Saturday, 2 March 2013

Keita penyelamat


KOTA BHARU, 2 Mac - Keita Mandjou menyelamatkan Kelantan daripada tewas kepada Perak di gelanggang sendiri apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit akhir perlawanan Liga Super yang berlangsung di Kota Bharu malam tadi.
Perak mengejutkan tuan rumah dengan jaringan gol pada minit ke 2 oleh Abd Hadi Yahya apabila pertahanan Kelantan gagal mengeluarkan bola dengan kemas daripada kawasan bahaya. Kelantan yang meletakkan gandingan Keita dan Farhan di bahagaian hadapan lebih kerap menyerang tetapi gagal dalam percubaan-percubaan menjaringkan gol.
Beberapa pertukaran yang dibuat oleh Bojan Hodak di separuh masa ke 2 mengubah sedikit rentak permainan Kelantan. Faiz Subri yang dibawa masuk menggantikan Khairul Izuan, berjaya mengucar kacirkan pertahanan Perak. Kemasukan Zairo dilihat memperkemaskan bahagian tengah Kelantan, membuatkan pasukan lawan bermain secara bertahan dan cuba melambat-lambatkan permainan.
Gol penyamaan Kelantan terhasil pada minit ke 89 apabila berjaya menampan bola hasil daripada keadaan kucar kacir di depan pintu gol lawan. Gol tersebut merupakan gol ke 4 beliau dalam Liga Malaysia dan berjaya mengekalkan rekod Kelantan beraksi 32 kali tanpa kalah di Kota Bharu sejak musim lalu.
Artikel asal: theredwarriors.com

Friday, 1 March 2013

TRW mahu 3 mata hadapi Perak

MISI memburu tiga mata diteruskan oleh juara tiga piala, Kelantan apabila melayan kunjungan Perak dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Setelah berjaya mencuri satu mata pada pertemuan menentang Pahang, minggu lalu, The Red Warriors (TRW) tampil dengan semangat baharu dan kali ini tampak begitu bersedia untuk menjadikan Perak sebagai mangsa kebangkitannya apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri.

Hodak berkata, berdepan dengan Perak merupakan satu lagi ujian terpenting buat beliau dan barisan pemainnya tidak mempunyai pilihan selain perlu menewaskan skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah itu jika mahu memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

“Perak merupakan pasukan yang kuat pada musim ini. Memang kita pernah menewaskan mereka 6-0 di Kota Bharu pada musim lalu, namun malam ini adalah cerita baharu bagi kedua-dua pasukan.

“Lima gol yang dilepaskan oleh benteng akhir mereka daripada tujuh perlawanan setakat ini membuktikan pasukan ini cukup liat untuk ditumbangkan. Tetapi saya harap akan ada jaringan yang terhasil di Kota Bharu malam ini," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Malah pengendali dari Croatia itu turut menamakan tonggak pertahanan import Perak, Rafael Souza Silva Novais, pemain yang mempunyai susuk badan yang tegap mampu menyekat asakan menggila barisan penggempurnya dalam perlawanan itu.

Mengulas mengenai persiapannya, Hodak akui penangguhan perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang PKNS FC pada Selasa lalu tidak memberi sebarang kelebihan buat pasukannya.

“Perak pun berehat panjang kerana tidak beraksi pada perlawanan kelapan (bertemu Lions XII) dan tidak terbabit dengan kempen Piala FA setelah tersingkir awal. Jadi, kedua-dua pasukan mempunyai tempoh yang panjang (melakukan persiapan), cuma yang saya bimbang ialah  keadaan cuaca di sini,” katanya

Sementara itu, Hodak mengesahkan Kelantan kehilangan dua tonggak utama apabila berdepan Perak dan beliau berharap pengalaman yang dimiliki tiga bekas pemain skuad Seladang iaitu Indra Putra Mahayuddin, Keita Mandjou dan K Nanthakumar dapat mengimbangi kekuatan pasukannya.

“Nik Mohd Shahrul Azim (Ab Halim) tidak akan disenaraikan kerana belum pulih daripada kecederaan buku lali manakala peluang Mohd Shakir (Shaari) masih 50-50 untuk diturunkan. Saya akan nilai keadaan beliau pada latihan petang ini (semalam),” katanya.


Artikel asal: sinarharian.com.my

Tuesday, 26 February 2013

Perlawanan Piala FA Kelantan-PKNS ditunda

PERLAWANAN pusingan kedua Piala FA antara Kelantan dengan Selangor PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu terpaksa ditunda berikutan garisan kotak penalti pudar selepas hujan lebat melanda Kelantan sejak tiga hari lepas.

Komisioner perlawanan Joseph Anthonysamy berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan padang sebanyak tiga kali selain mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan sebelum mengambil keputusan menunda perlawanan.
Katanya, pemeriksaan kali pertama yang dilakukan pada 12 tengah hari tadi mendapati kawasan padang telah digenangi air selain garisan di kawasan penalti
pudar berikutan hujan lebat.
"Pemeriksaan kedua pada 6.30 petang tadi dan sebelum sepak mula perlawanan menyaksikan keadaan masih tidak berubah dan kami mengambil keputusan untuk menunda perlawanan ini," katanya kepada pemberita malam ini.
Joseph berkata usaha yang dilakukan oleh pengurusan stadium dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk membuat garisan baharu di kawasan penalti padang tidak membuahkan hasil disebabkan hujan lebat.
Katanya, beliau akan menghantar laporan mengenai masalah berkenaan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menentukan tarikh baharu perlawanan tersebut.  - Bernama

Kemasukan Fakri! Siapa yang keluar?

KEMASUKAN penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani bersama Kelantan sudah pasti menambahkan sengat dibahagian jentera serangan.

Walaupun ketajaman gerakan penyudah pemain import, Keita Mandjou sebelum ini dikritik hebat, namun kejayaan menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir menutup segala diperkatakan.

Kini timbul pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan khususnya The Red Warriors.

Bukankah dia sedang beraksi bersama Kelab Athletico di Portugal dan persoalan utama siapa pula pemain sedia ada bakal digugurkan menjelang pendaftaran pemain baru yang dibuka, April nanti.

Berdasarkan peraturan semasa FAM, setiap pasukan hanya boleh daftar 25 pemain termasuk dua import untuk Liga Malaysia. Jadi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) perlu 'mengorbankan' pemain tempatan di posisi serangan.

Penyertaan Ahmad Fakri bersama Kelantan disahkan sendiri Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa melalui laman Facebooknya dan pemain yang berasal dari Kelantan ini akan mewakili TRW, April depan.

Namun, siapa pula bakal disingkirkan? Mungkinkah pemain baru, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal atau pun anak tempatan dari Piala Presiden, Mohd Aris Zaidi.

Melihat persembahan selepas beberapa perlawanan, kehadiran Haris Safwan masih belum beri impak selain pergerakannya belum serasi dengan corak permainan kendalian Bojan Hodak.

Bagi Aris Zaidi, kebolehannya belum diuji sepenuhnya memandangkan dia hanya turun pada baki 10 minit terakhir.

Namun kenyataan Annuar sebelum ini yang mahu anak tempatan diberi keutamaan, Aris mungkin terselamat, namun Hodak perlu bijak membuat percaturan bagi memastikan kemasukan Ahmad Fakri dan perubahan taktikal yang dirancang mampu meningkatkan semula prestasi Juara Treble 2012 itu.


Artikel asal: sinarharian.com.my

Fakri milik Kelantan

PEMAIN kebangsaan yang kini beraksi bersama Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) dalam Divisyen Tiga Portugal, Ahmad Fakri Saarani sah menyarung jersi Kelantan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia, musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan perkara itu dan berkata, pemilihan Ahmad Fakri dilakukan bagi perkuatkan jentera serangan The Red Warriors.

“Semua rundingan antara Kafa, Atletico SC dan Ahmad Fakri Saarani selesai kelmarin dan kontrak beliau bersama Kelantan akan berkuat kuasa April ini," katanya.

Kehadiran Ahmad Fakri akan memperkasakan lagi jentera serangan Kelantan yang turut memiliki dua penyerang import iaitu Dimitrios Pertratos (Australia) dan Dickson Nwakaeme dari Nigeria.

Menurut Annuar, Ahmad Fakri dijangka pulang ke tanah air hujung Mac ini sebaik liga divisyen tiga berakhir dan Kelantan boleh mendaftarkan pemain berkenaan apabila jendela pendaftaran pemain dibuka, 8 April nanti.

Annuar bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kontrak ditandatangani Ahmad Fakri dan keputusan mengambil pemain itu dianggap satu langkah bijak.


Artikel asal: sinarharian.com.my