Friday, 29 March 2013

TRW tekad balas dendam

KEKALAHAN tipis 2-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merebut Piala Sultan Ahmad Shah awal Januari lalu mahu ditebus oleh The Red Warriors (TRW) apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan terakhir pusingan pertama saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.
Sedar hanya kemenangan sahaja dilihat mampu melonjak Kelantan terus bersaing mempertahankan mahkota kejuaraan, Ketua Jurulatihnya, Bojan Hodak mengarahkan barisan pemainnya memanfaatkan persiapan buruk yang melanda di kem pasukan lawan untuk membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.
“Kami akur ATM pasukan terbaik di negara dan memimpin carta liga ketika ini. Tetapi kami berada dalam prestasi terbaik, momentum kemenangan ke atas PKNS FC pula masih segar dan lebih penting ada hutang perlu dilunaskan malam ini,” katanya kepada Sinar Harian.
“Memang ATM turun tanpa beberapa tonggak yang digantung perlawanan tetapi saya percaya pemain simpanan mereka boleh beraksi dengan baik. Biasalah, mana-mana pasukan bila hilang pemain utama, akan berdepan masalah dan saya harap tuah menyebelahi Kelantan kali ini.
Hodak berkata, prestasi memuncak pasukannya yang menewaskan Ayeyawady United 3-1 dalam Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan terbaharu menundukkan PKNS FC 4-2 pada pusingan kedua kalah mati Piala FA menyuntik semangat anak buahnya apabila bertemu The Gladiators di tempat lawan, malam ini.
Menurut pengendali dari Croatia itu, tiga mata pada perlawanan terakhir ini cukup penting bagi memastikan pasukannya mencari kedudukan lebih selesa memandangkan jurang mata dalam kalangan pasukan tidak begitu jauh.
“Tiada rombakan dilakukan, saya akan menurunkan kesebelasan pemain yang sama bermain pada babak pertama ketika bertemu PKNS FC baru-baru ini. Mohd Norfarhan Muhammad masih kurang cergas, tetapi doktor pasukan telah beri lampu hijau kepada beliau untuk bermain.
“Keita Mandjou masih diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan Kelantan. Memang dia tidak menjaringkan gol, tetapi itu tidak bermakna dia tak bagus. Saya tidak ada alasan untuk memisahkan gandingan dia bersama Mohd Khairul Izuan Rosli pada perlawanan ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hodak turut menyifatkan ancaman berbahaya daripada tiga penggempur berbisa ATM, iaitu Marlon Alex James, Hairuddin Omar dan Bruno Martelotto mampu meranapkan impian pasukannya meraih tiga mata jika diberi ruang bergerak lebih bebas pada perlawanan ini.

Kelantan waspada jerat ATM


Pengendali Kelantan Bojan Hodak (gambar) tetap waspada berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meskipun lawan mereka kehilangan beberapa pemain tonggak.
Hodak berkata, keupayaan ATM tidak boleh diambil mudah memandangkan pasukan berkenaan mempunyai ramai pemain berkaliber yang mampu menampung kekosongan tersebut.
“Tapi kebiasaan mana-mana pasukan yang hilang beberapa pemain tonggak pasti akan terjejas terutama dalam merangka percaturan. Bagaimanapun kita tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka.
“Harus diingat mereka mempunyai pemain yang hebat seperti Marlon Alex James, Bruno Marteloto dan Hairuddin Omar. ATM merupakan sebuah pasukan terbaik dalam saingan Liga Malaysia. Mereka berada di tangga teratas dalam carta liga dan saya menjangkakan pertemuan ini cukup sengit.
“Apa pun kita beraksi cemerlang dalam lima perlawanan sebelum ini dan berjaya meraih kemenangan besar dalam kempen Piala AFC dan FA. Kejayaan tersebut sedikit sebanyak memberikan kelebihan buat kita pada pertemuan tersebut,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Hodak memberitahu dia mahu menutup saingan pusingan pertama liga dengan cemerlang iaitu meraih tiga mata pada perlawanan tersebut.
Katanya, tiga mata itu amat penting buat Kelantan dalam usaha untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga seterusnya mempertahankan kejuaraan yang diraih musim lalu.

Thursday, 28 March 2013

Kelantan harap aura kemenangan berterusan di Paroi

KOTA BHARU, 28 Mac - Dua kemenangan berturut-turut dari dua saingan yang berlainan, Piala AFC dan Piala FA, menjadi bekal Kelantan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk pertemuan terakhir pusingan pertama Liga Super pada 29 Mac nanti, menentang pasukan ATM.
Dalam pertemuan peringkat kumpulan Piala AFC di Yangon, Kelantan berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Ayeyawady Untied FC 3-1, sebelum meneruskan perjuangan di peringkat kalah mati Piala FA di Kota Bharu, menundukkan pasukan pelawat PKNS FC dengan jaringan 4-2.
Kelantan yang berada dalam kondisi terbaik untuk meneruskan rentak kemenangan apabila semua pemain utama dapat diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan malam esok. Pemain-pemain yang menyertai pasukan kebangsaan sebelum ini, Piya, Shakir, Apex dan Nik Shahrul Azim, telah kembali bersama pasukan. Indra Putra, Farhan, Faiz Subri dan Keita Mandjou akan manggalas tugas menggempur pertahanan pasukan ATM yang sedikit pincang apabila 4 pemain utama mereka tidak dapat beraksi malam esok.
Walau bagaimanapun, Ketua Jurulatih Kelantan berkata, The Red Warrrios harus berwaspada kerana pemain-pemain gantian yang bakal diturunkan oleh ATM akan mengambil peluang ini untuk menunjukkan aksi terbaik mereka.
Kelantan akan bertemu ATM di Seremban jam 8.45 malam esok, sebelum kembali ke Kota Bharu untuk persediaan perlawanan AFC yang seterusnya menentang wakil dari Vietnam, SHB Da Nang FC pada 2 April nanti.

Faiz dapat suntikan semangat

PENYERANG Kelantan, Mohd. Faiz Subri bertekad untuk mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan selepas ini.
Mohd. Faiz mula mencuri tumpuan selepas dia meledakkan gol pertama Kelantan ketika menewaskan PKNS 4-2 pada aksi pusingan kedua Piala FA Isnin lalu.
Pada perlawanan tersebut, Mohd. Faiz yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter, sekali gus gagal diselamatkan oleh penjaga gol PKNS, Mohd. Ramezy Che Ros.
Ia adalah jaringan sulung pemain yang mewakili Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Mohd. Faiz mengakui jaringan itu menyuntik semangatnya untuk terus meledakkan lebih banyak jaringan, sekali gus membantu Kelantan meraih kejuaraan musim ini.
“Ini merupakan gol pertama saya pada kempen Piala FA. Pada saingan Liga Super, saya masih belum berpeluang untuk menghasilkan jaringan.
“Saya berikrar untuk menjaringkan lebih banyak gol pada aksi liga selepas ini.
“Selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan melonjakkan lagi semangat saya untuk memberikan aksi terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Faiz berkata, dia terus bertekad untuk meraih kepercayaan ketua jurulatih, Bojan Hodak bagi disenaraikan dalam kesebelasan pasukan itu.
Anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu antara penjaring terbanyak T-Team musim lalu dengan meledakkan sebelas gol sepanjang 36 penampilan bersama pasukan tersebut.
Mengulas mengenai pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super, Jumaat ini, Mohd. Faiz berkata, dia yakin Kelantan mampu meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.

Wednesday, 6 March 2013

Petratos buru jaringan sulung

Kota Bharu: Penyerang import Kelantan Dimitri Petratos tekad memburu jaringan berdepan Maziya Sports & Recreation (Maziya SRC) dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Penggempur berusia 20 tahun itu yang sebelum ini diketepikan dalam saingan Liga M kerana memberi laluan kepada penyerang import dari Guinea, Keita Mandjou akhirnya turun untuk aksi pertamanya.

Petratos berkata, selepas hanya beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan dan menjalani latihan bersama kelab Blackburn Rovers di England tiga minggu lalu, bintang dari Sydney FC itu sudah bersedia membantu The Red Warriors (TRW) dalam saingan AFC.

Katanya, walaupun sebelum ini kecewa tidak dapat beraksi dalam Liga M namun ia tidak mematahkan semangatnya kekal bersama Kelantan selepas mengikat kontrak setahun bersama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

“Saya mendapat keyakinan selepas menjalani latihan di England dan kini sedia membantu Kelantan. Untuk perlawanan pertama saya akan cuba mencipta jaringan,” tegasnya.

Sementara itu, jurulatih Bojan Hodak berkata, pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Abd Halim dan Shakir Shaari sudah pulih daripada kecederan.

Kehadiran dua pemain berkenaan memberi ruang kepadanya membuat pilihan pemain selain dibantu empat awang import.

“Mereka akan bermain malam esok (malam ini) dan saya perlu membentuk kesebelasan terbaik. Untuk AFC kita ada Lek Kcira dan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan malah Petratos dan Dicson Nwakaeme akan mengetuai jentera serangan,” katanya.