treble, berupa lot tanah, akan disampaikan hanya setelah proses perolehan selesai.
Bidang tanah yang akan dibeli oleh persatuan perlu melalui proses penukaran status dan pecah lot. Hanya selepas proses tersebut selesai, undian untuk pemilikan di kalangan pemain akan diadakan.
Pemain-pemain yang tidak layak untuk menerima ganjaran lot tanah kerana peraturan negeri, akan menerima wang tunai sebagai gantian.

Sunday, 6 January 2013

SSMIV lepas tahap piawaian FAM


6 Jan - Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) telah menaiktaraf kemudahan lampu limpah di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu untuk menepati piawaian kecerahan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam tinjauan yang dibuat semasa ujian ulangan pada jam 11 malam tadi, kesemua lampu limpah stadium, termasuk lampu tambahan di papan skor lama, berfungsi dengan baik. Menurut jurucakap (PSK), purata kecerahan yang diukur adalah sekitar 1300 lux, melebihi angka 1000 lux seperti yang ditetapkan oleh FAM.
Stadium Sultan Muhammad IV akan menjadi medan pertemuan pembukaan tirai Liga Super Malaysia 2013 di antara pasukan Kelantan dan PKNS FC pada 9 Januari nanti.
Tinjauan juga mendapati, keadaan padang berada dalam keadaan yang baik walaupun sedikit lemban. Kerja-kerja memesin rumput dan mengecat garisan telah diselesaikan pada sebelah pagi.
PSK juga akan menggantikan tiang gol beserta jaring lama dengan yang baru.

Friday, 4 January 2013

Jersi Rasmi TRW 2013

Foto kredit: Dr Azizan Osman

 Jersi 'Away': Foto Kredit kepada pemiliknya

 Foto Kredit: izuansalahuddin official

Foto Kredit: TSAM