Tuesday, 26 February 2013

Perlawanan Piala FA Kelantan-PKNS ditunda

PERLAWANAN pusingan kedua Piala FA antara Kelantan dengan Selangor PKNS FC di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu terpaksa ditunda berikutan garisan kotak penalti pudar selepas hujan lebat melanda Kelantan sejak tiga hari lepas.

Komisioner perlawanan Joseph Anthonysamy berkata, pihaknya telah melakukan pemeriksaan padang sebanyak tiga kali selain mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pasukan sebelum mengambil keputusan menunda perlawanan.
Katanya, pemeriksaan kali pertama yang dilakukan pada 12 tengah hari tadi mendapati kawasan padang telah digenangi air selain garisan di kawasan penalti
pudar berikutan hujan lebat.
"Pemeriksaan kedua pada 6.30 petang tadi dan sebelum sepak mula perlawanan menyaksikan keadaan masih tidak berubah dan kami mengambil keputusan untuk menunda perlawanan ini," katanya kepada pemberita malam ini.
Joseph berkata usaha yang dilakukan oleh pengurusan stadium dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk membuat garisan baharu di kawasan penalti padang tidak membuahkan hasil disebabkan hujan lebat.
Katanya, beliau akan menghantar laporan mengenai masalah berkenaan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia bagi menentukan tarikh baharu perlawanan tersebut.  - Bernama

Kemasukan Fakri! Siapa yang keluar?

KEMASUKAN penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani bersama Kelantan sudah pasti menambahkan sengat dibahagian jentera serangan.

Walaupun ketajaman gerakan penyudah pemain import, Keita Mandjou sebelum ini dikritik hebat, namun kejayaan menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir menutup segala diperkatakan.

Kini timbul pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan khususnya The Red Warriors.

Bukankah dia sedang beraksi bersama Kelab Athletico di Portugal dan persoalan utama siapa pula pemain sedia ada bakal digugurkan menjelang pendaftaran pemain baru yang dibuka, April nanti.

Berdasarkan peraturan semasa FAM, setiap pasukan hanya boleh daftar 25 pemain termasuk dua import untuk Liga Malaysia. Jadi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) perlu 'mengorbankan' pemain tempatan di posisi serangan.

Penyertaan Ahmad Fakri bersama Kelantan disahkan sendiri Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa melalui laman Facebooknya dan pemain yang berasal dari Kelantan ini akan mewakili TRW, April depan.

Namun, siapa pula bakal disingkirkan? Mungkinkah pemain baru, Mohd Haris Safwan Mohd Kamal atau pun anak tempatan dari Piala Presiden, Mohd Aris Zaidi.

Melihat persembahan selepas beberapa perlawanan, kehadiran Haris Safwan masih belum beri impak selain pergerakannya belum serasi dengan corak permainan kendalian Bojan Hodak.

Bagi Aris Zaidi, kebolehannya belum diuji sepenuhnya memandangkan dia hanya turun pada baki 10 minit terakhir.

Namun kenyataan Annuar sebelum ini yang mahu anak tempatan diberi keutamaan, Aris mungkin terselamat, namun Hodak perlu bijak membuat percaturan bagi memastikan kemasukan Ahmad Fakri dan perubahan taktikal yang dirancang mampu meningkatkan semula prestasi Juara Treble 2012 itu.


Artikel asal: sinarharian.com.my

Fakri milik Kelantan

PEMAIN kebangsaan yang kini beraksi bersama Atletico Sport Clube Reguengos (Atletico SC) dalam Divisyen Tiga Portugal, Ahmad Fakri Saarani sah menyarung jersi Kelantan bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia, musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengesahkan perkara itu dan berkata, pemilihan Ahmad Fakri dilakukan bagi perkuatkan jentera serangan The Red Warriors.

“Semua rundingan antara Kafa, Atletico SC dan Ahmad Fakri Saarani selesai kelmarin dan kontrak beliau bersama Kelantan akan berkuat kuasa April ini," katanya.

Kehadiran Ahmad Fakri akan memperkasakan lagi jentera serangan Kelantan yang turut memiliki dua penyerang import iaitu Dimitrios Pertratos (Australia) dan Dickson Nwakaeme dari Nigeria.

Menurut Annuar, Ahmad Fakri dijangka pulang ke tanah air hujung Mac ini sebaik liga divisyen tiga berakhir dan Kelantan boleh mendaftarkan pemain berkenaan apabila jendela pendaftaran pemain dibuka, 8 April nanti.

Annuar bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai kontrak ditandatangani Ahmad Fakri dan keputusan mengambil pemain itu dianggap satu langkah bijak.


Artikel asal: sinarharian.com.my

Monday, 25 February 2013

Sekadar 1 mata dari Kuantan

KUANTAN, 24 Februari – Kelantan terpaksa berpuashati dengan keputusan seri apabila terikat 2-2 dengan Pahang dalam pertemuan yang berlangsung semalam di Stadium Darul Makmur.
Pahang yang mempamerkan persembahan yang bertenaga gagal dalam beberapa percubaan awal untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan.
Mereka seterusnya dikejutkan dengan jaringan gol jaringan Norfarhan pada minit ke 10. Corak permainan pantas ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dengan aksi-aksi berbalas serangan.
Pahang kemudiannya berjaya mendapat gol penyamaan di minit-minit akhir separuh masa pertama hasil jaringan Mohd Hafiz Kamal.
Pahang agak tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Mohd Hafiz Kamal dilayangkan kad merah  kerana mengasari Mohd Zamri Ramli ketika perebutan bola pada minit ke 63.
Peluang tersebut dimanfaatkan oleh Kelantan apabila Keita Mandjou meletakkan semula Kelantan mendahului jaringan apabila percubaan beliau menewaskan penjaga gol Pahang, Rosfaizul Azuar Ali pada minit ke 84.
Walau bagaimanapun, kegembiraan Kelantan tidak bertahan lama apabila Pahang mendapat sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fauzi Roslan, mengikat keputusan muktamad Pahang 2, Kelantan 2.
Artikel asal: theredwarriorsfc.com

Wednesday, 20 February 2013

Mandjou Hero Kelantan

Foto Kredit: theredwarriorsfc.com
KOTA BHARU, 20 Februari – Terengganu kelihatan lebih aggresif memulakan pertemuan Liga Super menentang Kelantan malam tadi di Kota Bharu. Ketiadaan Ismail Faruqi yang digantung satu perlawanan ternyata memberi impak kepada jentera serangan mereka.
Pertemuan dua gergasi bola sepak Pantai Timur ini disaksikan oleh lebih 15 ribu penyokoing di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.
Ashaari Shamsudin berpeluang membuka tirai jaringan perlawanan tetapi sepakan beliau tersasar.
Kelantan kemudiannya mengatur serangan dengan lebih kemas dengan percubaan pertama di minit ke 10 apabila sepakan percuma diberikan kepada Kelantan setelah Keita Mandjou dijatuhkan berhampiran dengan kotak penalti.
Sepakan percuma yang diambil oleh Indra Putra disambar oleh Faiz Subri yang membuat percubaan terus ke dakapan penjaga gol Terengganu.
Terengganu kemudiannya mengatur serangan balas menyebabkan keadaan kelam kabut di pintu gol Kelantan. Khairul Fahmi bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan berturut-turut oleh Effa Owona dan Manaf Mamat.
Rentak permainan Terengganu terganggu apabila Effa Owona terpaksa digantikan kerana tercedera. Dua benteng pertahanan Kelantan, Obinna dan Nik Shahrul menjadi penghalang utama bagi gerakan-gerakan oleh Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin.
Menarik pada perlawanan malam tadi, Keita Mandjou telah memperlihatkan permainan terbaik beliau sejak Liga bermula. Keita berjaya melakukan beberapa percubaan berbahaya yang menguji kecekapan penjaga gol Terengganu, Sharmiza Yusoff.
Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh Keita Mandjou pada minit ke 34 setelah penyerang import tersebut merebahkan diri untuk menanduk masuk bola yang sebelum itu terkena palang gol.
Kedudukan separuh masa pertama kekal dengan Kelantan mengatasi Terengganu 1-0.
Separuh masa ke dua bermula dengan Kelantan meneruskan asakan ke pintu gol lawan bagi menambah jaringan, manakala Terengganu mencari peluang untuk menyamakan kedudukan.
Keadaan stadium sekali lagi menjadi gemuruh apabila Keita Mandjou berjaya menambah jaringan pada minit ke 64 hasil sepakan beliau yang gagal di tampan kemas oleh Sharmiza.
Keita hampir mencipta hatrik apabila menjaringkan gol ke 3 Kelantan pada minit ke 72 tetapi jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan.
Keadaan semakin sukar untuk Terengganu apabila kapten pasukan mereka, Faizal Muhammad dilayankan kad merah , setelah menerima dua kad kuning dalam perlawanan tersebut.
Keputusan tidak berubah sehingga tamat perlawanan. Kelantan mengekalkan rekod tanpa kalah di Kota Bharu, menewaskan Terengganu 2-0, menamatkan kebuntuan mencari kemenangan dari empat perlawanan sebelumnya.
Kelantan akan bertemu Pahang di Kuantan untuk saingan Liga Super seterusnya pada 23 Februari nanti.
Artikel asal: theredwarriorsfc.com