Wednesday, 29 January 2014
Tuesday, 28 January 2014
Rentak makin teratur, kata Darby
JURULATIH Kelantan, Steve Darby menyifatkan anak didiknya sudah mula menemui titik keserasian walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Negeri Sarawak, Kuching semalam.
Meskipun ramai yang menganggap kemenangan The Red Warriors (TRW) itu sebagai ‘menang nasib’ kali kedua, namun Darby menafikannya malah menegaskan kejayaan itu adalah hasil usaha keras pemainnya.
Darby berkata, kemenangan kedua berturut-turut yang meletakkan TRW di kedudukan teratas Liga Super setakat ini membuktikan pemainnya sudah mula mendapat rentak tetapi mengakui masih terdapat kelemahan yang perlu dibaiki.
Jurulatih berusia 58 tahun dari England itu juga berpendapat, pujian harus diberikan kepada pemainnya yang mempamerkan kesungguhan sehingga tamat perlawanan, sehingga berjaya mendapat mendapatkan satu jaringan tunggal sekaligus memastikan tiga mata dikutip di gelanggang lawan.
“Saya amat gembira dan berpuas hati dengan persembahan pemain kerana mereka mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan jaringan dan membawa pulang tiga mata.
“Pemain mula menunjukkan keserasian antara satu sama lain walaupun pada mulanya kita agak susah mencipta peluang. Bagaimanapun usaha keras pemain sehingga hujung perlawanan membuahkan hasil,” kata Darby.
Jaringan kemenangan yang dihasilkan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe di saat akhir perlawanan selepas menerima umpanan seorang lagi penyerang Mohamed Ghaddar membuktikan kedua-dua pemain berkenaan semakin serasi.
Darby menambah tanpa mendabik dada, TRW perlu meneruskan rentak kemenangan itu apabila bakal melayan kunjungan PKNS dalam perlawanan ketiga Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Selasa ini.
“Pemain mengikut apa yang dirancangkan dan mereka memiliki kebolehan tersendiri untuk mengatasi pemain lawan. Ini keputusan baik dan perlu diteruskan dalam perlawanan seterusnya,” sudahi beliau.
www.sports247.my
Kelantan enggan dabik dada
BIARPUN berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Sarawak pada aksi kedua saingan Liga Super di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam kelmarin, The Red Warriors enggan mendabik dada di sebalik kejayaan tersebut.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, perjalanan liga baharu sahaja bermula dan kejayaan meraih tiga mata penuh ke atas Ngap Sayot pada perlawanan kedua itu tidak harus melekakan barisan pemainnya.
“Dari satu sudut, kami sebenarnya agak bernasib baik dapat mencuri tiga mata di Kuching. Kemenangan ke atas Sarawak merupakan satu bonus dan motivasi buat pemain Kelantan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
“Namun, masih banyak kelemahan menghantui pasukan ini dan perkara ini dalam perhatian jurulatih (Steve Darby) untuk memperbetulkannya. Memang kemenangan dalam setiap perlawanan amat mustahak untuk kita mencongak hala tuju pasukan selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jaringan penyerang kebangsaan Liberia, Francis Forkey Doe pada penghujung perlawanan memastikan Kelantan terbang pulang ke Kota Bharu dengan tiga mata penuh sekali gus membolehkan gergasi Pantai Timur itu memimpin saingan liga setelah merakamkan dua kemenangan berturut-turut.
Menurutnya, barisan pemain Kelantan masih belum mempamerkan rentak sebenar dalam perlawanan tersebut dan beliau berharap kelemahan itu diatasi segera menjelang pertemuan menentang PKNS FC di gelanggang keramat mereka, malam esok.
“Biar pun Forkey Doe meledak jaringan pada perlawanan itu, namun gandingan dia bersama Mohamad Ghaddar masih belum menampakkan keserasian dan mereka berdua perlu lebih tajam di depan pintu gol lawan jika mahu menghasilkan gol,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak risau dengan benteng pertahanan memandangkan gandingan Obinna Nwaneri, Mohd Farisham Ismail dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim sudah berjaya membentuk kombinasi mantap dalam dua perlawanan lalu.
“Saya fikir bahagian tengah perlu diperbaiki lagi. Ketiadaan dua pemain tonggak, Amar Rohidan dan Mohamed Shawky Aly pada pertemuan dengan Sarawak amat dirasai dan saya harap mereka berdua boleh beraksi memperkuatkan Kelantan pada malam esok,” katanya.
www.sinarharian.com.my
Baiki serangan dan tengah
KOTA BHARU – Biarpun menang ke atas Sarawak namun pengurusan The Red Warriors (TRW) tanpa berselindung meluahkan kebimbangan mereka terhadap jentera tengah dan serangan yang gagal berfungsi dengan baik.
Pengurus pasukan TRW, Azman Ibrahim yang enggan mendabik dada ke atas kemenangan 1-0 itu berkata, pihaknya perlu memperbaiki kelemahan itu secepat mungkin sekiranya tidak mahu tercicir dalam persaingan Liga Super yang semakin hebat.
Beliau berkata, dalam perlawanan itu, pihaknya mendapati jentera tengah dan serangan masih tercari-cari rentak persembahan yang sebenar.
“Saya akui kehilangan dua tonggak di bahagian berkenaan iaitu Mohammad Shawky dan Amar Rohidan amat dirasai dalam perlawanan tersebut, namun pengganti tonggak berkenaan Nazri Ahmad beraksi dengan baik.
“Begitu juga dengan gandingan Mohammad Ghaddar dan Francis Forkey Doe yang masih tercari-cari rentak.
“Bagaimanapun barisan pertahanan kita dilihat semakin mantap apabila kesemua pemain yang beraksi di posisi berkenaan telah membentuk kombinasi yang serasi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam perlawanan kelmarin, penyerang kelahiran Liberia, Forkey Doe muncul wira TRW apabila jaringannya pada minit ke-89 sudah cukup untuk membantu pasukan itu meraih tiga mata dan menghuni tangga teratas Liga Super.
Azman berkata, beliau mahu barisan pemainnya mengekalkan momentum tersebut bagi memastikan Kelantan berada pada landasan terbaik untuk saingan Liga Super musim ini.
www.utusan.com.my
Monday, 27 January 2014
Sarawak 0-1 Kelantan: Forkey Doe hukum Bujang Senang
Jaringan lewat memastikan Kelantan mengutip 3 mata dalam perlawanan yang sukar.
Selepas permulaan yang kurang memberansangkan untuk musim baru, tekanan adalah pada skuad Robert Alberts untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan pertama liga di Kuching berbanding Kelantan. Sebelum ini, mereka telah tewas dalam perlawanan pembukaan liga mereka menentang ATM, dan kemenangan tipis menentang Pulau Pinang dalam Piala FA.
Mereka bermula cemerlang dengan serangan oleh Ashri Chuchu di sebelah kiri. Walaupun membuat banyak asakan ke bahagian pertahan pelawat, kebanyakan hantaran pemain tengah itu tidak dapat disudahkan oleh penyerang-penyerang Bujang Senang.
Kelantan juga turut mengancam barisan pertahanan Sarawak melalui gabungan penyerang import mereka; Muhammad Ghaddar dan Forkey Doe, tetapi kedua-dua penyerang tersebut gagal menghasilkan gol.
Walaupun tempo permainan yang pantas pada separuh masa pertama, dengan pemain di kedua-dua pasukan mendapat kad kuning,ia tamat tanpa sebarang jaringan dengan Sarawak mendominasi permainan.
Lapan minit dalam separuh masa kedua, Doe berjaya merobek pertahanan Sarawak, sebelum menolak masuk bola ke dalam gawang Sani Anuar Kamsani, tetapi Doe dikesan ofsaid oleh penjaga garisan.
Dalam separuh masa kedua, kedua-dua pasukan bermain secara berhati-hati, dengan sedikit peluang dicipta berbanding separuh pertama.
Dalam minit ke-64, Lot Abu Hassan membuat hantaran silang di sebelah kanan disambut oleh penyerang baru Sarawak dari Iran Alireza Abbasfard, tetapi tandukannya melewati palang.
Tetapi apabila perlawanan kelihatan seperti akan berakhir dengan seri tanpa jaringan, ketua pasukan Kelantan, Badhri Razi melorongkan bola kepada Ghaddar di sebelah kiri. Walaupun beliau dihalang oleh pertahanan Sarawak, beliau masih mampu membuat hantaran silang rendah ke dalam kotak penalti, yang tidak dijangka oleh Sani. Forkey Doe tidak dikawal, mudah menolak masuk bola ke dalam pintu gol yang terbuka luas untuk gol pertama dan gol tunggal perlawanan.
Subscribe to:
Posts (Atom)


